Epik

Epik adalah sebuah genre puisi naratif yang luas, dicirikan dengan kepanjangannya, pelbagai latar, sejumlah watak-watak yang besar dan berat serta jangka masa yang lama. Biasanya melibatkan cerita-cerita zaman kuno ratusan tahun lampau dan kadang-kala sukar untuk difahami kerana ada maksud tersurat dan maksud tersirat. Ia mengemukakan watak wira yang agung dalam satu rentetan peristiwa yang meliputi mitos, lagenda, dongeng dan sejarah. Epik biasanya dianggap penting bagi perjalanan sejarah sesebuah bangsa, dan merupakan sumber inspirasi kepada bangsa yang melahirkan epik tersebut.[1]Dasar penceritaan epik tertumpu kepada kepahlawanan seseorang wira. Sebagai seorang wira, dia perlu mempunyai sifat-sifat dan perlakuan fizikal yang berbentuk kepahlawanan. Wira harus bersedia menghadapi cabaran dan dapat membuktikan kepahlawanannya. Masyarakat pula dapat menerima dan mengakui kepahlawanan wira tersebut sebagai yang terunggul pada zamannya.