Kerjaya Erra_Fazira

Erra Fazira menunjukkan minat menyanyi dan menari sejak kecil. Pada tahun 1992, Erra menyertai pertandingan Malaysia World 1992. Beliau memenangi gelaran tersebut sekaligus mewakili negara ke peringkat akhir di Botswana, Afrika. Erra mempunyai ketinggian 168 sentimeter.

Bakat nyanyian Erra dikesan oleh penyanyi popular 80-an, Dayangku Intan. Erra mula aktif menyanyi di pesta ria sebelum berjaya mendapat kontrak rakaman Polygram Records. Pada tahun 1994, Erra melancarkan album EP sulung eponim yang menggunakan namanya sebagai judul album, dengan dua single yang dikeluarkan—"Cinta Abadi" dan "Bebaskan Dirimu".

Namun akibat populariti yang melonjak naik setelah bergelar Ratu Cantik Malaysia, Erra terlebih dahulu menerima tawaran untuk muncul dalam watak utama filem Sembilu arahan pengarah Yusof Haslam. Filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung sekaligus melonjakkan nama Erra sebagai aktres paling popular sebaris dengan aktres zaman itu seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Sofia Jane dan Tiara Jacquelina.

Beliau kemudiannya menjadi artis rakaman Polygram Records untuk memulakan kerjayanya sebagai penyanyi. Lagu Cinta Abadi menjadi salam perkenalan kepada peminat pada lewat tahun 1994. Beliau kemudiannya merakamkan dua lagi album bersama Polygram sebelum meninggalkan label tersebut untuk menyertai Sony Music. Album studio pertama beliau Aku dan Dia dilancarkan pada 1995 dengan single hits "Yang Terindah Hanyalah Sementara", dan diikuti oleh 2.5 Sayang pada 1996 dengan lagu "Pertemuan" sebagai single pertama.

Selepas Sembilu dan Sembilu 2, Erra meneruskan rentetan kolaborasinya bersama Datuk Yusof menerusi watak Maria dalam filem Maria Mariana (1996) dan kesinambungannya Maria Mariana II (1998). Beliau kemudiannya menyertai Sony Music Entertainment Malaysia pada 1998 dan seterusnya muncul bersama album Kini. Pada tahun 1998 juga, Fazira menubuhkan syarikat sendiri, Erra Fazira Entertainment Sdn Bhd.

Erra Fazira semasa sesi fotografi.

Pada 8 Januari 2000, Erra membintangi filem Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam yang mana beliau memegang watak utama, Farah Diba, seorang gadis biasa menjadi seorang peragawati terkenal setelah dia dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia. Dalam filem ini, beliau digandingkan bersama Norman Hakim yang memegang watak Hafsham, kedua-keduanya kemudiannya berlakon bersama dalam filem Gerak Khas The Movie, juga arahan Yusof.[2][3][4] Beliau kemudiannya berlakon bersama Afdlin Shauki dalam filem Soal Hati, dengan menjayakan peranan Nurul Ain. Peranan beliau dalam filem ini melayakkan Erra memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13.

Single beliau, "Sandarkan" di samping lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza "Lakaran Kehidupan" (dari album Safa) telah dipilih oleh TV3 sebagai sebahagian daripada kempen 3D bagi mengumpul dana untuk Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia. Muzik video bagi kedua-dua lagu ini difilemkan dalam 3D di mana penonton TV3 memakai kaca mata 3D bagi menontonnya.[5][6]

Pada 25 Oktober 2001, Erra meminjamkan suaranya untuk watak Putih dalam filem animasi Putih arahan Rashid Sibir yang berdasarkan daripada cerita rakyat "Bawang Putih Bawang Merah". Filem terbitan Fine Animation ini turut menampilkan lakonan suara M. Nasir, Raja Azura, Wan Maimunah dan Mustapha Maarof.[7][8]

Pada 3 April 2002, album kelima Erra, Sampai Bertemu dilancarkan. Lagu "Sampai Bertemu" dikeluarkan sebagai single pertama dan telah terpilih menduduki carta di beberapa stesen radio termasuk Manis FM, Radio Muzik, RMKL dan Best 104. Tenaga kerja album ini terdiri daripada Rosli Selasih, KRU, Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki, Habsah Hassan, dan Amran Omar.[9]

Pada 29 Ogos 2002, Erra dan penyanyi kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim digandingkan buat pertama kali di layar lebar menerusi filem komedi romantik, Mr. Cinderella arahan Ahmad Idham. Selepas itu, beliau dan Afdlin Shauki mengulangi peranan masing-masing dalam kesinambungan filem Soal Hati (2000), Soalnya Siapa yang membuka tayangan di pawagam pada 25 Disember 2002. Erra juga mempunyai peranan undangan khas dalam filem aksi komedi, MX3 lakonan Saiful Apek, Zul Yahya dan Faizal Hussein arahan Yusof Kelana.[10][11]

Pada 16 Januari 2004, Erra melancarkan album studio keenamnya, Kini Kembali yang mengandungi 12 lagu, termasuk lagu duet bersama Yusry KRU "Jika Kau Tiada" dan sebuah lagu minus one, "Hanya Di Mata". Beliau kembali bergandingan dengan Rosyam Nor menerusi filem Castello yang ditayangkan pada 9 Januari 2006, memegang watak sebagai Chalita, seorang wanita Thai dan isteri kepada Castello dan ibu kepada Phim. Filem ini turut dibintangi oleh Que Haidar dan Liyana Jasmay dan menerima tajaan daripada Biskut Julie’s yang turut mengeluarkan produk biskut Julie’s Castello bagi mempromosikan filem ini.[12]

Erra mula mengumpul bahan terbaru untuk album studio ketujuhnya, Ya Atau Tidak. Album ini dikeluarkan pada 12 Jun 2006 merupakan album studio terakhirnya dalam kerjayanya sebagai penyanyi. Ya Atau Tidak mengandungi 10 lagu baru termasuk sebuah lagu yang dirakamkan dalam bahasa Bangkahulu, iaitu "Wang Kite Gale".[13]

Beliau bersama-sama Aaron Aziz dan Lisa Surihani menandatangai kontrak Wajah Eksklusif Astro sekaligus menandakan Erra bersedia untuk muncul sebagai pelakon TV.[14]

Sejak 2018, beliau menjadi salah seorang pelakon utama Gerak Khas, memegang watak sebagai ASP Jeslina. Beliau bersama Norman Hakim dan Siti Elizad mengacarakan rancangan Mingguan Wanita di Astro Prima, berdasarkan daripada majalah terbitan Karangkraf dengan tajuk sama.

Rujukan

WikiPedia: Erra_Fazira http://www.gempak.com/artikel/8434/teringat-cerita... http://www.imdb.com/name/nm0269800/ http://www.hmetro.com.my/articles/ErraFazirabercer... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&d... http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2006/1... http://www.thestar.com.my/news/nation/2003/02/27/y... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt...