Ciri-ciri Euro

Syiling dan kertas wang

Satu euro dibahagikan kepada 100 sen (juga dipanggil eurocent untuk membezakannya daripada cent/sen mata wang lain). Setiap syling euro mempunai sisi sepunya yang menunjukkan nilai, dengan peta Eropah di latar belakang. Sisi negara di setiap syiling menunjukkan imej yang dipilih khusus untuk setiap negara yang mengeluarkan syiling itu. Syiling dari sesebuah negara boleh digunakan di mana-mana negara lain yang juga menggunakan euro.

Syiling euro termasuk €2, €1, €0.50, €0.20, €0.10, €0.05, €0.02 dan €0.01. Di Belanda dan Finland, di mana urus niaga dibulatkan kepada 5 sen terdekat, €0.02 dan €0.01 tidak digunakan, walaupun syiling kedua-dua nilai itu kekal sebagai wang sah.

Syiling peringatan yang bernilai €2 dengan sisi negara yang diubah pernah dikeluarkan - misalnya syiling yang dikeluarkan Yunani semasa Sukan Olimpik Musim Panas 2004 di kota Athens. Syiling €2 ini masih merupakan wang sah di setiap negara kawasan euro. Syiling peringatan lain juga pernah dikeluarkan, tetapi bukan untuk peredaran, dan hanya merupakan wang sah di negara pengeluar syiling tersebut.

Setiap kertas wang euro mempunyai sisi sepunya bagi setiap nilai di kedua-dua sisi. Kertas wang euro termasuk €500, €200, €100, €50, €20, €10 dan €5. Seni reka bagi setiap kertas wang melakarkan tema seni bina Eropah pada zaman tertentu. Kertas wang nilai tinggi seperti €500 tidak dikeluarkan di beberapa negara, namun masih merupakan wang sah di seluruh zon euro.

Walaupun wang kertas Euro dikeluarkan oleh beberapa negara, setiap helaian mempunyai rupa yang sama di mana ia boleh dipakai dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain.

Nombor siri

Walaupun wang kertas Euro rupanya sama, tetapi ada juga perbezaan kecil, iaitu nombor sirinya, sehingga boleh diketahui asalnya wang itu dihasilkan di mana.

  • Di Jerman nombornya dimulai dengan X
  • Di Ireland nombornya dimulai dengan T
  • Di Belanda nombornya dimulai dengan P
  • Di Yunani nombornya dimulai dengan Y
  • Di Perancis nombornya dimulai dengan U
  • Di Luxembourg nombornya dimulai dengan R
  • Di Austria nombornya dimulai dengan N
  • Di Finland nombornya dimulai dengan L
  • Di Belgium nombornya dimulai dengan Z
  • Di Itali nombornya dimulai dengan S
  • Di Portugal nombornya dimulai dengan M
  • Di Sepanyol nombornya dimulai dengan V

Simbol mata wang

Simbol mata wang euro khas (€) dipilih melalui tinjauan pendangan awam dan pemilihan oleh Suruhanjaya Eropah. Simbol yang menang direka oleh Alain Billiet dari Belgium.

Simbol itu dijelaskan oleh Suruhanjaya Eropah sebagai "gabungan huruf epsilon bahasa Yunani, iaitu tanda berat tamadun Eropah, serta 'E' untuk Eropah; dan garis-garis selari yang melambangkan kestabilan euro".