Teori Evolusi

Secara amnya, proses evolusi terjadi melalui pemilihan semula jadi, iaitu mana-mana hidupan yang paling tersuai dengan persekitarannya selalunya lebih mampu bermandiri dalam perjuangan kewujudan. Hidupan mana yang dapat bertahan akan melahirkan generasi seterusnya dengan mewariskan gen-gennya sekali, kecuali bagi gen-gen hidupan yang tidak membiak. Inilah mekanisme asas yang mengubah bilangan hidupan serta menyebabkan evolusi.

Pemilihan semula jadi

Proses pemilihan semula jadi menerangkan sebab-sebab terjadinya perubahan pada hidupan sepanjang zaman sehingga memperoleh anatomi, fungsi dan tabii dan dimilikinya sekarang. Berikut ialah prosesnya:

  1. Semua hidupan memiliki kesuburan secukupnya agar bilangannya sentiasa meningkat dengan mendadak selama-lamanya.
  2. Tetapi nampaknya, bilangan hidupan mana ada meningkat sebegitu cepat. Selalunya, bilangannya tetap lebih kurang sama.
  3. Bekalan makanan dan sumber-sumber lain adalah terhad. Oleh itu, timbulnya persaingan untuk merebut makanan dan sumber.
  4. Tiada dua individu yang sama. Oleh itu, tiadanya peluang sama rata untuk bermandiri dan membiak.
  5. Kebanyakan variasi ini boleh diwarisi. Induk menurunkan ciri-ciri berkenaan kepada anaknya melalui gen-gennya.
  6. Generasi akan datang hanya terhasil daripada yang mampu bermandiri dan membiak. Selepas generasi demi generasi, populasi hidupan akan menikmati perbezaan genetik yang berguna, dan kurangnya perbezaan yang berbahaya.[13] Pemilihan semula jadi ini sememangnya suatu proses penyingkiran.[14] Penyingkiran ini berpunca daripada perbezaan daya suaian antara individu, dan persekitaran yang didudukinya.

Sayap burung merupakan salah satu contoh terbaik yang menerangkan evolusi yang berpunca daripada penyesuaian hidupan dengan persekitarannya. Sayap burung berevolusi agar boleh terbang dalam pelbagai cara mengikut keperluan burung itu. Burung hutan berbeza keperluannya berbanding burung gurun. Burung hering tinggal dalam persekitaran yang kekurangan makanan, oleh itu terpaksalah terbang berjauhan untuk mencari makanan. Oleh yang demikian, sayap burung hering berevolusi untuk meluncur di angkasa supaya tidak perlu menghabiskan banyak tenaga apabila berterbangan lama-lama.

Burung penguin pula banyak menghabiskan masanya dalam lautan, oleh itu sayapnya berevolusi menjadi sayap sirip untuk membolehkannya berenang dalam air, tetapi tidak boleh terbang di udara. Burung unta pula tinggal di atas daratan, dan tidak memerlukan kepak untuk terbang. Sebaliknya, burung unta boleh berlari dengan pantas dan mampu mempertahankan diri. Oleh itu, sayapnya menjadi kecil sehingga tiada gunanya selain meperagakan rupanya semata-mata, iaitu dengan menggebukan sayapnya agar badannya kelihatan lebih besar.

Hanyutan genetik

Hanyutan genetik menerangkan bagaimana proses evolusi terdedah kepada pengaruh luar biasa daripada peluang rawak, tetapi hanya jika bilangan sesejenis hidupan agak kecil. Mekanisme asas hanyutan ini adalah bahawa kelainan genetik dikurangkan oleh peluang rawak tersebut, menjadikan hidupan individu lebih seiras sesama sendiri, oleh itu daya kemandiriannya makin terjejas.

  1. Hanyutan genetik mengurangkan variasi genetik dalam populasi, oleh itu boleh membantutkan keupayaan populasi untuk mengharungi tekanan pemilihan yang baru.
  2. Hanyutan genetik bertindak lebih cepat dan meninggalkan kesan yang lebih drastik dalam populasi yang lebih kecil yang selalunya berada di ambang kepupusan.
  3. Hanyutan genetik boleh menyumbang kepada penspesiesan, jika kelompok kecil tersebut dapat bertahan.
  4. Peristiwa jejalan: apabila sesebuah populasi besar dengan tiba-tibanya dikurangkan bilangannya secara mendadak akibat suatu peristiwa,terutamanya sekali jangkitan wabak dan perubahan iklim mendadak, maka semakin berkurangan juga variasi genetiknya. Adakalanya, kemasukan spesies baru ke dalam persekitaran di mana daya saingannya mengatasi spesies tempatan tidak kurang hebat kesan buruknya. Misalnya, banyak sekali spesies marsupial Australia yang terjatuh dalam kancah kepupusan akibat kemasukan spesies asing.
    • Pada 1880/90-an, kegiatan memburu mengurangkan bilangan anjing laut gajah Utara menjadi 20 ekor sahaja. Biarpun bilangannya kembali meningkat, namun kevarianan genetiknya agak berkurangan berbanding anjing laut gajah Selatan.
    • Cheetah pula sangat sedikit sekali variasinya. Boleh dikatakan bahawa suatu ketika dahulu, bilangan spesies ini pernah jatuh dengan amat mendadak. Disebabkan kurangnya variasi genetik, maka cheetah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit.[15]
  1. Peristiwa pengasas: ini berlaku apabila sekelompok kecil berpecah lalu hidup berasingan daripada populasi yang lebih besar, misalnya spesies manusia sendiri, apabila meninggalkan benua Afrika untuk bertempat di rantau lain (rujuk evolusi manusia). Nampaknya, manusia tidak menikmati variasi yang secukupnya seperti yang diharapkan daripada kesan taburan sedunia.
    Begitu juga dengan kelompok-kelompok yang tiba di kepulauan yang agak jauh dari tanah besar, tetapi disebabkan bilangannya yang kecil, tidak dapatlah membawa sekali seluruh alel yang terdapat dalam populasi induknya.[16][17]

Perpecahan spesies

Dua kelompok yang mula-mulanya sama boleh menjadi amat berlainan jika hidup dalam persekitaran yang berbeza. Apabila sesuatu spesies terpecah kepada dua kawasan geografi, maka bermulanya proses yang mana setiap kelompok menyesuaikan diri dengan persekitaran masing-masing, lama-kelamaan individu dari satu kelompok tidak boleh membiak bersama kelompok yang satu lagi. Daripada satu spesies, berveolusilah dua spesies yang elok.

Seorang pengembara berbangsa Jerman, Moritz Wagner, mengkaji selidik kumbang tak terbang ketika menetap di Algeria pada 1830-an. Setiap spesies terhad kepada sebentangan pantai utara di antara sungai-sungai yang mengalir dari pergunungan Atlas hingga ke Laut Mediterranean. Sebaik sahaja menyeberangi sebatang sungai tersebut, terjumpanya spesies yang berlainan tetapi rapat persaudaraannya.[18] Kemudian, beliau menulis:

"... sesebuah spesies [baru] hanya [timbul] apabila sebilangan kecil individu [merentasi] batas sempadan taburannya... pembentukan ras baru tidak akan berjaya sesekali... tanpa pengasingan para penjajah dari ahli-ahli lain yang sespesies, selama-lamanya".[19]

Beginilah catatan terawal yang menerangkan kepentingan perpisahan geografi.

Gasterosteus aculeatus

Salah satu contoh penspesiesan semula jadi ialah Gasterosteus aculeatus, sejenis ikan laut yang menjajah air tawar selepas zaman ais yang terakhir, lalu mendirikan koloni di tasik-tasik dan sungai-sungai yang terpencil. Lebih kurang 10,000 generasi seterusnya, ikan-ikan ini menunjukkan perbezaan yang amat ketara, termasuk kelainan sirip, perubahan pada bilangan atau saiz tulangnya, perbezaan struktur rahang dan warnanya.[20]

Wombat di Australia terbahagi kepada dua kelompok utama, iaitu wombat biasa dan wombat berhidung bulu. Kedua-dua jenis tersebut kelihatan serupa, selain keberbuluan hidungnya. Namun begitu, kedua-duanya tersuai dengan persekitaran berbeza. Wombat biasa tinggal di kawasan berhutan dan banyak memakan tumbuhan hijau yang amat lembap pada waktu siang. Wombat berhidung bulu pula tinggal dalam dataran yang panas dan ering, di mana rumput kering yang kurang air dan khasiat menjadi jamuannya, menjadikan sistem metabolismenya agak lemah dan perlunya untuk tidur di bawah tanah pada waktu siang.

Apabila dua kelompok yang mula-mulanya sama menjadi cukup berbeza, maka mereka menjadi dua spesies yang berlainan. Secebisan teori evolusi menerangkan bahawa semua hidupan adalah sama pada asalnya, lama-kelamaan berpecah menjadi berbagai-bagai kelompok selama ribu jutaan tahun lamanya.[21]

Rujukan

WikiPedia: Evolusi http://www.mala.bc.ca/~johnstoi/darwin/sect3.htm http://people.delphiforums.com/lordorman/light.htm http://www.ewtn.com/library/PAPALDOC/JP961022.HTM http://science.howstuffworks.com/evolution.htm/pri... http://magma.nationalgeographic.com/ngm/0411/featu... http://www.newyorker.com/archive/2005/05/30/050530... http://www.sciencedirect.com/science?_ob=ArticleUR... http://evolution.berkeley.edu/ http://evolution.berkeley.edu/evolibrary/article/0... http://evolution.berkeley.edu/evosite/evo101/IIID1...