Kerjaya Ferhad

Beliau mula meneroka pasaran muzik Malaysia sekitar tahun 1998 di bawah naungan syarikat rakaman Positive Tone. Kehadiran Ferhad mula disedari menerusi single Inggeris pertamanya yang bertajuk "Soul in Me" dari album kompilasi Tricks & Tales. Album tersebut merupakan titik-tolak kejayaan industri muzik tempatan bagi kategori lagu-lagu berbahasa Inggeris. Beliau juga turut diundang untuk bekerjasama dengan artis-artis lain yang sealiran dengan beliau seperti kumpulan Poetic Ammo dan Innuendo.

Sambutan yang menggalakkan dari para penggemar muzik R&B tempatan membuka peluang kepada Ferhad untuk menghasilkan album solo pertamanya berjudul Tubed pada tahun 2000. Album ini mendapat perhatian penggemar muzik arus perdana dengan lagu hit utamanya "Kasih Berubah", sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Flybaits dan diberi nafas baru dalam irama R&B. Lagu yang mendapat sentuhan susunan muzik oleh penerbit Ahmad Izham Omar ini berjaya menjuarai beberapa carta lagu popular stesen-stesen radio tempatan malah bertahan selama beberapa bulan dalam carta-carta tersebut.

Tubed berjaya meraih tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2001. Walaupun tidak diumumkan sebagai pemenang namun persembahan Ferhad pada acara tersebut telah menjadi buah mulut para penggemar muzik dan mendapat pujian. Bermula dari situ beliau berjaya mengalihkan perhatian penggemar-penggemar lagu Melayu untuk menikmati muzik aliran beliau yang sebelumnya dilabelkan sebagai 'urban' dan hanya sesuai untuk golongan yang moden sahaja.

Pada tahun 2001, satu 'showcase' istimewa telah diadakan khas untuk peminat-peminat Ferhad. Showcase tersebut kemudiannya dirakamkan sebagai sebuah album secara langsung dan diberi judul Soul Alive. Album ini turut disenaraikan di Anugerah Industri Muzik 2002 bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki).

Pada era tersebut, artis-artis dari Positive Tone boleh dikatakan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan artis-artis dari label ternama lain dan telah mencipta satu kelompok pengikut tersendiri. Lantas tahun 2003 menyaksikan kesinambungan kejayaan Ferhad apabila album keduanya yang berjudul Katakan Saja menyaksikan beliau menghasilkan lebih banyak lagu berbahasa Melayu dan tidak lagi bergantung kepada lagu saduran.

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[4]

Perwatakan beliau yang mudah mesra dan senang memberikan kerjasama kepada pihak media tempatan menjadikan beliau disenangi dan mudah diberikan publisiti. Ferhad juga boleh dianggap sebagai perintis kepada penyanyi-penyanyi berbangsa Melayu dari Singapura yang berjaya mencipta nama di Malaysia. Selepas beliau, industri muzik Malaysia semakin terbuka menerima kehadiran rakan-rakan senegara beliau seperti Jai Wahab, Imran Ajmain, Taufik Batisah, Aliff Aziz, Hady Mirza dan kumpulan SleeQ.

Pada tahun 2017 Ferhad telah menyertai program realiti untuk penyanyi-penyanyi yang pernah merakamkan album iaitu Gegar Vaganza musim keempat.[5] Namun tuah tidak menyebelahi beliau apabila menjadi peserta pertama yang terkeluar. Beliau muncul dengan single terbarunya, "Definasi Cinta".[6][7][8][9]