Fosil
Fosil

Fosil

Fosil (dari bahasa Latin fossus, "digali") ialah bangkai atau kesan tinggalan haiwan, tumbuhan dan hidupan lain yang diawet sejak zaman purbakala. Keseluruhan fosil baik yang ditemui mahupun sebaliknya, dan penemuannya dalam pembentukan batu dan lapisan batuan enapan (strata) berfosil dikenali sebagai rekod fosil. Kajian fosil merentas masa geologi, pembentukan fosil, dan hubungan evolusi antara tekson (filogeni) merupakan antara fungsi-fungsi terpenting dalam ilmu sains paleontologi.Spesimen terawet sedemikian boleh dikira sebagai "fosil" jika usianya menjangkaui usia minimum yang tertentu, iaitu selalunya 10,000 tahun dahulu.[1] Oleh itu, usia fosil adalah semuda dari awal Epok Holosen hingga setua dari Eon Arkean beberapa ribu juta tahun dahulu. Pemerhatian bahawa fosil-fosil tertentu dikaitkan dengan strata batuan tertentu mencetuskan ahli geologi masa silam untuk menggagas suatu skala masa geografi pada awal abad ke-19. Perkembangan teknik pentarikhan radiometri pada awal abad ke-20 membolehkan ahli geologi menentukan usia "mutlak" atau bernombor bagi berbagai-bagai strata ini, termasuk sekali fosil-fosil yang tertanam dalamnya.Seperti hidupan yang masih wujud, fosil-fosil ini ada yang sehalus-halus sel bakteria tunggal[2] yang berdiameter satu mikrometer sahaja, atau segergasi dinosaur dan pokok yang bermeter-meter panjangnya dan dan bertan-tan beratnya.Fosil biasanya hanya mampu mengawet sebahagian tubuh badan bangkai hidupan itu, selalunya bahagian itu sedikit sebanyak bertukar menjadi mineral sewaktu hidupan itu hidup, seperti tulang dan gigi vertebrata, atau rangka luar invertebrat yang berkitin. Pengawetan tisu lembut jarang ditemui dalam rekod fosil. Kesan-kesan tinggalan hidupan dalam hayatnya, seperti kesan jejak kaki atau tinja (koprolit) buangan reptilia, juga dikira sebagai fosil, iaitu fosil jejak (atau iknofosil). Akhir sekali, hidupan zaman silam juga meninggalkan kesan yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar tetapi boleh dikesan dalam bentuk isyarat biokimia; inilah fosil kimia atau biomarker namanya.