Pengawetan Fosil

Pempermineralan

Trilobit Asaphus kowalewskii yang diperimineralkan.

Pempermineralan berlaku selepas bangkai dikebumikan, kerana ruang-ruang kosong di dalam suatu organisme (ruang yang berisi cecair atau gas ketika hidup) diisi dengan air bumi yang kaya dengan mineral, kemudian bahan mineralnya termendak dari air bumi itu lalu mengisi ruang-ruang kosong tersebut. Proses ini hanya berlaku dalam ruang yang amat kecil, seperti dalam dinding sel tumbuhan. Proses pempermineralan berskala kecil boleh menghasilkan fosil yang amat lengkap. Untuk membolehkan proses pempermineralan, organisme terbabit mesti dilitupi oleh mendapan sebaik sahaja mati atau selepas proses awal pereputan. Sejauh manakah bangkai tersebut reput setelah dilitupi inilah yang menentukan muka bentuk fosilnya pada zaman akan datang. Sesetengah fosil hanya tinggal rangka dan giginya; tetapi ada yang masih kekal kulit, bulu ataupun tisu lembutnya. Inilah salah satu bentuk diagenesis.

Acuan luar siput dwicangkerang dari Bentukan Logam, Zaman Karbon Awal, Ohio.Batu karang scleractinia yang dihablurkan semula (aragonit kepada kalsit) dari zaman Jurasik di Israel selatan.

Acuan

Kadang-kadang, bangkai asal organisme itu lerai atau hancur sepenuhnya, sehingga tinggal sahaja lubang berbentuk organisme tersebut dalam batuan, iaitu acuan luar. Jika lubang ini diisi dengan bahan galian yang lain, maka kas jadinya. Acuan dalam pula terbentuk apabila bahan mendapan atau galian mengisi rongga dalaman organisme, seperti dalam siput dwicangkerang atau siput babi.

Penggantian dan penghabluran semula

Penggantian terjadi apabila cangkerang, tulang atau tisu lain digantikan dengan mineral lain. Adakalanya, penggantian cangkerang asal dengan mineral berlaku dengan beransur-ansur sekali sehingga ciri-ciri mikrostrukturnya dapat diawet walaupun bahan aslinya lenyap sepenuhnya. Begini, cangkerang dikatakan mengalami penghabluran semula iaitu sebatian rangka asalnya masih kekal tetapi dalam bentuk lain yang berhablur, iaitu dari aragonit menjadi kalsit.

Fosil mampatan

Fosil mampatan, seperti fosil paku-pakis, adalah hasil tindakbalas kimia molekul-molekul organik kompleks yang membentuk tisu-tisu organisme, yang mana fosilnya terdiri daripada bahan asli, meskipun dalam keadaan ubahan geokimia. Selalunya yang tinggal ialah filem berkarbon. Perubahan kimia ini merupakan satu jenis diagenesis.