Gear_kisar
Gear_kisar

Gear_kisar

Sistem gear kisar atau gear planet ialah sejenis sistem gear yang terdiri daripada satu atau lebih gear luaran, iaitu gear planet, yang berpusing di keliling gear pusat, iaitu gear matahari. Lazimnya, gear planet ini terpasang di atas cabang yang boleh bergerak iaitu pembawa yang berputar secara nisbi dengan gear matahari. Sistem gear kisar turut menerapkan penggunaan sejenis gear gelang luaran atau anulus, yang berpanca dengan gear planet. Gear planet ini lazimnya digolongkan kepada gear planet ringkas dan majmuk. Gear planet ringkas mempunyai satu matahari, satu gelang, satu pembawa dan satu peranggu planet. Gear planet majmuk pula melibatkan satu atau lebih daripada tiga jenis struktur yang berikut: planet berpanca (terdapat sekurang-kurangnya dua lagi planet yang saling berpanca dalam setiap pawai planet), planet bertingkat (wujudnya sambungan aci antara dua planet dalam setiap pawai planet), dan struktur bertingkat-tingkat (sistem mengandungi dua atau lebih peranggu planet). Berbanding dengan gear planet ringkas, gear planet majmuk memiliki kelebihan nisbah pengurangan yang lebih rendah, nisbah tork-berat yang lebih tinggi, serta konfigurasi yang lebih anjal. Paksi-paksi semua gear biasanya selari, tetapi untuk kes-kes tertentu seperti pengasah pensel, paksi-paksi tersebut boleh diletakkan pada satu sudut, menerapkan unsur-unsur gear serong. Lebih-lebih lagi, paksi-paksi matahari, pembawa planet dan anulus biasanya sepaksi.