Geografi_Negeri_Sembilan

Negeri Sembilan terletak di wilayah tengah Semenanjung Malaysia, yakni di sebelah selatan negeri Selangor. Negeri ini bersempadan dengan Pahang di sebelah timur dan Melaka serta Johor di sebelah selatan. Bandar Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak cuma 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan. Sambil Banjaran Titiwangsa semakin menirus menghala tanah rendah Johor, rupa bumi bergunung-ganang dan hutan belantara beransur berubah menjadi ladang-ladang getah dan kelapa sawit di sebelah barat.Negeri Sembilan mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 722,000 orang (bancian penduduk tahun 1991). Dari jumlah ini, 56% terdiri daripada orang Melayu, 29.7% kaum Cina, 16.4% India dan 1.4% lain-lain. Purata kepadatan penduduk ialah 109 orang setiap kilometer persegi.