Pendidikan George_Orwell

Ketika berumur lima tahun, Blair dihantar ke sebuah sekolah kariah Gereja England di Henley-on-Thames yang pernah dihadiri oleh kakaknya. Beliau tidak pernah menulis tentang kenangannya di sekolah ini, tetapi guru-gurunya pasti tertarik kepadanya kerana dua tahun kemudian, beliau diperakukan kepada seorang guru besar di sebuah sekolah persediaan yang termasyhur di England: Sekolah St Cyprian di Eastbourne, Sussex. Blair menyertai St Cyprian melalui biasiswa yang membenarkan ibu bapanya membayar hanya setengah daripada yuran yang biasa. Banyak tahun kemudian, beliau mengenang-ngenangkan masanya di St Cyprian dengan rasa marah dan kecewa dalam eseinya "Itu, Itulah Kegembiraannya" ("Such, Such Were the Joys"). Bagaimanapun, pada masanya di St. Cyprian, Blair berjaya mendapat biasiswa-biasiswa untuk menyertai kedua-dua Kolej Wellington dan Kolej Eton.

Selepas setahun di Kolej Wellington, Blair berpindah ke Eton dan menjadi "Pemegang Biasiswa Raja" {King's Scholar) dari 1917 sehingga 1921. Blair kemudian menulis bahawa beliau "agak gembira" di Eton kerana kolej itu memberikan pelajarnya banyak kebebasan, tetapi beliau tidak lagi sungguh-sungguh belajar selepas ketibaannya di sana. Laporan-laporan tentang prestasi akademiknya di Eton berbeza-beza; sesetengah laporan menyatakan bahawa Blair merupakan penuntut yang lemah, manakala laporan-laporan yang lain memberi penilaian yang bertentangan. Beliau jelas tidak disukai oleh sesetengah guru yang berasa geram terhadap apa yang dianggap mereka sebagai sikap tidak hormat terhadap pihak berkuasa. Pada masa di sekolah, Blair menjalin persahabatan seumur hidup dengan sebilangan bakal cendekiawan British, termasuk Cyril Connolly, bakal penyunting kepada majalah Horizon. Banyak daripada esei-esei Blair yang paling terkenal diterbitkan buat pertama kali dalam majalah tersebut.