Gerakan_Tanah_Air

Gerakan Tanah Air (Jawi: ‏ݢرقن تانه اءير‎‎, GTA) ialah sebuah gabungan politik yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan yang meliputi kumpulan profesional/akademik serta pemimpin masyarakat di Malaysia. GTA yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7 Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ketika ini terdiri daripada empat parti utama, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat.Penubuhan GTA diumumkan pada 4 Ogos 2022 dalam sebuah sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Agenda utama GTA adalah untuk memperjuangkan kepimpinan Melayu yang berwibawa, bersih, cekap dan amanah bagi tujuan melindungi hak orang Melayu, Islam dan Bumiputera dengan cara menukar kerajaan sedia ada menerusi jalan demokratik dan berperlembagaan. GTA tertubuh berdasarkan latarbelakang keadaan politik semasa di Malaysia yang tidak stabil apabila prinsip kepimpinan yang amanah (integriti) telah tergugat akibat permainan politik oleh parti-parti politik tertentu. Akibatnya, keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi telah terhakis akibat siri-siri pengkhianatan mandat rakyat disamping budaya rasuah yang wujud dikalangan pemimpin parti politik hingga menyebabkan peratusan keluar mengundi dalam beberapa siri Pilihanraya Negeri jatuh merudum.GTA juga berperanan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik yang berteraskan integriti dan meletakkan pemimpin Melayu yang lebih berwibawa, bersih, cekap serta amanah untuk memimpin rakyat dan pentadbiran negara. GTA merancang untuk bertanding 120 kerusi pada pilihan raya umum Malaysia ke-15 (PRU-15) terutama di kawasan-kawasan Melayu yang ditandingi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).