Rawatan Gout

Serangan

Rawatan peringkat pertama untuk serangan akut harus merupakan melegakan kesakitan. Sebaik sahaja diagnosis disahkan, drug-drug pilihan ialah indometasin dan drug-drug anti keradangan bukan steriod (NSAID) yang lain, atau glukokortikoid intraartikular yang diberikan melalui suntikan sendi.

Pada suatu ketika, kolkisin adalah drug pilihan untuk serangan-serangan gout yang akut. Drug ini mengurangkan keupayaan granulosit untuk bergerak dan boleh menghalang fenomena keradangan yang memulakan serangan gout. Kolkisin harus dimakan dalam tempoh 12 jam pertama dari permulaan serangan dan biasanya akan melegakan kesakitan dalam tempoh 48 jam. Kesan sampingan utamanya ialah gangguan gastrousus. NSAID kini merupakan bentuk analgesia yang diutamakan untuk pesakit-pesakit gout.

Sebelum bantuan perubatan dapat diperoleh, sesetengah ubat yang dijual di kedai farmasi boleh memberikan kelegaan sementara untuk kesakitan dan bengkak. NSAID seperti ibuprofen boleh mengurangkan sedikit kesakitan dan keradangan, tetapi aspirin harus tidak digunakan kerana drug ini boleh memburukkan lagi keadaan itu. Salap buasir sediaan H boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak secara sementara. Untuk jangka panjang, rawatan perubatan profesional diperlukan.

Pencegahan

Rawatan jangka panjang (untuk serangan-serangan yang kerap) ialah terapi antihiperurisemia. Perubahan diet boleh mengurangkan aras urat plasma jika diet itu tidak banyak mengandungi purina kerana badan akan memetabolismekannya menjadi asid urik. Diet yang disyorkan ialah makanan-makanan peneutral purina, seperti buah-buahan segar (khususnya buah ceri, dan strawberi) dan kebanyakan sayur-sayuran segar, jus saderi tercair, air suling, serta vitamin B-kompleks dan vitamin C. Alkohol serta makanan purina tinggi, seperti daging, ikan, kacang (termasuk lentil, dan kacang pea), cendawan, daun bayam, pucuk asparagus, dan kubis bunga, harus dielakkan.

Salah satu ubat semula jadi yang kuat ialah ekstrak buah beri yang terdiri daripada bilberi, beri biru atau ceri. Bahan-bahan antosianida yang memberikan warna biru dan unggu kepada beri-beri tersebut menjadi bahan anti radang selepas memasuki badan. Ini mungkin merupakan pilihan yang lebih baik untuk pesakit-pesakit transplan yang sering menghidap gout, disebabkan pertambahan ketoksikan dan bebanan pada ginjal yang diakibatkan oleh ubat penindas keimunan.

Bagaimanapun, bahan utama untuk pendekatan ini ialah drug alopurinol yang merupakan satu perencat oksidase xantina yang mengurangkan penghasilan asik urik secara langsung. Walaupun demikian, rawatan alopurinol harus tidak dimulakan semasa serangan gout kerana ubat ini boleh memburukkan lagi serangan tersebut. Tetapi seorang pesakit yang telah menerima rawatan alopurinol sebelum serangan harus meneruskannya.

Keputusan untuk menggunakan alopurinol sering merupakan keputusan sepanjang hayat. Penyakit gout diketahui kambuh menjadi gout artritis akut apabila pesakit-pesakit berhenti pengambilan alopurinol kerana perubahan aras urat serum yang pada dirinya kelihatan mengakibatkan pemendakan hablur.

Febuksostat, satu perencat bukan purina yang baru untuk oxidase xantina, kelihatan merupakan alternatif yang lebih baik berbanding dengan alopurinol. [1] Probenesid, satu drug urikosurik yang menggalakkan pengumuhan asid urik ke dalam kencing, juga biasa dipreskripsikan — seringnya bersama-sama dengan kolkisin. Suatu perkara yang menarik adalah bahawa drug fenofibrat yang digunakan untuk merawat hiperlipidemia juga memberi kesan urikosurik yang berfaedah (Bardin 2003). Sebaliknya, alopurinol dan agen-agen urikosurik tidak sesuai untuk pesakit-pesakit karang ginjal dan keadaan-keadaan renal yang lain.

Oleh sebab hipertensi arteri (darah tinggi) sering wujud seiring dengan gout, rawatan dengan losartan (suatu antagonis reseptor angiotensin) mungkin akan memberi kesan tambahan yang berfaedah terhadap aras-aras plasma asid urik. Dengan ini, losartan boleh mengimbangi kesan sampingan tiazida (satu kumpulan diuretik yang digunakan untuk darah tinggi) yang negatif terhadap metabolisme asid urik bagi pesakit-pesakit gout. Telah dicurigai bahawa dalam banyak kes, gout mungkin merupakan suatu penyakit sekunder kepada apnea tidur yang tidak dirawat, ketika sel-sel yang tidak menerima oksigen yang mencukupi menghasilkan purina-purina sebagai keluaran sampingan. Dalam kes tersebut, rawatan untuk apnea boleh mengurangkan kejadian serangan gout akut.

Sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2004 menunjukkan bahawa sumber-sumber purina daripada daging haiwan, seperti daging lembu dan makanan laut, amat meningkat risiko hidapan gout. Bagaimanapun, sumber-sumber purina daripada sayur-sayuran tidak mengakibatkannya. Keluaran-keluaran tenusu lemak rendah seperti susu skim (susu tanpa lemak) juga amat mengurangkan kemungkinan menghidap gout. Kajian ini telah mengikut melebihi 40 ribu orang lelaki selama bertahun-tahun, dengan 1,300 kes gout daripada kumpulan ini dilaporkan. (Choi 2004)

Pembedahan

Untuk kes-kes gout yang keterlaluan, pembedahan mungkin diperlukan untuk menghapuskan tofus yang besar serta untuk membetulkan kecacatan sendi.

Rawatan Tradisional

1.)Rebus kulit kentang dengan air untuk menjadikannya ekstrak kulit kentang. Minum air rebusan itu @ ekstrak kulit kentang.2.)Ambil anak pokok durian beserta akarnya sekali (Biji buah durian juga boleh digunakan sebagai ganti anak pokok durian dan akarnya bagi menyelamatkan pokok-pokok durian sedunia). Kemudian rebuskannya (buat sup) bersama dengan kaki ayam (bukan ayam kampung). Sup itu diminum dan kaki ayam itu dimakan. Cara tradisional ini adalah antara cara yang paling berkesan dalam merawat penyakit gout.3.)Ambil beberapa helai daun pandan dan rebuskanya.Minum air rebusan tersebut.Amalkan 2 kali seminggu.

Rujukan

WikiPedia: Gout http://arthritismd.com/gout.html http://ard.bmjjournals.com/cgi/content/full/62/6/4... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://www.diseasesdatabase.com/ddb29031.htm http://www.emedicine.com/med/topic924.htm http://www.healthinplainenglish.com/health/musculo... http://mysensasi.com/cara-merawat-gout/