Sinopsis Habil_&_Qabil_(drama)

Berlatarbelakangkan Kampung Sungai Manik di era tahun 60an hingga masa kini. Habil Najmi (Aaron Aziz) dibesarkan oleh Yusoff (Azhan Rani) dan Umairah (Zila Bakarin) setelah ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Habibah (Abby Nazri). Habil ditatang bagai minyak penuh oleh Umairah tetapi Yusoff selalu bersikap garang terhadap anak angkat ini.

Qabil Iskandar (Zed Zaidi) pula dilahirkan dan membesar di keluarga yang mewah. Ayahnya, Qamarul (Rashidi Ishak) seorang pengusaha tanah yang berjaya tetapi jarang meluangkan masa bersama isterinya, Intan (Abby Abadi) dan Qabil kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Qamarul yang bersikap dingin dengan Intan juga mengesyaki Qabil bukan anak kandungnya sebaliknya anak Intan bersama bekas kekasihnya, Smith (Geofrey Perrin Williams). Sementara itu, Qamarul juga sering terganggu dengan kisah silamnya di Kampung Sungai Manik.

Walaupun Habil dan Qabil belajar di sekolah berasrama yang sama di bandar, tetapi mereka tidak berkawan rapat dan sering bersaing dalam akademik dan sukan. Selepas tamat sekolah, Habil dan Qabil membawa haluan masing-masing sehingga bertemu kembali di dunia korporat. Kini, Qabil sibuk menguruskan syarikat arwah ayahnya yang telah bergabung dengan syarikat ayah tirinya, Smith iaitu Syarikat Qam & Smith Properties.

Sejak kematian suaminya, Intan telah memberi kepercayaan penuh kepada Smith dan tidak mengambil peduli mengenai hal ehwal syarikat. Habil pula berjaya memiliki syarikat sendiri. Habil menganggap pelaksanaan projek padang golf Qamarul di tanah Yusoff telah memusnahkan kehidupan Yusoff dan Umairah. Justeru itu, Habil telah bertindak agresif untuk merampas semua mega projek Qam & Smith Properties untuk membalas dendam. Mereka bukan sahaja bersaing dalam perniagaan tetapi juga jatuh hati kepada Maria (Siti Saleha). Tanpa diketahui, Maria juga menyimpan agenda sendiri selepas memutuskan untuk mengahwini Qabil.