Biografi Hafiz_Suip

Hafiz ialah anak sulung daripada tiga adik-beradik yang berasal dari Kuching, Sarawak. Setelah menghabiskan pelajaran di SMK St Joseph, beliau menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia pada awal tahun 2009 setelah lulus dalam uji bakat di Kuching. Pada bulan Mei, Hafiz yang ketika itu berusia 19 tahun merangkul gelaran juara Akademi Fantasia musim ini.[2] Sebagai berkongsi kenangan dengan para peminat, Hafiz turut mengacarakan rancangan istimewa Menuju Puncak di Astro Ria tidak lama kemudian.[3]

Ketika beraksi di konsert akhir AF7, Hafiz memperkenalkan single pertamanya, "Masih Jelas", yang turut menerima sambutan hangat di radio. Bagaimanapun, lain ceritanya bagi video muzik lagu ini apabila pernah dikhabarkan terpaksa dibuat penggambaran semula kerana didapati video asalnya "kurang sesuai ditonton oleh peminat muda".[4] Apapun, lagu ini layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-24 anjuran TV3 pada awal tahun 2010.[5]

Pada tahun yang sama, Hafiz menjadi selebriti pertama yang menyumbangkan suaranya kepada projek alih suara Bahasa Malaysia di Cartoon Network, dengan menyuarakan watak Ben Tennyson dalam telefilem Ben 10: Alien Swarm, sekaligus mengikut jejak langkah bekas pelajar AF terdahulu dan personaliti Astro lain yang pernah menyumbangkan suara mereka kepada versi BM filem-filem seumpamanya.[4] Selepas itu, beliau mengikuti rakan-rakan semusim AFnya, Aril dan Akim, serta Black dan Choo Hou Ren untuk menjayakan kempen Brand's Generasi Hebat yang menyaksikan kelima-lima mereka ini menyanyikan lagu temanya, "Juara".[6]

Hafiz juga terlibat dalam dunia teater pada Jun 2010 dengan teater berjudul KITA The Musical, melakonkan watak utama, Rahman, yang telah dipentaskan di Istana Budaya dan mendapat sambutan hangat. Produksi tersebut yang diinspirasikan oleh gagasan 1 Malaysia juga turut menampilkan Eric Lin, Michael Rao dan Adila AF sebagai teraju utama.

Single kedua dari Hafiz, ciptaan komposer ternama, Ajai dan lirik oleh Sheikh Qalam, berjudul Noktah Cinta semakin melonjakkan nama Hafiz dalam industri muzik Malaysia. Kejayaan terbesar beliau setakat ini adalah merangkul gelaran Vokal Terbaik dan seterusnya mendapat Tempat Ketiga di Anugerah Juara Lagu ke-25 pada Januari 2011.

Baru-baru ini pula, Hafiz telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Belia Sarawak untuk Kategori Kebudayaan dan Keseniaan sempena Majlis Perhimpunan Belia Sarawak 2011 yang telah diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada 18 Mac 2011.

Hafiz yang menikahi Nureffy Jasreel Abdullah pada 14 Mei 2016,baru sahaja menimang cahaya mata pertama ,bayi lelaki pada 31 Disember 2017 yang bernama Muhammad Riyadh Zafri.