Persediaan Hari_Gawai

Persediaan untuk menyambut Gawai Dayak bermula bila tibanya bulan Mei dengan penapaian "tuak" iaitu sejenis minuman tradisi komuniti Dayak. Penapaian tuak mengambil masa selama kira-kira sebulan. Tuak dihasilkan daripada penapaian nasi pulut yang telah dimasak dan dicampur ragi sebelum disimpan dalam tempayan. Bila sudah ada sedikit air tuak tulen pada nasi pulut yang ditapai itu, air yang telah dimasak dan dicampur gula akan ditambahkan secukupnya mengikut banyaknya nasi pulut tersebut. Pada akhir bulan Mei, air tuak itu boleh ditapis dan diminum. Meminum tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.

Setelah siap membuat tuak iaitu selepas pertengahan bulan Mei, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang dipanggil "sarang semut", "acuan" dan "kuih sepit". Kuih-muih ini diperbuat daripada tepung beras yang dicampur air, telur and gula lalu digoreng sehingga keras dan kering dalam minyak masak. Kuih-muih yang telah siap akan disimpan dalam tempayan atau tin supaya tahan untuk beberapa minggu tanpa basi sementara menunggu tibanya hari gawai.

Sebelum berakhirnya bulan Mei, gotong-royong untuk pembersihan dan perhiasan rumah panjang atau kampung boleh diadakan seperti mengecat atau membaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak. Rumah panjang dibina mengikuti peraturan-peraturan tertentu supaya ia digunakan sebagai tempat kediaman dan juga tempat beribadat. Jadi, pembinaan arkitek ini mesti dikekalkan sepnajang masa.[2]

Selepas itu, acara pembersihan kubur selalunya diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan bagi orang-orang yang telah meninggal seperti nenak-moyang, ahli-ahli keluarga, sahabat handai and masyarakat setempat.

Rumah panjang atau kampung seterusnya akan bermesyuarat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa atau komiti bagi mengatur acara sambutan gawai pada 31hb Mei dan 1hb Jun. Acara-acara tradisi termasuklah meminum air panjang umur, perarakan menyambut Tuhan, pertandingan ratu cantik seperti pekit Kumang dan Keling bagi kaum Iban, pendirian pokok "ranyai", bermain muzik tradisi, menari tarian asal seperti ngajat dan datun jalut, persembahan seni mempertahankan diri dan menyanyikan puisi rakyat.

Pada zaman moden sekarang, acara sukaneka pada siang harinya, permainan sukaria, karaoke, bejoget dan disco boleh diselitkan untuk memeriahkan suasana gawai.

Peraturan-peraturan khas untuk dipatuhi oleh orang ramai juga akan ditentukan untuk menjaga suasana gawai yang meriah tanpa pergaduhan dan gangguan yang lain. Bagi kaum Iban, peraturan ini dipanggil "begeliga".