Sejarah Heckler_&_Koch_HK416

Program Model 416 bermula setelah HK diberikan tugas oleh pihak Amerika untuk mempertingkatkan sistem persenjataan utama mereka, khasnya M4 dan M16. HK melaksanakan beberapa siri ujian serta uji nilai yang mempunyai tujuan bagi mengumpul maklumat berkenaan sistem M4. Dari hasil kajian yang dilakukan, terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh raifal versi M16 dan M4 ini. Antaranya ialah sistem alat kerja dan kitaran mekanikal yang terdapat pada raifal tersebut. Sistem kitaran gas operasi pada M16 sebenarnya adalah sistem gas yang mula diperkenalkan pada tahun 1955 oleh seorang jurutera raifal bernama Eugene Stoner. Sistem ini mempunyai pengoperasian gas yang pada ketika itu dianggap unik, iaitu sebahagian kecil daripada tekanan gas dari laras raifal yang terhasil semasa tembakan dijalankan, disalur keluar melalui satu lubang kecil di bahagian hadapan laras dan disemburkan secara terkawal ke belakang untuk menolak perumah dan bolt ke belakang. Gas ini disalurkan ke belakang dari laras melalui satu tiub aluminium yang memanjang, dari bawah pejera hadapan sehinggalah pada bahagian badan utama raifal dan akan menolak perumah serta membuka kekunci kebuk laras melalui proses putaran kepala bolt. Pada awal pengenalannya, sistem ini direka dalam bentuk raifal AR-15 buatan syarikat persenjataan Armalite, tetapi sebaik sahaja ia digunakan secara meluas oleh pihak tentera Amerika serta seluruh dunia, raifal tersebut telah dikenali sebagai M16. Di awal pengunaannya terdapat beberapa masalah yang menyebabkan raifal tersebut kerapkali mengalami masalah hentian. Setelah kajian demi kajian dilakukan, masalah tersebut telah dikenalpasti. Antaranya berpunca dari kotoran yang banyak di dalam tiub gas kerana jenis peluru digunakan mempunyai belerang yang menghasilkan karbon yang tinggi serta menghasilkan terlalu banyak asap. Dengan penggunaan yang berterusan, asap atau karbon yang melekat pada tiub gas menyebabkan ia mudah tersumbat. Masalah ini kemudiannya telah berjaya diselesaikan oleh pakar persenjataan Amerika. Setelah Amerika memperkenalkan sistem M4 yang mempunyai saiz laras yang lebih pendek, masalah ini timbul semula. Paling buruk sekali ialah apabila digunakan ketika beroperasi di kawasan yang berpasir atau berdebu. Hentian yang dihadapi dikatakan bertambah buruk, memandangkan ia mempunyai laras yang lebih pendek yang menjadikan saluran gas di atas laras juga adalah pendek. Ini dianggap sebagai punca kegagalan karbin tersebut untuk berfungsi dengan baik. Ini kerana bagi sistem M16, hubungan antara perumah bolt, panjang laras, kedudukan lubang gas pada laras serta kekuatan tekanan gas yang dihasilkan oleh belereng mempunyai hubungkait secara langsung dengan prestasi kitaran mekanikal senjata. Sebarang perubahan pada berat peluru dan kualiti belerang, panjang laras atau kedudukan liang gas di laras akan mengubah kekuatan tekanan yang memasuki tiub gas dan tolakan ke perumah bolt belakang. Memandangkan sistem M4 mempunyai panjang laras yang lebih pendek serta kedudukan liang keluar gas yang tidak sama dengan raifal M16 tentunya ia bakal mengundang masalah seperti tekanan gas akan menolak perumah bolt lebih awal dan tekanan gas yang menghambur ke belakang adalah lebih kuat dari yang sepatutnya. Selain masalah penukaran saiz, laras raifal M4 yang diperbuat dari logam jenis Krom Molibdenum Vanadfium akan mengubah keadaannya apabila suhu mencecah 1100 darjah dan boleh mengakibatkan menghadapi masalah seperti laras akan retak atau pecah.

Rujukan

WikiPedia: Heckler_&_Koch_HK416 http://www.defenseindustrydaily.com/the-usas-m4-ca... http://www.hk94.com/hk416-rifle.html http://www.hkd-usa.com/HKWebNews/byItemID///13//3/... http://www.hkpro.com/hk416.htm http://www.military.com/soldiertech/0,14632,Soldie... http://www.heckler-koch.de/HKWebText/detailProd/19... http://www.aftenposten.no/nyheter/iriks/article173... http://www.mil.no/felles/fms/start/fagomrader/mark... http://www.mil.no/start/aktuelt/nyheter/article.jh... http://world.guns.ru/assault/as75-e.htm