Hepatitis_A
Hepatitis_A

Hepatitis_A

Hepatitis A (dahulunya dikenali sebagai hepatitis berjangkit) merupakan penyakit berjangkit hati yang akut, yang disebabkan oleh virus hepatitis A (HAV).[1] Kebanyakan kes tidak menunjukkan simptom atau menunjukkan simptom yang sedikit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.[2] Dalam kalangan mereka yang dijangkiti, tempoh antara jangkitan dengan simptom adalah antara dua hingga enam minggu.[3] Apabila menunjukkan simptom, simptom ini berlanjutan selama lapan minggu dan mungkin merangkumi: rasa mual, muntah, cirit-birit, kulit kuning, demam, dan sakit abdomen.[2] Kira-kira 10–15% daripada mereka yang dijangkiti mengalami simptom berulang sepanjang enam bulan selepas jangkitan awal.[2] Kegagalan hati akut amat jarang berlaku tetapi masih boleh berlaku lebih-lebih lagi dalam kalangan warga tua. [2]Penyakit ini biasanya tersebar melalui pengambilan makanan atau air yang dicemari oleh najis yang dijangkiti.[2] Kerang-kerangan yang tidak dimasak secukupnya merupakan punca biasa. [4] Penyakit ini juga boleh tersebar melalui sentuhan dengan orang yang boleh menjangkitkan penyakit.[2] Walaupun kanak-kanak seringkali tidak menunjukkan simptom apabila dijangkiti, mereka masih mampu menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain.[2] Selepas satu jangkitan, individu tersebut menjadi imun terhadap penyakit ini sepanjang hidup mereka.[5] Diagnosis memerlukan ujian darah kerana simptomnya menyerupai beberapa penyakit lain.[2] Ia merupakan satu daripada lima virus hepatitis yang diketahui: A, B, C, D, dan E.Vaksin hepatitis A berkesan dalam pencegahan.[2][6] Beberapa buah negara mengesyorkannya secara rutin kepada kanak-kanak dan mereka yang mempunyai risiko lebih tinggi dan belum pernah divaksinkan. [2][7] Ia dipercayai berkesan sepanjang hayat.[2] Langkah pencegahan yang lain termasuk mencuci tangan dan memasak makanan dengan secukupnya.[2] Tiada rawatan yang khusus, hanya rehat dan ubat untuk rasa mual atau cirit-birit disyorkan sekiranya perlu.[2] Jangkitan biasanya sembuh sepenuhnya tanpa penyakit hati yang berterusan.[2] Rawatan kegagalan hati akut, sekiranya berlaku, ialah dengan pemindahan hati.[2]Kira-kira 1.5 juta kes bersimptom berlaku setiap tahun di seluruh dunia [2] dengan kemungkinan berjuta-juta kes jangkitan secara keseluruhannya.[8] Penyakit ini lebih biasa ditemui di kawasan dengan kebersihan yang lemah dan tiada air yang cukup selamat untuk diminum. [7] Di negara sedang membangun, kira-kira 90% daripada kanak-kanak sudah dijangkiti penyakit ini pada umur 10 tahun dan oleh itu, sudah imun apabila dewasa. [7] Ia sering tercetus sebagai wabak di negara yang agak maju, tempat kanak-kanak tidak terdedah kepada penyakit ini pada usia muda dan tiada pemvaksinan meluas.[7] Pada tahun 2010, hepatitis A akut mengakibatkan 102,000 kematian.[9] Hari Hepatitis Sedunia diadakan setiap tahun pada 28 Julai untuk memberi kesedaran tentang hepatitis virus.[7]