Hikayat_Seri_Rama
Hikayat_Seri_Rama

Hikayat_Seri_Rama

Hikayat Seri Rama ialah salah satu daripada dua versi gubahan dan pendaerahan Melayu untuk versi Ramayana yang ditulis oleh Valmiki dalam bahasa Sanskrit. Versi gubahan yang lain itu ialah Hikayat Maharaja Wana. Hikayat ini yang pada asalnya ditulis dalam tulisan Jawi menunjukkan kelainan ejaan nama kerana penterjemahnya tidak mengenali nama-nama tokohnya secara benar lagi. Tujuan utama Hikayat Seri Rama adalah untuk menampilkan kewajaran, kasih sayang, kesetiaan, dan penumpuan yang tidak mementingkan diri. Ia berdasarkan kisah Seri Rama, iaitu sebuah kisah mitos dalam kitab suci agama Hindu Ramayana yang terkenal di India. Ia di tukar bahasa dalam semua versi seluruh Asia. Cerita mengenai seorang anak di raja (Dhasaradha Maharaja) kelahiran Dewa Vishnu terpaksa akur dengan perintah ibu bapanya untuk berhijrah di hutan selama 14 tahun bersama adiknya Lakhsmana dan isterinya Sri Sita Devi. Ravana Maharaja yang memerintah negara Langkapuri (kini Sri Lanka) menculik isteri Sri Rama kerana jatuh cinta dengan kecantikan Sri Sita Devi.Legenda Rama, sebagaimana yang digambarkan oleh Valmiki, tiba di pantai Indonesia pada abad ke-9, dan beransur-ansur tersebar ke seluruh Jawa dan Bali. Bagaimanapun, penglipur-penglipur lara tempatan telah menyetempatkan Ramayana dan menampilkan warisan tamadun mereka dalam versi hikayat mereka. Agama juga mempengaruhi perubahan-perubahan tersebut, disebabkan orang-orang Melayu telah menjadi penganut Islam ketika itu.Banyak cerita ranting telah dikembangkan sebagai pertambahan atau pelanjutan untuk hikayat Ramayana, termasuk penambahan motif-motif daripada roman kesateriaan Panji Jawa, peningkatan watak-watak yang kurang penting menjadi watak-watak yang utama, atau perekaan watak-watak yang baru. Umpamanya, para penulis dan penglipur lara Melayu telah menghasilkan kelainan-kelainan yang menjadikan Lakhsmana, adik lelaki Rama, merupakan watak yang lebih penting berbandingnya. Walaupun Rama merupakan seorang yang salih dan berakhlak mulia, beliau dirasakan sebagai orang yang lemah dan oleh itu, wataknya sering dipindah ke latar belakang. Keberanian dan kemampuan Lakhsmana untuk bertindak dengan tegas kelihatan merupakan sifat-sifat yang dihargai oleh kaum Melayu.Hikayat Seri Rama merupakan salah satu wadah cerita yang dipentaskan dalam seni wayang kulit. Dalang-dalang wayang kulit memilih episod-episod yang paling teruja untuk pertayangan-pertayangan mereka, khususnya adegan-adegan yang berkaitan dengan perkahwinan Seri Rama dengan Sita Dewi, penculikan Sita Dewi, pertempuran-pertempuran terakhir di Langkapuri, serta penyelamatan wirawati oleh suaminya.