Etimologi Hinduisme

Orang Aryan menyebut agama mereka sebagai Arya Dharma - agama orang Aryan. Mereka langsung tidak mengenal perkataan 'Hindu'. Perkataan Dharma dalam konteks ini bermaksud agama atau tugas-tugas agama. Orang Aryan juga memanggil agama mereka sebagai Manava Dharma yang bermaksud 'Agama untuk Manusia' iaitu agama ini bukan sahaja untuk orang Aryan tetapi untuk seluruh umat manusia. Satu lagi nama untuk agama ini ialah Sanatana Dharma - Agama yang Abadi, yakni agama mereka berasaskan kepada kebenaran abadi. Secara tidak langsung, agama Arya atau agama Hindu membawa maksud yang sama.

Salah sebuah negara yang berdekatan dengan India purba ialah Persia. Sungai Indus (Sindhu dalam bahasa Sanskrit) menjadi sempadan antara Persia dan Aryavarta (nama India purba). Orang Persia menyebut huruf 'S' sebagai 'H', maka Sindhu menjadi Hindhu. Demikian, agama penduduk India menjadi agama Hindu.

Perkataan Hindu 'Dharma' mempunyai maksud yang mendalam dan lebih luas berbanding perkataan 'agama'. Dharma berasal dari akar Sanskrit 'dhri' (untuk berpegang). Maka, Dharma bermaksud apa yang dipegang oleh sesuatu kehidupan. Semua benda dalam alam semesta ini mempunyai Dharmanya sendiri kerana kewujudan semua perkara atau benda bergantung kepada sesuatu yang lain. Terhadap apakah kewujudan sesuatu benda bergantung? Sifat semulajadi sesuatu benda menentukan kewujudan benda itu iaitu tanpanya benda itu tidak boleh wujud. Misalnya, kuasa pembakaran adalah dharma api; sifat tidak boleh bergerak adalah dharma benda bukan hidup. Manusia juga mempunyai sifat semulajadinya, yang membezakan manusia dengan semua benda hidup lain. Sifat semulajadi itulah yang menjadi Dharma manusia dan ini dikenali sebagai mānava Dharma.