Kuil Hinduisme

Asal-usul

  • Pada zaman Veda, masyarakat Hindu menyembah Tuhan dengan melakukan yagna dengan menggunakan api ( Dewa Agni) sebagai symbol-Nya. Di kawasan terbuka, mereka membina pentas, menyalakan yagna api, dan melakukan persembahan dan korban ke dalam api. Mereka tidak memerlukan kuil untuk bersembahyang. Untuk keperluan duniawi, masyarakat Hindu membina kuil untuk memudahkan upacara ritual. Kuil-kuil di bina berdasarkan Peraturan Agama (Agamic Rules), Vastu Sastra dan Shilpa Sastra. Memudahkan seseorang untuk melihat 'Tuhan' secara rohaniah.
  • Pertikaian masih wujud antara sejarahwan tentang permulaan kuil dalam masyarakat Hindu. Kemungkinan besar, kuil-kuil awal dibina dengan tanah atau kayu. Oleh itu, tentu kuil-kuil ini tidak dapat bertahan lama. Kemudian, bahan-bahan yang tahan lasak seperti batu-batan digunakan untuk membina kuil. Menurut suatu pendapat, kemungkinan besar, pembinaan kuil bermula pada kurun pertama Masihi.
  • Kuil-kuil Hindu biasanya dibina di tempat-tempat yang indah seperti tebing sungai, bukit-bukau, tepi tasik atau berhampiran laut. Terdapat juga kuil-kuil gua yang dibina dengan mengorek bukit.
  • Pratimāyām tu sānnidhyam arcakasya tapobalāt (the intensity of spiritual power infused in the icon of the presiding deity also depend upon the strength of spiritual power attained by the priest).
  • Seperti Atman (roh) menghuni badan semua mahkluk, Tuhan bersemayam di kuil. Ini dinyatakan dalam Skanda Upanishad seperti berikut: Deho devālayaḥ prokto jīvo devaḥ sanātanaḥ.
  • Bagi orang Hindu, struktur kuil secara keseluruhannya menjadi suatu objek pujaan: Prāsādaṁ puruṣam matvā pūjayet mantravittamaḥ (Ini bermaksud Purusha atau Tuhan adalah Prasada (iaitu kuil) dan para pemuja menyembah imej Tuhan dalam kuil.
  • Bentuk fizikal Prasada (kuil) yang mempunyai Garbhagruham hendaklah dianggap sebagai badan Tuhan dan Vigraha (berhala) Tuhan dalam Garbhagruham hendaklah dianggap sebagai Jiva (roh): Garbhagṛham tu devasya śarīram iti smṛtaṁ pratimā jīva ucyate

Arkitektual Kuil

  • Kuil-kuil Hindu mempunyai ciri-ciri yang seragam seperti: (1) sebuah dom atau menara, (2) sebuah kamar dalam di mana arca Tuhan berada, (3) sebuah ruang untuk orang ramai duduk, (4) sebuah anjung depan, (5) sebuah kolam buatan, jika kuil itu tidak berada berdekatan sumber air seperti sungai atau tasik. Air yang bersih diperlukan untuk mencuci lantai kuil dan upacara ritual. Selain itu, golongan pemuja akan bermandi sebelum memasuki kuil.
  • Menara atau dom dipanggil sebagai shikhara atau puncak. Shikhara ialah simbol untuk gunung Meru, yang dipercayai sebagai puncak yang tertinggi dalam mitologi Hindu. Puncak yang tinggi ini mengingatkan manusia untuk mencapai puncak kerohanian yang tinggi. Gaya shikara ini biasanya berbeza antara India Utara dan India Selatan. Di India Selatan, gaya vimana digunakan untuk dom. Di India Utara pula, gaya nagara digunakan. Biasanya, kuil-kuil di India Selatan juga mempunyai sebuah pintu gerbang yang tinggi, berbentuk pagoda. Pintu gerbang ini dinamakan Gopuram.
  • Kamar dalaman kuil dikenali sebagai garbha-griha (secara literal bermaksud “kamar rahim”). Kamar ini kelihatan seperti sebuah gua. Hati manusia disamakan dengan sebuah gua, di mana Tuhan bersemayam. Kecuali sami kuil, orang lain tidak dibenarkan untuk memasuki garbha-griha. Di sesetengah kuil, orang-orang boleh mengelilingi garbha-griha untuk melakukan pradakshina.
  • Ruang untuk orang ramai duduk dikenali sebagai nata-mandir. Pada suatu ketika dahulu, golongan devadasi (hamba-hamba Tuhan) menari dan bernyanyi di nata-mandir untuk menghiburkan Tuhan. Orang ramai biasanya berdiri atau duduk di sini untuk menyaksikan upacara pemujaan yang berlaku dalam garbha-griha. Di setengah-setengah kuil, ruang nata-mandir biasanya sebuah bangunan yang berasingan daripada garbha-griha.  
  • Di anjung luar sesetengah kuil juga terdapat sebuah loceng besar. Orang ramai yang memasuki atau keluar kuil boleh membunyikan loceng ini sekali dua.

Peranan Kuil dalam Masyarakat Hindu

Lawatan ke kuil bukan sesuatu yang wajib untuk orang-orang Hindu. Biasanya, di setiap rumah orang Hindu terdapat sebuah kamar atau tempat sembahyang. Oleh itu, hanya semasa upacara perayaan agama, biasanya orang Hindu melawat kuil. Akibatnya, kuil-kuil tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap penganut-penganut Hindu.

Kuil-kuil Hindu biasanya mengadakan kirtana (nyanyian lagu-lagu suci) atau ceramah agama untuk orang ramai.