Sinopsis Hogwarts

Hogwarts ialah sebuah sekolah berasrama yang dibina dari sebuah istana kota yang terletak di kawasan pergunungan, berhampiran dengan sebuah tasik. Lokasinya tidak diketahui secara terperinci, tetapi melalui buku, kita boleh mengetahui yang Hogwarts berada di bahagian Utara United Kingdom.

Perkarangan Hogwarts mempunyai gelanggang Quidditch yang menjadi tempat tumpuan utama tahunan bagi sukan Quidditch antara rumah, tasik, Hutan Larangan, rumah pekerja dan rumah hijau.

Pelajar Hogwarts dibahagikan kepada rumah pasukan masing-masing yang terdiri dari empat rumah iaitu Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw dan Slytherin.

Pelajar didatangkan ke Hogwarts dengan sebuah kereta api yang diberi nama Ekspres Hogwarts. Tambahan pula, Penjelmaan Muncul Tiba-tiba tidak boleh digunakan di perkarangan Hogwarts seperti yang tercatat dalam "Sejarah:Hogwarts". Walau bagaimanapun, pengangkutan keluar masuk seperti bas disediakan di perkampungan Hogsmeade dan penyapu juga boleh dipakai sebagai kenderaan. Perjalanan sihir seperti penggunaan Serbuk Floo juga turut boleh digunapakai sebagai cara untuk bergerak keluar masuk Hogwarts melalui pendiangan.

Sekolah ini mempunyai jampi yang kuat dalam mengelakkan dari dijumpai oleh Muggle. Malah, apabila Muggle mendekati, Hogwarts hanya kelihatan seperti sebuah tinggalan lama yang mempunyai tanda amaran. Manakala peranti elektronik juga tidak boleh digunakan di sekolah ini kerana terlalu banyak kuasa ajaib di sana.

Staf Hogwartslah yang mencorakkan kesinambungan pelajar dan sekolah itu, di mana setiap orang pengajar (atau digelar profesor) mempunyai pengkhususan dan Mata pelajaran Hogwarts masing-masing. Terdapat juga pekerja yang berkhidmat sebagai jururawat, pustakawan, penjaga dan penjaga mergastua. Terdapat juga lebih kurang seratus elf rumah bekerja di dapur Hogwarts yang menjadikan Hogwarts sebagai kediaman yang mempunyai paling ramai elf rumah di Britain.

Ia tidak jelas bagaimana Hoqwarts dibiayai. Dikatakan pelajar menanggung belanja pelajaran mereka sendiri. Terdapat juga yang menyatakan bahawa pelajar yang tidak berkemampuan akan diberi bantuan. Pelajaran Muncul Tiba-tiba yang merupakan suatu pelajaran pilihan adalah ditawarkan kepada pelajar tahun enam atau yang berumur tujuh belas tahun dengan bayaran 12 galleon.

Pengurusan pembelajaran dan kelas agak menakjubkan di Hogwarts. Setiap professor akan mengajar satu subjek untuk ketujuh-tujuh tahun (Lima tahun untuk sesetengah pelajaran seperti Peramalan, Arithmansi dan yang lain) dan sekurang-kurang terdapat dua sesi setiap tahun dari tahun ketiga hingga tahun kelima (tahun pertama hingga kelima bagi mata pelajaran teras seperti Posyen, Sejarah Sihir, Transfigurasi, Mantera dan Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam) kerana pelajar Gryffindor sering digabungkan bersama pelajar Slytherin bagi mata pelajaran Posyen atau dengan Hufflepuff bagi Herbologi.

Bagi tahap U.S.S.M, pelajar tahun enam dan tujuh tidak diberi pilihan yang sebegitu. Sekurang-kurangnya, apabila suatu kelas itu berjalan, ia akan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Jika semua kelas ditakrifkan berjalan selama itu, seorang professor mata pelajaran teras akan mengajar sekurang-kurangnya 36 jam seminggu untuk mana-mana kelas pun jika setiap minggu mereka mengajar dua kali sesuatu kelas dan 90 jam jika mengajar lima kali satu-satu kelas. Profesor bagi mata pelajaran bukan teras pula mengajar di antara 24 hingga 60 jam seminggu. Jika diikutkan, tanpa Pemutar Masa, perkara ini seolah-olah mustahil.

Rowling dikatakan telah mengambil perkataan Hogwarts dari buku Molesworth. The Hogwarts merupakan salah satu tajuk rekaan Molesworth, dan Hoggwart juga merupakan nama pengetua Porridge Court, pesaing St. Custard, sekolah persediaan yang paling teruk yang pernah Molesworth pergi.

Jawatan pengetua Hogwarts kemudiannya disandang Profesor Minerva McGonagall. Beliau mengambil alih jawatan ini selepas pengetua sebelumnya Albus Dumbledore dibunuh oleh Severus Snape di perkarangan sekolah itu. Walau bagaimanapun, keadaan kucar-kacir dalam dunia sihir menyebabkan Lord Voldemort menguasai Kementerian Sihir dan Hogwarts lalu meletakkan Profesor Severus Snape sebagai pengetua Hogwarts yang baru.

J. K. Rowling mendedahkan yang Profesor Minerva McGonagall mengambil alih pucuk kepimpinan Hogwarts setelah kematian Profesor Severus Snape dan kejatuhan Lord Voldemort dan Death Eater.[1]