Eropah Hooliganisme

Gejala hooliganisme ini dipercayai berasal dari United Kingdom (UK). Hooliganisme dalam bola sepak moden pertama dilaporkan berlaku di England pada 1880-an. Ketika itu, kumpulan penyokong menakutkan kejiranan, menyerang pengadil, penyokong dan pemain pasukan lawan. Sejak 1960-an, UK terkenal di seluruh dunia dengan samseng bola sepak dan sering kali dianggap sebagai penyakit orang Inggeris. Tahun 1970-an menyaksikan kemunculan firms yang menyokong kelab masing-masing di England dan serata Eropah.

Selain England yang terkenal dengan organisasi-organisasi samseng bola sepaknya, masalah tersebut turut mengancam negara-negara Eropah lain terutama Jerman, Itali dan Poland dari 1960-an hingga 1990-an. Namun ia kini sudah tidak seganas dahulu selepas kerajaan negara-negara berkenaan mengambil tindakan tegas memerangi keganasan berkaitan bola sepak.

Semua kelab bola sepak dari liga utama hingga liga bawahan mempunyai organisasi penyokong fanatik seperti ini. Selain England, Jerman, Itali dan Poland, negara-negara Eropah yang terkenal dengan hooliganisme ialah Belgium, Bosnia dan Herzegovina, Croatia, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Hungary, Israel, Belanda, Ireland, Norway, Portugal, Rusia, Scotland, Serbia, Slovakia, Sweden dan Wales.