Am HyppTV

Set-top-box (STB) yang digunakan TM untuk unifi TV ialah jenis Huawei EC6106v5 dan Huawei EC6108v8. Bermula Januari 2019, para pelanggan baharu unifi dan Broadband tidak akan menerima STB unifi TV dek kerana tabiat tontonan kandungan TV secara bergerak (on-the-go).[15]

Produk Media Box yang baharu, yang digelar unifi Plus Box telah dilancarkan pada 15 Januari 2020. Ini merupakan penaik-tarafan daripada Media Box sebelumnya, yang mana kini ia menggunakan perisian terbina Android TV versi 9.0, menyokong siaran gambar 4K UHD, selain ciri-ciri baharu dan menarik demi pengalaman tontonan yang lebih mengujakan untuk pelanggan unifi.[16]

Semua saluran berbayar boleh dilanggan secara à la carte dengan harga RM6 hingga RM40, ataupun dibeli secara pukal dalam pek unifi TV sedia ada pada harga langganan antara RM30 dan RM60 sebulan. Ciri-ciri istimewa seperti time-shift TV (membeku, memutar balik dan memainkan semula gambar siaran) dan catch-up TV (menonton tayangan yang lepas) disediakan untuk saluran-saluran yang tertentu.

2013 - 2014: Kesemua saluran berbayar yang diperkenalkan sebelum April 2013 digolongkan dalam Platinum Pack, kecuali saluran-saluran Cina (200-an) yang tergolong dalam Ruby Pack dan saluran-saluran sukan (700-an) yang tergolong dalam Sports Pack. Setiap pakej tersebut berharga RM30 sebulan. Gabungan Platinum dan Ruby serta saluran-saluran sukan pilihan (Trace Sport Stars, Outdoor Channel, HyppXtreme & HyppSports Academy), iaitu Mega Pack, boleh dibeli pada harga RM50.

Dari semasa ke semasa, TM telah mengemaskini pakej unifi TV mereka.

TM telah bekerjasama dengan iflix untuk memperluaskan lagi hiburan dan rancangan pilihan. Dengan iflix, para pengguna boleh menonton banyak lagi filem dan drama dari dalam dan luar negara, telenovela, rancangan realiti, kanak-kanak, dan lain-lain. Pelanggan unifi TV boleh mencapai iflix terus daripada kotak atas set melalui butang-i lalu memilih TV Apps.

2016: TM telah memperkenalkan TV Apps – hasil kerjasama dengan pelbagai perkhidmatan penstriman terkemuka di dunia seperti BBC untuk memperluaskan lagi hiburan berkelas dunia untuk semua pelanggan unifi TV. Antaranya ialah BBC Player, dimsum, iflix, Lebara Play, tonton, Viu, dan YuppTV. Kesemua perkhidmatan ini telah diintegrasikan dengan pek langganan unifi TV sedia ada.

2019: TM telah mula mengemaskini paparan antaramuka yang serba baharu melalui unifi TV Media Box sedia ada dan aplikasi playTV@unifi sekitar akhir November ke awal Disember 2019. Pengguna dinasihatkan supaya Media Box berada dalam mod ‘standby’ untuk dikemaskini. Untuk pengalaman tontonan lebih komprehensif di luar rumah, pengguna boleh memuat turun aplikasi baharu playTV@unifi di Apple App Store dan Google Play, atau melayari laman sesawang http://playtv.unifi.com.my untuk tontonan melalui desktop.[17][18]