Sejarah I.O.I

Pra-debut: Produce 101 dan "Crush"

Rencana utama: Produce 101

Sebelum Produce 101, beberapa ahli I.O.I sudah dikenali selepas muncul dalam rancangan televisyen yang lain: Kim Se-jeong merupakan peserta K-pop Star 2 pada tahun 2012, Jeon So-mi merupakan ahli program realiti tahun 2015, Sixteen dan Choi Yoo-jung muncul di dalam drama web, To Be Continued.[2][3][4] Pada bulan September 2015, Jung Chae-yeon membuat kemunculan pertama sebagai ahli DIA tetapi menarik diri buat sementara waktu daripada kumpulan untuk menyertai Produce 101. Beliau juga membuat penampilan kameo di dalam drama web tahun 2015, Sweet Temptation.[5][6]

Pada bulan November 2015, Mnet mengumumkan program baru mereka untuk membawa 101 pelatih daripada 46 syarikat hiburan untuk membentuk kumpulan wanita dengan sebelas 11 ahli yang dipilih oleh penonton. Program ini mula ditayangkan pada 21 Januari 2016 dan berakhir pada 1 April 2016.[7][8] Kumpulan ini pada mulanya dirancangkan untuk membuat kemunculan pertama pada 1 April 2016 menerusi lagu "Crush" yang dipersembahkan oleh mereka sebagai sebahagian daripada episod terakhir program ini tetapi YMC Entertainment dan Mnet memutuskan untuk menangguhkan rancangan tersebut untuk membuat persediaan konsep dan membuat latihan untuk lagu baru sebagai lagu pertama I.O.I.[9]

Pada 3 April 2016, seorang wakil memberi butiran rancangan untuk kemunculan pertama kumpulan ini. Daripada mengeluarkan sebuah lagu single seperti yang dirancangkan, I.O.I akan mengeluarkan sebuah album mini bersama pelbagai lagu. Kumpulan ini juga dilaporkan akan mendapat program realiti mereka sendiri dalam saluran Mnet.[10][11] Pada hari yang sama, ahli kumpulan ini menyambut peminat mereka buat kali pertama sebagai I.O.I melalui aplikasi Naver V yang dibuka pada hari sebelumnya.[12]

Pada 4 April 2016, Mnet mengeluarkan teaser video muzik untuk lagu "Crush". Pada hari berikutnya, lagu ini dikeluarkan sebagai single digital disusuli dengan video muzik lagu ini.[13]

Debut menerusi Chrysalis

Pada 11 April 2016, I.O.I telah diumumkan akan membuat kemunculan pertama menerusi sebuah album mini pada 4 Mei 2016 dan akan mengadakan persembahan pertama dan perjumpaan peminat pada hari berikutnya di Gimnasium Jangchung.[1] LOEN Entertainment telah mengambil alih tugas pengedaran untuk keluaran I.O.I bermula dengan album mini tersebut.[1][14]

Pada 27 April, YMC Entertainment mengumumkan album mini pertama I.O.I bertajuk Chrysalis. Lima hari kemudian, teaser video muzik dikeluarkan.[15][16]

I.O.I secara rasminya membuat kemunculan pertama pada 4 Mei 2016 menerusi pengeluaran album mini pertama mereka dan video muzik untuk lagu "Dream Girls". Lagu ini ditulis oleh penyanyi-penulis lagu, Eru (yang menggunakan nama pena Famousbro) dan komposer, Paul. Lirik rap ditulis oleh ahli kumpulan, Lim Na-young dan Choi Yoo-jung.[17][18] Pada 5 Mei, kumpulan ini mengadakan persembahan pentas pertama mereka dalam M! Countdown dimana mereka mempersembahkan lagu utama dan "Knock Knock Knock".[19]

Pada 11 Mei, Jung Chae-yeon dari MBK Entertainment menyertai DIA untuk kemunculan kembali kumpulan itu pada bulan Jun.[20] Pada 27 Mei, I.O.I telah didedahkan akan mula mempromosi sebagai sub-unit serta kemunculan solo pertama ahli-ahli semasa musim panas tahun 2016. Kumpulan ini berkemungkinan dibubarkan pada akhir bulan Januari 2017.[21][22] Pada 7 Jun, Kim Se-jeong dan Kang Mi-na dari Jellyfish Entertainment diumumkan telah kembali ke agensi mereka untuk membuat persediaan kemunculan pertama rasmi mereka sebagai ahli kumpulan Gugudan pada akhir bulan Jun.[23][24]

Whatta Man dan "Hand in Hand"

I.O.I di KCON Los Angeles pada bulan Julai 2016

Pada 10 Jun 2016, YMC Entertainment mengumumkan Lim Na-young, Kim Chung-ha, Zhou Jieqiong, Kim So-hye, Choi Yoo-jung, Kim Do-yeon dan Jeon So-mi sebagai ahli sub-unit I.O.I. Mereka dijadualkan untuk mempromosi album kedua kumpulan itu pada musim panas tahun 2016.[25] Pada 29 Julai 2016, I.O.I telah diumumkan akan mengeluarkan lagu baru mereka pada 9 Ogos. Unit kumpulan tersebut selesai menjalani penggambaran video muzik pada 20 Julai dan mula membuat persediaan untuk pengeluaran dan promosi lagu tersebut.[26]

Pada 2 Ogos 2016, sebuah gambar teaser kumpulan dikeluarkan melalui SNS I.O.I dengan kapsyen "WXAXTX X XAN". Dua hari kemudian, YMC Entertainment mendedahkan teaser video muzik untuk lagu baru kumpulan itu, "Whatta Man (Good Man)". Koreografi untuk lagu "Whatta Man" disusun oleh Kim Chung-ha.[27][28] Pada 15 Ogos 2016, I.O.I mengeluarkan lagu "Hand in Hand", sebuah buatan semula lagu tema Sukan Olimpik Seoul 1988 yang pada asalnya dinyanyikan oleh kumpulan Koreana.[29]

Miss Me?

Pada 30 Ogos 2016, YMC Entertainment mengumumkan bahawa I.O.I sedang membuat persediaan untuk kemunculan kembali bersama sebelas ahli pada bulan Oktober.[30]

Pada 22 September, agensi tersebut mengesahkan bahawa I.O.I telah mula membuat rakaman untuk album baru dengan lagu utama diterbitkan oleh Park Jin-young, pengasas agensi Jeon So-mi, JYP Entertainment.[31][32] Album mini tersebut dijangka akan menjadi album terakhir mereka sebelum pembubaran kumpulan. Ahli-ahli kumpulan akan kembali ke agensi masing-masing selepas itu.[33]

Pada 28 September 2016, ia telah disahkan bahawa album baru I.O.I telah disahkan akan dijadual dikeluarkan pada 17 Oktober 2016. Pada 11 Oktober, I.O.I mengumumkan album mini baru mereka bertajuk Miss Me? disusuli dengan empat gambar teaser ahli untuk dua hari berikutnya. Tiga hari kemudian, teaser video muzik untuk lagu utama bertajuk "Very Very Very" dikeluarkan.[34]

Program istimewa kemunculan kembali kumpulan ini bertajuk I Miss You Very Very Very Much Show disiarkan secara langsung menerusi saluran Mnet pada 16 Oktober pukul 11:30 malam disusuli dengan keluaran album mini Miss Me? dan video muzik lagu utama sewaktu tengah malam.[35][36] I.O.I mengadakan persembahan pertama untuk album mini kedua mereka di Dewan Langsung Yes24 pada 17 Oktober. Semasa acara tersebut, kumpulan ini telah didedahkan bahawa mereka merancang untuk mengadakan konsert terakhir mereka pada 21 dan 22 Januari 2017. Apabila disoal media mengenai kemungkinan penyatuan semula selepas pembubaran, ahli-ahli berkata mereka mahu bersatu kembali selepas lima tahun.[37][38]

I.O.I memenangi trofi program muzik pertama mereka sebagai kumpulan penuh menerusi lagu "Very Very Very" pada 26 Oktober dalam Show Champion.[39]

Aktiviti dan konsert terakhir dan dibubarkan

Kumpulan unit I.O.I pada bulan Disember 2016

Pada 5 November 2016, YMC Entertainment mengesahkan bahawa I.O.I akan dibubarkan pada 31 Januari 2017. Kumpulan ini akan terus mempromosi sehingga kontrak mereka berakhir; termasuk penampilan tetamu di dalam rancangan varieti seperti Immortal Songs: Singing the Legend, Yang and Nam Show dan Knowing Bros. Pada 27 November, I.O.I telah diumumkan akan mengadakan konsert solo terakhir mereka bertajuk "Time Slip – I.O.I" pada 20 sehingga 22 Januari 2017. Konsert selama tiga hari tersebut akan berlangsung di Gimnasium Jangchung dimana kumpulan ini mengadakan persembahan pertama mereka.[40]

Pada 21 Disember 2016, sub-unit I.O.I telah diumumkan akan mengeluarkan sebuah lagu pada bulan Januari 2017 tanpa promosi di dalam program muzik.[41]

Pada 10 Januari 2017, I.O.I telah didedahkan bahawa mereka menerima lagu-lagu daripada pelbagai penerbit dan penulis lagu sebagai kemungkinan lagu terakhir termasuk dari Jinyoung (B1A4).[42] Pada 17 Januari, YMC Entertainment mengumumkan lagu terakhir kumpulan ini sebelum pembubaran rasmi sebagai "Downpour", yang ditulis dan diterbitkan oleh Woozi dari Seventeen. Lagu ini beserta video muzik dikeluarkan pada hari berikutnya.[43][44]

Aktiviti terakhir I.O.I sebagai sebuah kumpulan adalah pada 25 Januari 2017. Kumpulan ini juga merakam sebuah iklan televisyen untuk jenama Elite bersama kumpulan lelaki, Pentagon.[45][46] Kumpulan ini secara rasminya dibubarkan pada 29 Januari dengan penampilan rancangan televisyen terakhir mereka adalah di dalam rancangan MBC, Section TV dan kafe peminat mereka ditutup pada 31 Januari.[47][48] Pada 31 Januari, lagu "Downpour" memenangi program muzik Inkigayo tetapi tiada siaran langsung oleh kerana Tahun Baru Korea.[49]

Reunion yang dirancang

Pada 1 Julai 2019, Studio Blu mengesahkan bahawa kumpulan ini akan kembali pada bulan Oktober 2019 dengan sembilan ahli, tidak termasuk Yoo Yeon-jung dan Jeon So-mi.[50][51] Pada 6 September, comeback yang dirancang telah ditangguhkan hingga bulan Disember.[52] Pada 29 Oktober, comeback telah dibatalkan.[53]

Selepas pembubaran

Kesemua ahli I.O.I kembali ke agensi masing-masing selepas pembubaran.[54]

  • Jung Chae-yeon, Kim Se-jeong, Kang Mi-na dan Yoo Yeon-jung menyertai semua kumpulan asal mereka.
  • Kim So-hye menyertai Bae Sung-jae's Ten Radio sebagai ahli.[55] Beliau membuat penampilan pertamanya sebagai pelakon di dalam video muzik dan drama web semasa separuh pertama tahun 2017.[56]
  • Kim Chung-ha secara rasminya membuat kemunculan pertama sebagai penyanyi solo pada 7 Jun 2017 menerusi pengeluaran album mini, Hands on Me.[57]
  • Lim Na-young dan Zhou Jieqiong (atau Kyulkyung) membuat kemunculan pertama bersama kumpulan wanita, Pristin pada 21 Mac 2017.[58]
  • Choi Yoo-jung dan Kim Do-yeon membuat kemunculan pertama bersama kumpulan wanita, Weki Meki pada 8 Ogos 2017.[59]
  • Jeon So-mi menandatangani kontrak rasmi bersama JYP Entertainment untuk memulakan aktiviti solo. Beliau menyertai barisan ahli Sister's Slam Dunk Musim 2.[60]

Rujukan

WikiPedia: I.O.I http://tenasia.hankyung.com/archives/806220 http://pop.heraldcorp.com/view.php?ud=201512181824... http://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/A... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://www.melon.com/album/detail.htm?albumId=2704... http://news.nate.com/view/20160402n00730