Iklim_monsun_tropika

Iklim monsun tropika, juga dipanggil iklim lembap tropika atau iklim monsun tropika dan litoral angin pasat, ialah sejenis iklim agak jarang yang berpadan dengan kategori Am mengikut skim pengelasan iklim Köppen. Seperti iklim savana tropika, iklim monsun tropika mengalami suhu min bulanan melebihi 18 °C (64 °F) setiap bulan dalam setahun serta musim lembap dan kering yang ketara. Berbeza dengan iklim savana tropika pula, iklim monsun tropika mengalami sebulan terkering yang kerpasannya kurang daripada 60 mm tetapi lebih daripada (100 − [jumlah kerpasan tahunan {mm}/25]). Pokoknya, iklim monsun tropika bercirikan musim panas yang tidak seketara iklim savana tropika. Lebih-lebih lagi, iklim monsun tropika cenderung mengalami perbezaan suhu yang kurang ketara sepanjang tahun berbanding iklim savana tropika. Iklim ini mengalami satu bulan terkering yang selalunya berlaku sekitar solstis "musim sejuk" di sebelah khatulistiwanya.[1]Iklim monsun tropika paling banyak ditemui di Asia Selatan dan Afrika Barat; tidak lupa juga di beberapa bahagian kawasan Asia Tenggara, Caribbean, Amerika Utara dan Amerika Selatan.Faktor pengawal utama terhadap iklim monsun tropika ialah hubungannya dengan kitaran monsun, iaitu perubahan arah angin secara bermusim. Di Asia, pada musim panas (atau musim matahari tinggi) terdapat aliran udara yang bergerak dari lautan ke daratan, dan sebaliknya pada musim “sejuk” (atau musim matahari rendah) pula, yang mana udara mengalir dari daratan ke air. Perubahan arah ini timbul daripada perbezaan cara pemanasan air dan daratan.Pola tekanan berubah-ubah yang mempengaruhi kebermusiman kerpasan juga dialami di Afrika, itupun secara amnya berbeza caranya dengan di Asia. Pada musim matahari tinggi, zon pertemuan antara tropuka mendorongkan hujan. Pada musim matahari rendah pula, tekanan tinggi subtropika menimbulkan keadaan musim kemarau [2]. Iklim monsun di Afrika, dan juga benua Amerika, biasanya terletak di sepanjang pesisir berangin pasat.