Sejarah Indonesia

Rencana utama: Sejarah Indonesia
Soekarno, ialah Presiden pertama dan bapa pendiri Indonesia

Di bawah pengaruh agama Hindu dan Buddha, beberapa kerajaan terbentuk di pulau Sumatera dan Jawa pernah mencapai kejayaannya dengan wilayah meliputi negara Malaysia dan pulau Mindanao semasa Majapahit sejak abad ke-7 hingga abad ke-14. Kedatangan pedagang-pedagang Arab dari Gujarat, India kemudian membawa agama Islam yang akhirnya menjadi agama terbesar.

Ketika orang-orang Eropah datang pada awal abad ke-16, mereka telah menemui beberapa negara kecil. Negara-negara kecil ini dengan mudah dikuasai oleh mereka yang ingin menguasai perdagangan rempah. Pada abad ke-17, Belanda muncul sebagai kuasa yang terkuat di antara negara-negara Eropah, mengalahkan British dan Portugis (kecuali untuk tanah jajahan mereka di Timor Timur). Belanda menguasai Indonesia sebagai tanah jajahan hingga Perang Dunia II, awalnya melalui Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC), dan kemudiannya dijajah secara langsung oleh pihak Belanda sejak awal abad ke-19.

Semasa Perang Dunia II, Belanda dijajah oleh Jerman, manakala Jepun menguasai Indonesia. Setelah menawan Indonesia pada tahun 1942, pihak Jepun mendapati bahawa para pejuang Indonesia merupakan rakan perdagangan yang sudi bekerjasama dan bersedia mengerahkan pahlawan bila diperlukan. Soekarno, Mohammad Hatta, KH Mas Mansur, dan Ki Hajar Dewantara kemudiannya diberikan penghargaan oleh Maharaja Jepun pada tahun 1943.

Pada Mac 1945, pihak Jepun membentuk sebuah jawatan kuasa untuk kemerdekaan Indonesia; di bawah tekanan pertubuhan-pertubuhan pemuda, kelompok pimpinan Soekarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia selepas perang Pasifik berakhir pada tahun 1945 Soekarno menjadi Presiden pertama Indonesia dengan Mohammad Hatta sebagai naib presiden. Dalam usaha untuk menguasai kembali Indonesia, Belanda menurunkan angkatan tentera mereka. Usaha-usaha berdarah untuk membendung pergerakan kemerdekaan ini kemudian dikenali sebagai 'tindakan polis' (Actie Politioneel). Di bawah tekanan perlawanan rakyat dan tentera Indonesia, Belanda akhirnya menarik tenteranya pada 27 Disember 1949.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an, Presiden Soekarno mengikuti gerakan berkecuali pada awalnya dan kemudian dengan blok sosialis, misalnya Republik Rakyat China dan Yugoslavia. Pada masa itu kekuatan ketenteraan Indonesia menjadi terbesar di Asia setelah Republik Rakyat China. Tahun 1960-an menyaksikan konfrontasi tentera terhadap Malaysia, negara jirannya yang dianggap sebagai negara bentukan Britain.

Jeneral Soeharto menjadi presiden pada tahun 1967 dengan alasan untuk mengamankan negara daripada ancaman komunisme terhadap Soekarno yang kini semakin lemah. Setelah Soeharto berkuasa, beratus-ratus ribu warganegara Indonesia yang disyaki memihak kepada komunis telah dibunuh. Tempoh pemerintahan Soeharto selama 32 tahun dinamakan Order Baru, dibandingkan dengan masa pemerintahan Soekarno yang disebut Order Lama.

Soeharto berjaya mendapatkan pelaburan luar negeri yang besar untuk Indonesia, dan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, meskipun tidak merata, di Indonesia. Pada awal regim Order Baru, strategi ekonomi negara telah dibuat oleh sekelompok ahli ekonomi lulusan Fakulti Ekonomi Universiti California, Berkeley yang digelarkan "Kelompok Berkeley". Namun, Soeharto menambah kekayaan diri serta keluarganya melalui amalan rasuah yang meluas dan beliau akhirnya dipaksa melepaskan jawatannya setelah tercetusnya tunjuk perasaan secara besar-besaran dan keadaan ekonomi negara yang semakin memburuk pada tahun 1998.

Dari 1998 hingga 2010, Indonesia mempunyai 4 presiden: Baharuddin Jusuf Habibie, Abdurrahman Wahid, Megawati Soekarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono. Pada tahun 2014, Joko Widodo menjadi presiden Indonesia yang terkini.