Ingin Ku Miliki merupakan sebuah lagu berentak latin yang diberi sentuhan upbeat tempo dalam nuansa R&B yang sudah menjadi makanan penyanyinya
Dayang Nurfaizah. Lagu ini cipta khas oleh komposer Audi Mok untuk Dayang ketika penyanyi ini menyertai program realiti One In A Million pada tahun 2006, di mana lagu ini sepatutnya dinyanyikan di peringkat akhir program itu. Setelah setahun diperap, akhirnya lagu ini dirakamkan dalam album solo keenam Dayang yang berjudul
20 07 sekaligus menjadi single pertama. Lagu ini mendapat siaran meluas dan menjadi lagu hits Dayang selepas agak lama tidak menyanyikan lagu solo. Ia dibantu dengan promosi menerusi drama bersiri
Emil Emilda yang disiarkan dalam slot Samarinda di TV3. Rating tinggi yang diraih oleh drama lakonan
Aaron Aziz,
Sharifah Amani &
Noorkhiriah Ahmad Shapie itu secara tidak langsung mempopularkan lagu ini. Ketika Anugerah Industri Muzik ke 15 pada tahun 2008, lagu ini dicalonkan untuk kategori Susunan Muzik Dalam Lagu Terbaik. Lagu Ku Mahu nyanyian
Siti Nurhaliza untuk albumnya
Hadiah Daripada Hati juga pada tahun 2007 merupakan lagu yang diimprovisasi daripada lagu nyanyian Dayang ini terutama menerusi sentuhan latin dan upbeat tempo, dan ia diterbitkan oleh komposer yang sama iaitu Audi Mok. Dalam filem
Dunia Baru The Movie pada tahun 2008, lagu ini dimuatkan sebagai latar dalam sebuah babak di kafe. Menerusi album 20 07, dua buah lagi track remix dimuatkan iaitu Chaos Club Mix dan Salsa Mix oleh DJ Uno. Lagu ini merupakan salah sebuah lagu Dayang yang diremixkan untuk siaran kelab-kelab malam terkemuka. Selain versi rasmi ini, beberapa remix seperti House Club Mix juga pernah diperdengarkan.