Inteam
Inteam

Inteam

Inteam (dahulu In-Team) merupakan sebuah kumpulan nasyid Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Inteam diperkenalkan menerusi lagu "Kasih Kekasih" sekitar tahun 2000 di bawah pengurusan Hijjaz Records. Kumpulan ini juga seangkatan dengan kumpulan UNIC, Aeman dan Mestica yang juga bernaung di bawah label yang sama. Kumpulan ini telah ditubuhkan pada Januari 1998 ketika anggota asalnya mula menuntut di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pada waktu itu, mereka telah menganggotai kumpulan Husaini dan sering mengadakan persembahan nasyid di universiti. Bermula dari situlah, mereka telah dilamar oleh kumpulan Hijjaz untuk menjadi artis naungan Hijjaz Music Entertainment.Setelah mereka menandatangani kontrak bersama Hijjaz Records pada 25 September 2000, mereka cuba menjenamakan kumpulan mereka dengan pelbagai nama. Akhirnya, mereka memilih In-Team sebagai nama kumpulan mereka kerana nama tersebut lebih bervariasi dan mempunyai dua makna dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, In-Team bermaksud "dalam kumpulan" dan jika ditukarkan dalam bahasa Melayu, nama tersebut akan menjadi Intim yang bermaksud "rapat". Setelah memilih nama tersebut, mereka telah merakamkan album pertama mereka yang berjudul Kasih Kekasih pada tahun 2000, terbitan Hijjaz Records dan diedarkan oleh NAR Records. Sejak dari itu, mereka terus mengorak langkah dengan penghasilan album yang seterusnya sehinggalah mereka membuka syarikat rakaman mereka sendiri iaitu Inteam Records Sdn. Bhd. pada tahun 2005.Setelah beberapa kali tercalon pada majlis Anugerah Industri Muzik, akhirnya pada tahun 2010, kumpulan In-Team berjaya merangkul anugerah menerusi lagu "Dia Muhammad" dan album Allahu Rabbi. Lagu "Dia Muhammad" diiktiraf sebagai Lagu Nasyid Terbaik manakala album Allahu Rabbi diangkat sebagai Album Nasyid Terbaik pada malam Anugerah Industri Muzik ke-17 yang berlangsung pada 2 Mei 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.