Sejarah Islam

Rencana–rencana utama: Sejarah Islam dan Penyebaran Islam

Nabi Muhammad (610–632)

Rencana utama: Nabi Muhammad s.a.w.
Masjid an-Nabawi ("Masjid Nabi") di Madinah adalah tapak makam Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. (sek. 570 – 632) adalah seorang peniaga yang kemudian menjadi pemimpin agama, politik dan ketenteraan. Baginda dilihat sebagai utusan terakhir Tuhan, dan bukan pencipta Islam. Muslim mempercayai bahawa baginda merupakan pemulih kepercayaan monoteistik asal Nabi Adam, Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain. Baginda dilihat sebagai nabi terakhir dan terhebat—manusia yang paling sempurna, dan pemilik semua sifat unggul.[71] Baginda dilaporkan menerima wahyu dari Allah selama 23 tahun kehidupan terakhirnya, bermula pada usia 40 tahun. Kandungan wahyu ini, dikenali sebagai al-Qur'an, telah dihafal dan direkodkan oleh sahabat baginda.[72]

Semasa zaman ini, Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah kepada orang Makkah, merayu mereka untuk meninggalkan politeisme. Walaupun sesetengahnya memeluk Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikutnya telah ditindas oleh pihak berkuasa Makkah. Selepas 13 tahun berdakwah, baginda dan orang Muslim berhijrah ke bandar Madinah (dahulu dikenali sebagai Yathrib) pada 622. Di sana, dengan mualaf Madinah (Ansar) dan pendatang Makkah (Muhajirin), Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan kuasa keagamaan dan politiknya. Beberapa pertempuran terjadi dengan Musyrikin Makkah dan orang Yahudi Madinah yang menentang Muslim diusir. Pada masa yang sama, laluan perdagangan Makkah disekat sambil Nabi Muhammad s.a.w. membawa puak-puak padang pasir di sekeliling Madinah masuk ke pihaknya.[73] Pada 629 baginda telah menakluki Makkah dengan hampir tanpa pertumpahan darah, dan pada masa kewafatannya pada 632 telah menguasai seluruh Semenanjung Arab.[74]

Kebangkitan khilafah dan perang saudara (632–650)

Nabi Muhammad s.a.w. mula berdakwah menyebarkan Islam di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah di mana baginda menyatukan puak-puak Arab kepada sebuah negara Islam terawal. Dengan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. pada 632, perselisihan faham tercetus terhadap siapa yang akan mewarisi baginda sebagai ketua umat Muslim. Umar Al-Khattab, sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang terkenal, mencadangkan Abu Bakar as-Siddiq, yang merupakan rakan dan sahabat karib Nabi Muhammad s.a.w. Orang lain menambah sokongan mereka dan Abu Bakar telah dilantik sebagai khalifah pertama. Pilihan ini bagaimanapun dipertikaikan oleh sesetengah sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang beranggapan bahawa Ali bin Abi Talib, sepupu dan menantunya, sepatutnya dilantik sebagai pewarisnya. Tugas segera Abu Bakar as-Siddiq ialah untuk membela kekalahan baru-baru ini kepada Empayar Byzantine (atau Empayar Rom Timur, walaupun beliau terpaksa menghentikan pemberontakan sekelompok puak Arab dalam episod yang dikenali sebagai Perang Riddah, atau "Perang Murtad".[75]

Wilayah Khilafah pada 750 M

Kewafatan beliau pada 634 menyebabkan pelantikan Umar al-Khattab sebagai khalifah, diikuti oleh Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Keempat-empat khalifah ini dikenali sebagai al-khulafā' ar-rāshidūn ("Khalifah yang Benar"). Di bawah mereka, wilayah pemerintahan Muslim berkembang jauh ke wilayah Parsi dan Byzantine.[76]

Apabila Saidina Umar telah dibunuh pada 644, pemilihan Uthman sebagai pewaris menghadapi penentangan yang meningkat. Pada 656, Saidina Uthman juga dibunuh, dan Saidina Ali memegang jawatan khalifah. Selepas melawan pembangkang dalam perang saudara pertama ("Fitnah Pertama"), Ali pula telah dibunuh oleh Khawarij pada 661. Berikutan ini, Mu'awiyah, yang merupakan gabenor Levant, mengambil kuasa dan memulakan Dinasti Umayyah.[77]

Pertikaian terhadap kepimpinan agama dan politik ini telah membawa kepada perpecahan dalam masyarakat Muslim. Majoritinya menerima kesahan tiga pemerintah sebelum Saidina Ali, dan kini dikenali sebagai Sunah. Minoriti yang tak setuju, dan percaya bahawa Saidina Ali adalah pewaris sebenar; telah dikenali sebagai Syiah.[78] Selepas kemangkatan Mu'awiyah pada 680, konflik pewarisan tercetus sekali lagi dalam perang saudara yang dikenali sebagai "Fitnah Kedua". Sesudah itu, Dinasti Umayyah kekal memerintah selama 70 tahun, dan berjaya menakluk Maghribi dan Al-Andalus (Semenanjung Iberia, bekas Hispania Visigoth) dan Gallia Narbonensis di barat di samping mengembangkan wilayah Muslim ke Sindh dan pinggiran Asia Tengah.[79] Antara contoh seni bina terbaik hasil penaklukan Islam yang masih kekal ialah Masjid Besar Kairouan (di Tunisia) yang dibina pada 670 oleh jeneral Umayyah Uqbah ibn Nafi[80] dan dianggap sebagai moyang dan model semua masjid di barat dunia Islam[81][82] Sementara elit Arab-Muslim bertempur dalam penaklukan, sesetengah Muslim zahid mula mempersoalkan kewarakan dan menurut kemahuan dalam kehidupan duniawi, menekankan kepada kemiskinan, rendah diri dan pengelakan dosa sebagai jalan menolak kemahuan badan. Muslim soleh yang zahid seperti Hasan al-Basri ini kemudian membangkitkan gerakan yang akan berkembang menjadi kesufian.[83]

Bagi aristokrasi Umayyah, Islam dilihat sebagai agama untuk Arab sahaja;[84] ekonomi Empayar Umayyah berdasarkan pada anggapan bahawa majoriti bukan-Muslim (Zimmi) perlu membayar cukai kepada Arab Muslim minoriti. Seorang bukan-Arab yang mahu memeluk Islam perlu terlebih dahulu menjadi pelanggan suku Arab. Malah selepas pemelukan, Muslim baru ini (mawali) tidak mencapai kesamaan sosial dan ekonomi dengan Arab. Keturunan dari bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. Abbas bin Abdul Muttalib menghimpunkan mawali yang tidak puas hati, Arab miskin, dan sebahagian Syi'ah terhadap Umayyah dan menggulingkan mereka dengan bantuan dari propagandis dan jeneral mereka iaitu Abu Muslim, memulakan Dinasti Abbasiyyah pada 750.[85]

Zaman Kegemilangan (750–1258)

Maklumat terperinci: Revolusi Pertanian Islam
Gambaran artis Pertempuran Hattin pada 1187, di mana Baitulmuqaddis ditawan semula oleh tentera Salahuddin al-Ayyubi

Di bawah Abbasiyyah, tamadun Islam berkembang pesat pada "Zaman Kegemilangan Islam", dengan ibu kotanya di bandar kosmopolitan Baghdad.[86] Koleksi hadith utama telah disusun dan empat mazhab Sunah moden telah diasaskan. Hukum Islam telah maju dengan hebat oleh usaha imam awal abad ke-9 al-Shafi'i; beliau mengekodkan cara untuk memastikan kebolehpercayaan hadis, satu topik yang telah menjadi fokus pertikaian di kalangan sarjana Islam.[87] Ahli falsafah Ibnu Sina dan Al-Farabi cuba untuk menggabungkan prinsip Greek ke dalam teologi Islam, manakala yang lain seperti ahli teologi abad ke-11 Abu Hamid Al-Ghazali menentangnya dan akhirnya berjaya.[88] Sufisme dan Syiah pula mengalami perubahan besar pada abad ke-9. Kesufian menjadi gerakan mantap yang telah bergerak ke arah kebatinan dan menjauhi rumpun zahidnya, manakala Syiah berpecah berpunca dari ketidaksetujuan atas pewarisan Imam.[89]

Penyebaran penguasaan Islam menyebabkan permusuhan di kalangan penulis Kristian medieval yang melihat Islam sebagai musuh berdasarkan bilangan besar pemeluk baru Muslim. Penentangan ini mengakibatkan perjanjian polemik yang menggambarkan Islam sebagai agama anti-Al-Masih dan Muslim sebagai penuh bernafsu dan submanusia.[90] Pada Zaman Pertengahan juga, sebilangan kecil ahli falsafah Arab seperti pemuisi Al-Ma'arri mengambil pendekatan kritikal kepada Islam, dan ahli falsafah Yahudi Maimonides membezakan pandangan Islam mengenai moral dengan pandangan Yahudi yang beliau sendiri huraikan.[91]

Hospital awam didirikan pada masa ini (dipanggil hospital Bimaristan), dan dianggap "hospital pertama" dari segi makna moden perkataan itu[92] dan mengeluarkan diploma perubatan pertama untuk perlesenan doktor perubatan.[93][94] Guinness Book of World Records mengiktiraf Universiti Al-Karaouine yang diasaskan pada 859 M sebagai universiti memberi ijazah tertua di dunia.[95] Asal usul kedoktoran juga bermula dari ijazat attadris wa 'l-ifttd ("lesen mengajar dan memberikan pendapat hukum") di madrasah yang mengajar syariah.[96] Institusi pertama untuk pesakit mental juga diasaskan di dunia Muslim.[97] Ketika ini, piawai teknik uji kaji dan pengkuantitian diperkenalkan kepada proses saintifik untuk membezakan teori-teori bersaing di samping tradisi petikan.[98][99] Ibn Al-Haitham dianggap sebagai bapa kaedah saintifik moden dan sering dipanggil "ahli sains sebenar pertama."[100] Institusi perundangan yang diperkenalkan Islam termasuklah amanah dan wakaf.[101][102]

Perpecahan dan serangan

Rencana–rencana utama: Perang Salib dan Reconquista
Maklumat terperinci: Serangan Mongol ke Asia Tengah dan Ilkhanat

Pada lewat abad ke-9, khilafah Abbasiyyah mula retak apabila beberapa wilayah mendapat autonomi lebih. Di sepanjang Afrika Utara, Timur Tengah dan Asia Tengah, amiriah terbentuk apabila wilayah berpecah. Empayar Arab monolitik memberi laluan kepada Dunia Islam yang lebih homogen di mana Fatimiyyah Syiah malah menandingi kekuasaan keagamaan khilafah. Pada 836, khalifah Al-Mu'tasim memindahkan ibu negara khilafah dari Baghdad ke bandar baru Samarra, sehinggalah 892 apabila ia dikembalikan semula ke Baghdad oleh al-Mu'tamid. Pada 1055 Turki Seljuk telah mengatasi Abbasiyyah sebagai kuasa tentera, walaupun mereka terus menghormati kuasa khalifah pada namanya.[103] Semasa zaman ini pengembangan dunia Islam diteruskan, melalui kedua-dua penaklukan dan dakwah secara aman walaupun kedua-dua rangkaian perdagangan Islam dan Muslim berkembang ke sub-Sahara Afrika Barat, Asia Tengah, Volga Bulgaria dan Kepulauan Melayu.[2]

Reconquista telah dilancarkan terhadap taifa Muslim di Iberia, dan hak milik Itali Muslim telah dirampas oleh Norman. Bermula abad ke-11, pakatan kerajaan Kristian Eropah dikerahkan bagi melancarkan siri peperangan yang dikenali sebagai Perang Salib, dengan matlamat mengundurkan tentera Muslim dari bahagian timur bekas Empayar Rom, terutamanya Tanah Suci, dan mendirikan Negeri Salibi. Pada mulanya berjaya, perolehan wilayah ini telah dibalikkan oleh jeneral Muslim yang berikutnya seperti Salahuddin al-Ayyubi; yang menawan semula Baitulmuqaddis semasa Perang Salib Kedua.[104]

Di timur, Empayar Mongol mengakhiri dinasti Abbasiyyah di Pertempuran Baghdad 1258, dalam satu siri serangan menakluki tanah Muslim. Sementara itu di Mesir, tentera-hamba Mamluk mengambil alih kuasa dalam kebangkitan pada 1250[105] dan dalam pakatan dengan Angkatan Kencana menghentikan tentera Mongol pada Perang Ain Jalut. Dalam abad yang berikutnya kekhanan Mongol memeluk Islam dan penyerapan keagamaan dan kebudayaan ini menandakan zaman baru sintesis Mongol-Islam yang membentuk penyebaran lanjut Islam di tengah Asia, timur Eropah dan subbenua India. Kekhanan Krimea merupakan antara kuasa terkuat di Eropah Timur hingga akhir abad ke-17.[106]

Wangsa dan penaklukan baru (1030–1918)

Pada abad ke-13 dan ke-14 Empayar Uthmaniyyah (dinamakan bersempena Uthman I) muncul dari kalangan "amiriah Ghazi" ini dan bertapak kukuh selepas satu siri penaklukan yang termasuk Balkan, sebahagian Greece dan barat Anatolia. Pada 1453 di bawah Muhammad al-Fatih mereka mengepung Constantinople, ibu kota Byzantium, yang jatuh sejurus selepas itu, tidak mampu melawan bilangan tentera Uthmaniyyah yang lebih besar dan sedikit sebanyak, teknologi meriam.[107]Selepas Mesir Mamluk jatuh kepada mereka pada 1517, Empayar Uthmaniyyah turut melancarkan kempen Eropah yang menjangkau hingga ke pintu Vienna pada 1529.[108] Menjelang abad ke-18, meskipun terdapat cubaan pemodenan, Empayar Uthmaniyyah telah mula rasa diancam oleh kelebihan ketenteraan dan ekonomi Eropah.

Sementara itu bermula pada abad ke-13, Sufisme mengalami perubahan, secara besarnya berpunca dari usaha al-Ghazali untuk mengesahkan dan menyusun semula gerakan tersebut. Beliau mengembangkan model golongan Sufi—satu komuniti guru dan pelajar rohaniah.[109] Satu lagi perkara penting pada Kesufian ialah penghasilan Masnawi, satu koleksi puisi mistik oleh pemuisi Parsi Rumi. Masnawi mempunyai pengaruh besar pada perkembangan pemikiran keagamaan Sufi; bagi kebanyakan Sufi ia kitab kedua terpenting, selepas al-Qur'an.[110]

Taj Mahal yang terletak di Agra, India, dibina di bawah pemerintahan Mughal[111]

Dari abad ke-14 hingga ke-16 bahagian timur dunia Islam mengalami satu lagi zaman kegemilangan di bawah Wangsa Timuriyah. Pada awal abad ke-16, Wangsa Safawiyah menguasai Parsi dan menetapkan Islam Syiah sebagai agama rasmi di sana, dan meskipun terdapat halangan berkala, kekal berkuasa selama dua abad sehinggalah awal abad ke-18.

Selepas penjajahan Parsi dan penjarahan Baghdad oleh Mongol pada 1258, Delhi menjadi pusat kebudayaan terpenting Muslim timur.[112] Banyak wangsa Islam memerintah pelbagai bahagian subbenua India bermula dari abad ke-12. Yang utama termasuk Kesultanan Delhi (1206-1526) dan Empayar Mughal (1526-1857). Empayar-empayar ini membantu penyebaran Islam di Asia Selatan. Pada abad ke-18 gerakan Wahabi mula bertapak di Arab Saudi. Diasaskan oleh pendakwah Ibn Abdul Wahhab, Wahabi merupakan ideologi fundamentalis yang mengutuk amalan seperti Sufisme dan penghormatan kepada wali sebagai tidak Islamik.[113]

Menjelang pertengahan abad ke-19 Empayar British secara rasminya mengakhiri dinasti Mughal,[114], dan pada akhir abad ke-19 menggulingkan Kerajaan Mysore yang diperintah Muslim. Pada abad ke-19, kebangkitan nasionalisme telah mengakibatkan Greece mengisytiharkan dan memenangi kemerdekaan pada 1829, dengan beberapa negeri Balkan ikut serta selepas Uthmaniyyah mengalami kekalahan dalam Perang Rusia-Turki 1877–1878. Pada masa ini, ramai Muslim berpindah, kebanyakannya dari India dan Indonesia ke Caribbean, secara tidak langsung menyebarkan agama mereka di tempat-tempat baru. Era Uthmaniyyah berakhir di hujung Perang Dunia Pertama dan khilafah dimansuhkan pada 1924.[115][116]

Zaman moden (1918–kini)

Madrasah Masjid Jamia di Srirangapatna, India.

Pada awal abad ke-20, kebanyakan dunia Muslim di luar Empayar Uthmaniyyah telah diserap ke dalam empayar Eropah bukan Islam. Selepas kekalahan Perang Dunia Pertama, saki-baki empayar ini telah dibahagikan sebagai negeri naungan atau lingkungan pengaruh Eropah. Sejak itu kebanyakan masyarakat Muslim jajahan Eropah ini telah merdeka, dan isu baru seperti kekayaan minyak dan hubungan dengan Israel telah mendapat keutamaan.[117]

Abad ke-20 memperlihatkan dunia Islam makin terdedah kepada pengaruh kebudayaan luar. Sebagai gerak balas, banyak gerakan "pemulih" Islam dimulakan. Kumpulan seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir dan Jamaat-e-Islami di Pakistan menyokong alternatif totalistik dan teokratik kepada ideologi politik sekular. Kadangkala dipanggil Islamis, mereka melihat nilai kebudayaan Barat sebagai ancaman, dan menggalakkan Islam sebagai penyelesaian komprehensif kepada persoalan harian umum dan peribadi. Di negara seperti Iran, gerakan revolusi menggantikan rejim sekular dengan negeri Islam, manakala kumpulan transnasional seperti al-Qaeda Osama bin Laden terlibat dengan pengganasan untuk mencapai matlamat mereka. Berbeza pula dengan gerakan liberalisme Islam yang cuba untuk menyelaraskan tradisi keagamaan dengan norma moden pemerintahan sekular dan hak asasi manusia. Penyokongnya mengatakan bahawa terdapat berbagai cara untuk membaca teks suci Islam, dan menekankan perlunya meninggalkan ruang untuk "pemikiran bebas pada perkara keagamaan".[118]

Kritikan terhadap Islam masa kini termasuk tuduhan bahawa Islam tidak bertoleransi terhadap kritikan dan syariat Islam terlalu keras pada orang murtad. Pengkritik seperti Ibn Warraq mempersoalkan kemoralan al-Qur'an, mengatakan bahawa kandungannya mewajarkan penganiayaan terhadap wanita dan menggalakkan komen antisemitik oleh ahli teologi Muslim.[119] Ada juga penulis yang mengkritik Islam (dan agama lain) sebagai seksis, tiada toleransi dan suka berperang.Dakwaan seumpama itu dipertikaikan oleh penulis Muslim seperti Fazlur Rahman,[120] Syed Ameer Ali,[121] Ahmed Deedat[122] dan Yusuf Estes.[123] Yang lain seperti Daniel Pipes dan Martin Kramer lebih memfokuskan pada kritikan penyebaran fundamentalisme Islam, satu bahaya yang mereka rasakan telah diabaikan.[124] William Montgomery Watt dan Norman Daniel bagaimanapun menyangkal banyak kritikan sebagai produk mitos dan polemik lama.[125] Kebangkitan Islamofobia, menurut Carl W. Ernst, telah menyumbangkan kepada pandangan negatif mengenai Islam dan Muslim di Barat.[126]

Rujukan

WikiPedia: Islam http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=b... http://www.chinadaily.com.cn/bizchina/2008-07/09/c... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.adherents.com/Religions_By_Adherents.ht... http://www.al-shia.com/html/eng/p.php?p=shia'&url=... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/295507/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/574006/S... http://www.britannica.com/eb/article-9105852/Islam http://www.cair.com/Portals/0/pdf/The_Mosque_in_Am... http://www.etymonline.com/index.php?term=Islam