Pembinaan Istana Negara, Jalan Duta

Pintu masuk utama

Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta. Istana baru ini bertujuan untuk menggantikan Istana Negara yang lama yang telah digunakan sejak 1928. Ini ialah kali pertama kerajaan Malaysia membina sendiri istana Yang di-Pertuan Agong memandangkan istana yang terdahulu dibeli daripada seorang jutawan China.

Kompleks Istana Negara Baru ini dibangunkan di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagikan kepada empat sayap dan termasuk kawasan meletakkan kenderaan. Ia merangkumi pembinaan Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan dan kemudahan sokongan yang lain dengan keluasan lantai kasar keseluruhan sebanyak 90,082 meter persegi. Turut dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan Kompleks ini ialah pembinaan jalan masuk bertingkat Jalan Duta ke Pintu 1 Istana Negara dan naik taraf Jalan Changkat Semantan ke Pintu 2 Istana Negara yang diuruskan oleh Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Projek ini telah mula dibina pada akhir November 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir September 2011. Kompleks ini juga merangkumi bangunan istana, perumahan untuk pekerja istana, pejabat polis dan sekuriti, kem tentera mini dan gerbang masuk dua tingkat dari Jalan Duta. [2]

Istana ini menelan belanja sebanyak RM812 juta dengan Maya Maju Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik dengan kontrak bernilai RM650 juta, manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju ke gerbang masuk istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. pada nilai RM130 juta.

Dengan seni bina yang melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini akan dipusatkan dan dikawal oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berlainan.