Ekonomi Itali

Rencana utama: Ekonomi Itali

Itali mengamalkan ekonomi kapitalis dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) per kapita yang tinggi serta prasarana yang cukup maju. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, pada tahun 2008, Itali merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia dan keempat terbesar di Eropah. Itali menganggotai Kumpulan Lapan (G8) negara berindustri, Kesatuan Eropah dan OECD.

Pada zaman pasca-perang, Itali bertukar dari sebuah ekonomi berasaskan pertanian yang teruk terjejas akibat Perang Dunia Kedua, menjadi salah sebuah negara paling berindustri di dunia,[57] dan sebuah negara peneraju dalam perdagangan dan eksport dunia. Pada tahun 1987, ekonomi Itali mengatasi UK dari segi KDNK (nominal) untuk masa yang singkat dalam peristiwa yang dikenali sebagai 'il sorpasso'[58] (pemintasan), dan pada tahun 1991, Itali menjadi kuasa ekonomi keempat atau kelima terbesar di dunia sehingga pernah mengatasi Perancis juga.[59] Tetapi kini, setelah pertumbuhan lembap yang berlarutan serta prestasi China yang mengatasi semua ekonomi negara Eropah, Itali tersungkur ke tangga ketujuh (menurut ranking IMF dan Bank Dunia) dalam senarai negara mengikut KDNK (dan juga tangga ke-10 dari segi pariti kuasa beli).

Pada tahun 1980, hutang kerajaan hanya 56.9% KDNK, tetapi menjelang tahun 1994, ia mencapai takat 121.8% KDNK, lebih dua kali ganda had maksimum yang ditetapkan oleh perjanjian Maastricht dan juga tahap keterhutangan yang tertinggi di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah.[60] Pada 15 November 2010, badan statistik EU, Eurostat melaporkan bahawa pada tahun 2009, nisbah hutang Itali adalah 116%, iaitu yang kedua terbesar selepas Greece dengan 126.8%.[61] Berbeza dengan Greece, hutang Itali berupa domestik; sebenarnya, kebanyakan pemegang hak milik hutang merupakan warganegara Itali yang sama. Perindustrian Itali pada umumnya tidak terhutang, kadar tabungan keluarga Itali adalah antara yang tertingi di dunia, dan sistem perbankan Itali tidak teruk terjejas oleh krisis yang melanda negara besar yang lain, maka Itali mampu mengawal defisit tahunan negara.

Ekonomi Itali berdepan dengan tiga masalah utama: pertumbuhan yang rendah, ketidakcekapan pihak berkuasa dan kawasan selatan yang kurang terbangun. Sejak 1990-an, ekonomi Itali disifatkan amat rendah pertumbuhannya berbanding negara-negara Eropah yang lain. Pada tahun 2000 hingga 2007, purata pertumbuhannya 1.5%, berbanding 2.4% bagi seluruh Kesatuan Eropah.

Itali menganggotai kesatuan monetari Eurozone (biru tua), dan pasaran tunggal Kesatuan Eropah.

Menurut Bank Dunia, Itali menikmati tahap kebebasan yang tinggi untuk pelaburan, perniagaan dan perdagangan. Itali ialah sebuah negara maju yang mencatat mutu hidup kelapan tertinggi di dunia menurut majalah The Economist.[12] Negara ini juga menikmati taraf hidup yang sangat tinggi. Menurut data Eurostat terkini, KDNK per kapita Itali mengikut pariti kuasa beli masih setara dengan purata EU,[62] manakala kadar penganggurannya (8.5%) adalah antara yang terendah di EU.[63]

Itali menyimpan rizab emas keempat terbesar.[64] Negara ini juga terkenal kerana sektor ekonomi perniagaan yang berpengaruh dan berinovasi, [65] sektor pertanian yang berindustri dan berdaya saing[65] (Itali is the world's largest wine producer[66]), dan sektor automotif, perkilangan, kelengkapan dan reka fesyen yang berdaya cipta dan bermutu tinggi.[65]

Namun demikian, ekonomi negara mengharungi pelbagai cabaran. Setelah pertumbuhan KDNK yang mendadak pada +8% mulai tahun 1964,[67] purata kadar pertumbuhan tahunan sejak tahun 2000 melarat pada 1.23% berbanding dengan purata EU sebanyak 2.28%.[68] Selain itu, taraf hidup di Itali ketara bezanya antara utara dan selatan. Purata KDNK per kapita di Itali Utara jauh mengungguli purata EU, sementara sesetengah daerah di Itali Selatan jauh ketinggalan.[69] Itali sering mendapat jolokan “orang sakit Eropah”[70][71] kerana ekonominya yang terbantut, ketidakstabilan politik dan masalah pelaksanaan rancangan pembaharuan.

Ladang anggur di Trentino Alto-Adige. Itali ialah pengeluar wain terunggul di dunia.

Lebih-lebih lagi, Itali mengalami kelemahan struktur kerana bentuk buminya serta ketandusan bahan mentah dan sumber tenaga: pada tahun 2006, negara ini mengimport lebih daripada 86% jumlah penggunaan tenaganya (99.7% bahan api pejal, 92.5% petroleum, 91.2% gas asli dan 15% elektrik).[72][73] Ekonomi Itali juga dicacatkan oleh kekurangan pembangunan prasarana, pembaharuan pasaran dan pelaburan penyelidikan, serta defisit awam yang tinggi.[65] Menurut Indeks Kebebasan Ekonomi 2008, negara ini menduduki tangga ke-64 di dunia dan ke-29 di Eropah, iaitu yang terendah di zon euro. Itali masih menerima bantuan pembangunan dari Kesatuan Eropah setiap tahun. Pada tahun 2000 hingga 2006, Itali menerima €27.4 bilion dari EU.[74]

Mengikut Indeks Persepsi Korupsi 2010, Itali merupakan negara paling korup di Eropah barat.[75]


Perusahaan

Ferrari 458 Italia. Itali ialah pengeksport barangan ke-7 terbesar di dunia.

Itali mempunyai bilangan syarikat multinasional bertaraf dunia yang sedikit berbanding ekonomi-ekonomi lain yang setanding saiznya, tetapi mempunyai banyak perusahaan kecil dan sederhana, dan juga “segi tiga perindustrian” utara (Milan-Turin-Genoa) atau segi tiga perindustrian Tuscany (Florence-Prato-Pistoia), iaitu tempat-tempat letaknya kawasan pengeluaran industri dan jentera yang hebat. Ini telah melahirkan sektor perindustrian yang selalu tertumpu pada eksport keluaran mewah atau pasaran ceruk, iaitu walaupun kurang mampu bersaing dari segi jumlah keluaran, namun menjadikan keluaran bermutu tinggi sebagai kelebihan untuk berdepan dengan persaingan dari China dan ekonomi-ekonomi Asia yang membangkit dengan asas kos buruh yang rendah.[76]

Negara ini merupakan negara pengeksport ketujuh terbesar di dunia pada tahun 2009.[77] Barangan dan syarikat eksport utama Itali mengikut sektor ialah kenderaan bermotor (Fiat, Aprilia, Ducati, Piaggio); kimia dan petrokimia (Eni); tenaga dan kejuruteraan elektrik (Enel, Edison); kelengkapan rumah (Candy, Indesit), teknologi aeroangkasa dan pertahanan (Alenia Aeronautica, Agusta, Finmeccanica), senjata api (Beretta), fesyen (Armani, Valentino, Versace, Dolce & Gabbana, Roberto Cavalli, Benetton, Prada, Luxottica); pemprosesan makanan (Ferrero, Barilla Group, Martini & Rossi, Campari, Parmalat); kereta sport dan mewah (Ferrari, Maserati, Lamborghini, Pagani); perahu layar (Ferretti, Azimut). Itali paling rapat menjalin hubungan perdagangan dengan negara-negara Kesatuan Eropah yang lain yang menyumbangkan kira-kira 59% jumlah dagangannya, khususnya (dari segi bahagian pasaran) Jerman (12.9%), Perancis (11.4%), dan Sepanyol (7.4%).[78]

Pelancongan

Pelancongan merupakan salah sebuah sektor yang paling pesat bertumbuh dan lumayan dalam ekonomi negara: dengan 43.7 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan jumlah pendapatan dianggarkan $42.7 bilion, Itali merupakan negara yang keempat terbanyak pendapatan pelancongan dan yang kelima paling kerap dilawati di dunia.[79] Meskipun merosot pada lewat 1980-an dan sewaktu Perang Teluk, namun Itali berjaya membina semula industri pelancongannya pada pertengahan 1990-an.[80] Antara tarikan pengunjung paling terkenal di Itali termasuk Colosseum (4 juta orang pelawat setahun) dan puing-puing Pompeii (2.5 juta orang pelawat setahun).

Pengangkutan

Kereta api berkelajuan tinggi Frecciarossa yang mampu mencapai 355 km/h (220.59 mph).[81][82][83]

Pada tahun 2004, sektor pengangkutan di Itali menjana pusing ganti sekitar 119.4 bilion euro, mengambil kerja 935,700 orang di 153,700 perusahaan. Berkenaan rangkaian jalan raya negara, pada tahun 2002, terdapat sejumlah 668,721 km (415,612 batu) jalan raya yang boleh digunakan di Itali, termasuk 6,487 km (4,031 batu) lebuh raya yang milik negara tetapi dikendali oleh syarikat swasta Atlantia. Pada tahun 2005, sekitar 34,667,000 kereta penumpang (590 kereta per 1,000 orang) dan 4,015,000 kenderaan pengangkut yang berjalan atas rangkaian jalan raya negara.[84]

Rangkaian kereta api negara yang milik negara dan dikendali oleh Ferrovie dello Stato, berjumlah 16,287 km (10,122 batu) yang digunakan oleh 4,937 lokomotif dan relkar pada tahun 2003; 69% daripadanya dielektrikkan. Rangkaian jalan air pedalaman negara terdiri daripada sungai-sungai dan terusan-terusan yang boleh dilayari berjumlah 1,477 km (918 batu) pada tahun 2002. Pada tahun 2004, terdapat kira-kira 30 lapangan terbang utama (termasuk dua buah pusat iaitu Malpensa di Milan dan Leonardo Da Vinci di Rom) serta 43 pelabuhan utama (termasuk pelabuhan di Genoa, iaitu yang terbesar di negara dan kedua terbesar di Laut Mediterranean). Pada tahun 2005, Itali menyimpan armada pesawat awam sebanyak 389,000 unit dan armada saudagar sebanyak 581 kapal.[84]

Rujukan

WikiPedia: Itali http://209.85.129.132/search?q=cache:m5-u7afI-asJ:... http://213.253.134.43/oecd/pdfs/browseit/0406041E.... http://www.censusdata.abs.gov.au/ABSNavigation/pre... http://www12.statcan.ca/english/census06/data/high... http://globalization.kof.ethz.ch/static/pdf/press_... http://www.adnkronos.com/AKI/English/Religion/?id=... http://www.allempires.com/article/index.php?q=ital... http://www.boston.com/news/world/europe/articles/2... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297241/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297474/I...