Politik Itali

Giorgio Napolitano, Presiden Republik Itali ke-11.

Sistem politik Itali merupakan republik demokrasi berparlimen yang disertai oleh berbilang parti politik. Kuasa eksekutif dilaksanakan bersama oleh Majlis Menteri-Menteri yang diketuai oleh seorang Presiden (Presidente del Consiglio dei Ministri) yang juga digelar primo ministro (“perdana menteri”). Kuasa perundangan terletak pada dua dewan Parlimen terutama sekali, diikuti oleh Majlis Menteri-Menteri. Cabang kehakiman pula bebas daripada pengaruh eksekutif dan perundangan. Itali mengamalkan sistem republik demokrasi sejak 2 Jun 1946, apabila pemerintahan beraja dimansuhkan oleh sebuah pungutan suara rakyat (rujuk "kelahiran Republik Itali"). Perlembagaan negara ini diisytiharkan pada 1 Januari 1948.

Giorgio Napolitano ialah Presiden Republik Itali, manakala Mario Monti ialah Perdana Menteri negara (Presiden Majlis Menteri-Menteri).

Presiden Republik Itali (Presidente della Repubblica) dipilih oleh parlimen untuk berjawat selama tujuh tahun, bersama sebilangan kecil wakil tempatan. Selaku ketua negara, Presiden Republik melambangkan perpaduan negara dan menjalankan banyak tugas yang pernah ditugaskan kepada Raja Itali. Presiden ini berkhidmat sebagai titik perhubungan antara ketiga-tiga cabang kuasa: beliau dipilih oleh pembuat undang-undang, beliau melantik para petugas eksekutif, beliau merupakan presiden kehakiman dan beliau juga panglima besar angkatan tentera.

Palazzo Montecitorio, pusat Dewan Rakyat Itali.

Presiden mencalonkan Perdana Menteri yang mengusulkan menteri-menteri lain (yang dinamakan secara rasmi oleh Presiden). Majlis Menteri-Menteri mesti memenangi undian percaya daripada kedua-dua dewan Parlimen.

Rakyat Itali memilih parlimen yang terdiri daripada dua dewan, iaitu Dewan Rakyat (Camera dei Deputati, “Dewan Para Timbalan”) yang dianggotai oleh 630 orang ahli, dan Senat Republik (Senato della Repubblica) yang terdiri daripada 315 ahli yang dipilih serta sebilangan kecil senator seumur hidup). Kedua-dua dewan boleh menggubal rang undang-undang yang mesti diluluskan dalam bentuk sama oleh majoriti di kedua-dua dewan sekali. Para ahli kedua-dua dewan parlimen dipilih secara langsung oleh rakyat melalui sistem pengundian yang rumit (pindaan terakhir pada 2005) yang menggabungkan perwakilan berkadar dengan hadiah majoriti untuk parti campuran terbesar. Semua warganegara Itali yang berusia 18 tahun ke atas boleh mengundi. Bagaimanapun, untuk mengundi ahli Senat, pengundi mestilah berusia 25 tahun ke atas.

Sistem pengundian Senat berdasarkan perwakilan mengikut daerah. Pada 17 Ogos 2010, terdapat enam senator seumur hidup (termasuk dua bekas Presiden). Kedua-dua dewan dipilih untuk penggal tak lebih lima tahun, tetapi boleh dibubarkan oleh Presiden sebelum berakhirnya penggal biasa jika Parlimen tidak dapat memilih kerajaan yang stabil. Dalam sejarah pasca-perang, ini berlaku pada tahun 1972, 1976, 1979, 1983, 1994, 1996, dan 2008.

Parlimen Itali unik kerana memperuntukkan perwakilan kepada warganegara Itali yang bermastautin di luar negara (sekitar 2.7 juta orang). Di kalangan 630 Wakil Rakyat dan 315 Senator, masing-masing terdapat 12 dan 6 orang yang dipilih oleh empat buah kawasan pengundian luar negara. Ahli-ahli Parlimen ini dilantik buat kali pertama pada April 2006, dan mendapat kuasa yang sama rata dengan ahli-ahli yang dipilih oleh pengundi di Itali.

Undang-undang

Sistem kehakiman Itali berasaskan undang-undang Rom yang diubahsuai oleh hukum Napoleon diikuti oleh statut. Mahkamah Rayuan Agung merupakan mahkamah terakhir untuk kebanyakan pertikaian. Mahkamah Perlembagaan Itali (Corte Costituzionale), satu inovasi pasca Perang Dunia Kedua, membuat keputusan tentang keakuran undang-undang dengan Perlembagaan.

Hubungan luar

Itali ialah sebuah negara pengasas Kesatuan Eropah. Ia menandatangani Perjanjian Lisbon pada tahun 2007.

Itali merupakan negara pengasas Komuniti Eropah, kini Kesatuan Eropah (EU). Itali diterima masuk ke dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1955, di samping menjadi anggota dan penyokong kuat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Perjanjian Am ke atas Tarif dan Perdagangan/Pertubuhan Perdagangan Sedunia (GATT/WTO), Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), Majlis Eropah, dan Inisiatif Eropah Tengah. Itali pernah menyandang jawatan presiden pertubuhan antarabangsa seperti Persidangan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (CSCE), pendahulu OSCE, pada tahun 1994; G8; dan EU pada Julai hingga Disember 2003 serta tahun 2009.

Itali menyokong PBB dan kegiatan-kegiatan keselamatan antarabangsa anjurannya. Itali mengerah tentera untuk menyokong misi pengamanan PBB di Somalia, Mozambique, dan Timor Timur, serta memberikan sokongan kepada operasi NATO dan PBB di Bosnia, Kosovo dan Albania. Itali mengerahkan seramai 2,000 askar ke Afghanistan untuk menyokong Operasi Enduring Freedom (OEF) pada Februari 2003. Itali tetap menyokong usaha antarabangsa untuk membina semula dan menstabilkan Iraq, tetapi menarik balik kontinjen tenteranya yang seramai 3,200 askar pada November 2006, sambil meninggalkan petugas kemanusiaan dan kakitangan awam yang lain di Iraq.

Pada Ogos 2006, Itali menghantar seramai 2,450 askar ke Lubnan untuk misi pengamanan UNIFIL.[50]

Tentera

Kapal induk pesawat udara MM Cavour.

Angkatan tentera Itali terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara dan Gendarmerie yang terletak di bawah perintah Majlis Pertahanan Agung yang diketuai oleh Presiden Republik Itali. Mulai tahun 1999, kemasukan tentera adalah secara sukarela.[51] Pada tahun 2010, tentera Itali dianggotai oleh 293,202 orang kakitangan aktif,[52] termasuk 114,778 ahli Gendarmerie (polis tentera).[53] Jumlah perbelanjaan tentera Itali pada 2010 adalah $35.8 bilion atau 1.7% KNDK-nya, menduduki tangga ke-10. Sebagai peserta strategi perkongsian nuklear NATO, Itali juga menyimpan 90 butir bom nuklear milik Amerika Syarikat di pangkalan udara Ghedi dan Aviano.[54]

Tentera Darat Itali ialah angkatan pertahanan daratan negara yang dianggotai 109,703 orang pada tahun 2008. Antara kenderaan tempur milik tentera Itali yang paling digeruni ialah kereta pejuang infantri Dardo, pemusnah kereta kebal Centauro dan kereta kebal Ariete, dan helikopter penyerang Mangusta. Tentera Darat Itali juga menyimpan seangkatan besar kereta perisai Leopard 1 dan M113.

Sebuah Eurofighter Typhoon kendalian Tentera Udara Itali.

Pada tahun 2008, Tentera Laut Itali dianggotai 35,200 kakitangan aktif dengan 85 buah kapal dan 123 buah pesawat dalam kegunaan.[55] Pada zaman moden, Tentera Laut Itali selaku anggota NATO banyak mengambil bahagian dalam operasi kerjasama di serata dunia.

Tentera Udara Itali pula dikuatkan oleh 43,882 orang dan 585 pesawat, termasuk 219 jet tempur dan 114 helikopter.

Tentera Itali dilengkapi kor berautonomi Carabinieri iaitu polis tentera Itali yang mengawal keselamatan tentera dan orang awam di samping angkatan polis yang lain di Itali. Walaupun Carabinieri terdiri daripada berbagai-bagai cabang yang melapor diri kepada kementerian-kementerian berasingan bagi setiap fungsi individunya, namun kor ini melapor diri kepada Kementerian Hal Ehwal dalam Negeri mengenai hal ketenteraman dan keselamatan awam.[56]

Rujukan

WikiPedia: Itali http://209.85.129.132/search?q=cache:m5-u7afI-asJ:... http://213.253.134.43/oecd/pdfs/browseit/0406041E.... http://www.censusdata.abs.gov.au/ABSNavigation/pre... http://www12.statcan.ca/english/census06/data/high... http://globalization.kof.ethz.ch/static/pdf/press_... http://www.adnkronos.com/AKI/English/Religion/?id=... http://www.allempires.com/article/index.php?q=ital... http://www.boston.com/news/world/europe/articles/2... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297241/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297474/I...