Sejarah Itali

Rencana utama: Sejarah Itali
Bangunan Colosseum di Rom, ca. 70 – 80 M.

Kerja-kerja ekskavasi di seluruh Itali membuktikan kehadiran manusia moden yang begitu lama sejak zaman Paleolitik, sekitar 200,000 tahun dahulu.[31] Apabila manusia mula bertamadun di rantau Itali, mereka berpecah menjadi kaum-kaum yang ketara sekali perbezaan bahasa dan budaya, seperti Oska, Umbria dan Latin. Lambat-laun, kaum Latin paling mendominasi di rantau Itali kerana membina kota Rom yang menjadi paling berpengaruh pada abad ke-4 SM, lantas membina sebuah empayar besar yang meliputi hampir seluruh benua Eropah dan rantau sekitar Laut Mediterranean, termasuk sekali bergabung dengan tamadun Yunani purba untuk bersama-sama meninggalkan pusaka yang kaya dalam bidang undang-undang,pentadbiran pusat, falsafah dan seni buat tamadun Barat hingga kini. Malangnya, Empayar Rom merosot sekitar abad ke-4 lalu berpecah menjadi negeri-negeri bebas yang saling berbalahan, lebih-lebih lagi di semenanjung Itali, dan keadaan ini berlarutan sepanjang Zaman Pertengahan hingga kedatangan zaman Pembaharuan dan zaman moden. Walaupun di tengah-tengah kacau-bilau itu, namun terdapat sesetengah negeri yang boleh membangun dengan perdagangan, yakni empat "Republik Maritim" (Venice, Genoa,Pisa dan Amalfi) yang giat berdagang dengan negara Timur.

Penciptaan Adam oleh Michelangelo.

Walaupun belum bersatu menjadi sebuah negara, namun Itali terkenal sebagai bangsa pelopor Zaman Pembaharuan yang bertarikh lewat abad ke-13 hingga awal abad ke-17. Dengan inilah lahirnya bermacam-macam tokoh pelbagai bidang yang berjasa besar kepada tamadun moden awal Eropah dan masih tampak kesannya pada zaman sekarang, misalnya sasterawan-sasterawan seperti Francesco Petrarca (yang dikatakan memulakan seluruh Gerakan Pembaharuan) dan Niccolo Machiavelli (terkenal dengan Si Putera); pelukis-pelukis seperti Michelangelo dan Raphael, dan juga tokoh sains dan teknologi seperti Leonardo da Vinci dan Galileo Galilei. Namun di sebalik pencapaian ini, rantau Itali tetap berdepan dengan penaklukan bangsa luar seperti naungan wangsa Habsburg (1559–1796) dan Napoleon (1796–1814); diburukkan lagi oleh wabak-wabak Maut Hitam yang meragut sekitar sejuta nyawa penduduk Itali pada abad ke-14 hingga ke-17.[32][33][34]

Garibaldi dan Victor Emmanuel II.

Pada tahun 1861, setelah banyak mengharungi peperangan dengan kuasa-kuasa asing, barulah lahirnya sebuah pergerakan penyatuan Itali yang terdiri daripada bekas jajahan atau naungan empayar asing di bawah sebuah pemerintahan beraja, berkat usaha nasionalis dan monarkis Itali yang taat setia kepada Wangsa Savoia untuk menubuhkan sebuah negara bersatu yang meliputi seluruh Semenanjung Itali, sehingga mampu mencabar kekuasaan empayar Habsburg. Mula-mula beribu kota di Torino, pada tahun 1965 ibu negara Itali berpindah ke Firenze. Apabila Itali berjaya merampas Negeri-Negeri Kepausan daripada Perancis, barulah ibu negara Itali yang bersatu sepenuhnya diletakkan di kota Rom.

Negara Itali yang baru itu mengamalkan sistem demokrasi yang dikuasai oleh golongan liberal (namun wanita dan golongan tidak berada dilarang daripada mengundi), di samping oleh ekonomi yang berkembang pesat, tetapi terlalu tertumpu kepada bahagian utara sehingga para penduduk bahagian selatan terpaksa berhijrah ke kawasan utara itu atau ke luar negara. Di kemuncak arah aliran emigrasi dari Itali memuncak pada tahun 1913, seramai 872,598 orang meninggalkan negara itu[35] ke negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Brazil.

Di akhir abad ke-19, Itali menjadi sebuah kuasa penjajah yang mula-mula menguasai Somalia, Eritrea, Libya (di Afrika) dan Dodecanese (di Yunani).[36] Itali berkecimpung dalam Perang Dunia Pertama atas janji menerima Trento, Trieste, Gorizia and Gradisca, Istria dan Dalmatia utara dari Empayar Austria-Hungary serta sebahagian wilayah Empayar Uthmaniyyah, walaupun ini menyebabkan seramai 650,000 orang askar Itali gugur[37] dan keruntuhan ekonomi negara. Selepas perang, Itali memperoleh sebahagian besar wilayah yang dijanjikan, kecuali Dalmatia yang diberikan kepada Yugoslavia.

Benito Mussolini.

Kemusnahan ekonomi dan sosial akibat Perang Dunia Pertama mendorong sesetengah rakyat Itali cenderung beralih arah kepada Parti Fasis Negara yang dipimpin oleh Benito Mussolini. Parti tersebut berjaya mendirikan pemerintahan diktator yang rupa-rupanya tidak menyebelahi keadilan politik dan hak asasi manusia. Kerajaan Mussolini berpakat dengan Jerman Nazi dan Empayar Jepun, kemudian lalu terjebak dalam Perang Dunia Kedua di sisi kuasa Paksi pada tahun 1940. Kerajaan Fasis meluaskan empayar jajahan Itali ke Habsyah, Mesir dan jajahan British di Somalia. Akhirnya, Itali ditewaskan oleh musuhnya, Pihak Berikat pada Julai 1943 lalu digulingkannya kerajaan Fasis dan kehilangan semua jajahannnya di Afrika. Pada sisa-sisa Perang Dunia Kedua, Itali berpihak dengan pihak Berikat untuk menumpaskan Jerman Nazi pada tahun 1945.Pada tahun 1946, sebuah pungutan suara yang diadakan pada 2 Jun 1946 memutuskan bahawa Itali menjadi sebuah negara republik dan mengusir kerabat dirajanya. Ini juga kali pertama kaum wanita Itali diberi hak mengundi.[38] Berkat bantuan negara luar, ekonomi Itali pascaperang bangkit daripada kehancuran untuk menjadi ekonomi paling pesat pada 1950-an dan 1960-an. Sepanjang Perang Dingin, pemerintahan Itali dikuasai oleh parti haluan kanan yang disokong oleh kebimbangan rakyat akan pengaruh komunis, di samping itu, Itali menyertai NATO, dan pada tahun 1957, ia menjadi anggota pengasas Komuniti Ekonomi Eropah yang berubah menjadi Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 1993.

Rujukan

WikiPedia: Itali http://209.85.129.132/search?q=cache:m5-u7afI-asJ:... http://213.253.134.43/oecd/pdfs/browseit/0406041E.... http://www.censusdata.abs.gov.au/ABSNavigation/pre... http://www12.statcan.ca/english/census06/data/high... http://globalization.kof.ethz.ch/static/pdf/press_... http://www.adnkronos.com/AKI/English/Religion/?id=... http://www.allempires.com/article/index.php?q=ital... http://www.boston.com/news/world/europe/articles/2... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297241/I... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/297474/I...