Ekonomi Jahiliah

Keadaan ekonomi masyarakat Arab di selatan Semenanjung Arab menjadi tidak stabil selepas runtuhnya empangan Ma’arib di Yaman. Kebanyakan mereka yang menetap di sana berpindah ke utara Semenanjung Arab untuk mencari sumber ekonomi yang baru. Keadaaan sebelah utara Semenanjung Tanah Arab yang diliputi dengan padang pasir sesuai untuk berdagang. Walau bagaimanapun, perdagangan yang dijalankan tidak menguntungkan kerana terdapat banyak pergolakan politik, ancaman dan tekanan pihak Parsi dan Rom serta kabilah-kabilah Arab lain. Peperangan al-Fijar adalah antara yang memberi kesan kepada ketidakstabilan politik, menyebabkan pedagang dari Hirah diserang dan berlakunya peperangan.

Akibat dari kekurangan sumber pertanian berikutan pecahnya empangan Ma’arib, Kerajaan Himyar pada ketika itu cuba mendapatkan sumber ekonomi baru melalui penaklukan. Pada peringkat awal penaklukan mereka berjaya memperolehi hasil yang banyak. Tetapi pada tahun 300 Masihi, tekanan dari luar dan penduduk tempatan telah mengurangkannya. Pada tahun 534 Masihi, kerajaan Himyah telah kalah kepada tentera Habsyah dan tentera Parsi.

Puak Habsyah pada ketika itu pula begitu ghairah meluaskan penaklukan mereka ke bahagian utara dan melakukan serangan ke atas kota Makkah. Walau bagaimanapun, percubaan ini gagal. Keadaan ini menyebabkan hubungan perdagangan antara Yaman dan Syam terjejas dan ini memberi impak kepada kota Makkah yang terletak di tengah-tengah perjalanan antara kedua-dua negara tersebut. Hubungan antara Yaman dan Hirah juga terputus kerana Hirah berada dalam kekuasaan kerajaan Parsi manakala Yaman di bawah kekuasaan Habsyah yang merupakan rakan karib kerajaan Rom, musuh kerajaan Parsi.

Kedudukan kota Makkah yang terletak di tengah kuasa besar ini memberi tekanan kepada puak Quraisy Makkah dan mereka cuba mengeksploitasi perdagangan satu hala dengan kaum Arab Badwi. Ini menyebabkan puak Badwi bertindak balas dengan melakukan rompakan ke atas kafilah pedagang Quraisy. Keadaan masyarakat di kota Makkah sendiri telah wujud permusuhan antara golongan kaya dan miskin. Keadaan menjadi huru hara ini sedikit sebanyak mengganggu proses pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.