Kerjaya Jalaluddin_Hassan

Kerjaya lakonan Datuk Jalaluddin bermula pada 1990 menerusi telefilem Bukan Impian yang turut dibintangi oleh Rozie Rashid dan Mubarak Majid, ketika itu beliau berusia 36 tahun. Empat tahun kemudian, beliau memegang watak sebagai Husin dalam filem arahan Ahmad Fauzee Panggilan Pulau, pembikinan semula daripada filem 1954 dengan tajuk sama arahan S. Ramanathan lakonan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Setahun kemudian, Jalaluddin menjayakan peranan Hang Tuah dalam filem cereka sains XX Ray II arahan Aziz M. Osman yang ditayangkan pada 25 November 1995.

Jalaluddin merupakan antara salah seorang barisan pelakon drama lipur lara Idaman, bersama Deanna Yusoff, Norazah Aziz, Hamidah Wahab, Sean Ghazi, Dian P. Ramlee dan Kartina Aziz. Drama ini diiktiraf sebagai drama Melayu paling terpanjang di dunia, disiarkan di Astro Ria dari 1998 hingga 2001.[13][14]

Antara 2000 dan 2002, Jalaluddin mengacarakan rancangan kuiz Who Wants to Be a Millionaire? versi Malaysia, yang bersiaran di ntv7.[15] Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[16]

Satu-satunya filem lakonan Jalaluddin pada 2006 ialah filem cereka sains komedi, Cicak-Man arahan Yusry KRU lakonan Saiful Apek yang ditayangkan pada 7 Disember 2006. Jalauddin memegang watak sebagai Ramlan, Presiden Metrofulus. Beliau kembali menjayakan peranannya dalam kesinambungannya, Cicakman 2 - Planet Hitam (2008).

Antara 2008 dan 2013, Jalaluddin memegang watak Supritenden Razif dalam siri drama polis trafik, Roda-Roda Kuala Lumpur terbitan Skop Productions yang disiarkan di TV2. Lima tahun kemudian, beliau memegang watak Dato’ Hashim, tokoh korporat berjaya yang juga bapa kepada Zack lakonan Syamsul Yusof dan Daniel lakonan Syafiq Yusof dalam siri drama aksi, Evolusi KL Drift: The Series yang diadaptasi dari filem Evolusi KL Drift (2008) arahan Syamsul.[17] Beliau menyertai barisan pelakon termasuk Razak Ahmad, Kamal Adli, Julia Ziegler, Radhi Khalid dan Najwa P. Ramlee beraksi di pementasan teater Asmara Songsang arahan Rahman Adam yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 Mac 2013.[18][19]

Pada 2016, beliau menjayakan peranan King dalam filem aksi komedi, Lu Mafia Gua Gangster arahan Krishna Roy lakonan kumpulan Zero.[20] Juga pada tahun sama, beliau memegang watak Hassan, bapa kepada Aiman lakonan Syamsul Yusof dalam filem cereka sains, Desolasi arahan Syafiq Yusof, ditayangkan pada 8 Disember 2016.[21][22][23]

Kembali bekerja dengan Kabir Bhatia selepas kali terakhir muncul dalam filem Setem (2009), Jalaluddin membintangi filem biografi sejarah Pulang, yang dibintangi oleh Remy Ishak dan Puteri Aishah; beliau memegang watak Omar pada usia 50an. Filem ini diilhamkan dari satu kisah benar peristiwa yang pernah berlaku pada 1940an, ia ditayangkan 26 Julai 2018.[24]

Rujukan

WikiPedia: Jalaluddin_Hassan http://www.agendadaily.com/Nasional/kenangan-kenan... http://kalsel.antaranews.com/berita/21554/keturuna... http://english.astroawani.com/entertainment-news/a... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/setahun-m... http://www.budiey.com/filem-desolasi/ http://www.budiey.com/filem-lu-mafia-gua-gangster-... http://www.imdb.com/name/nm0368333/ http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article... http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita... http://www.kosmo.com.my/hiburan/cinta-kedua-jalalu...