Jenayah_kebencian

Dalam ilmu jenayah dan undang-undang, jenayah kebencian berlaku apabila pelaku jenayah menyasar mangsanya kerana dipercayai menganggotai kelompok sosial yang tertentu, iaitu ras, agama, orientasi seks, kecacatan, darjat, keetnikan, kewarganegaraan, usia, jantina, identiti jantina, status sosial, hubungan politik atau sebagainya.[1]Jenayah kebencian merupakan satu kategori undang-undang yang digunakan untuk memerikan keganasan dorongan prasangka: "penyerangan, pencederaan, dan pembunuhan atas dasar sifat-sifat peribadi yang tertentu: rupa berbeza, warna berbeza, bangsa berbeza, bahasa berbeza, agama berbeza."[2]"Jenayah kebencian" umumnya memaksudkan tindakan-tindakan jenayah yang kelihatan didorong oleh prasangka terhadap mana-mana jenis tersebut atau yang sebagainya. Kejadian sebegini boleh melibatkan serangan fizikal, kerosakan harta, buli, penggangguan, cercaan atau penghinaan, ataupun contengan atau surat yang menyinggung perasaan (surat benci).[3]Justeru itu, undang-undang jenayah kebencian digubal dengan tujuan mencegah keganasan yang didorong oleh prasangka. Undang-undang jenayah kebencian berbeza daripada undang-undang ucapan kebencian, yang mana undang-undang jenayah kebencian menguatkan hukuman yang dikaitkan dengan perilaku yang dianggap sebagai jenayah mengikut undang-undang lain, manakala undang-undang ucapan kebencian menjenayahkan ucapan itu sendirian.