Karier Jennifer_Lawrence

2006–2011

Lawrence di Anugerah Akademi ke-83 pada bulan Februari 2011

Lawrence memulakan karier lakonan beliau dalam siri komedi TBS, The Bill Engvall Show dengan melakonkan watak Lauren Pearson.[8] Siri itu mula ditayangkan pada bulan September 2007 dan berkekalan selama tiga musim.[9] Pelakon dalam siri itu termasuk Lawrence, memenangi Anugerah Artis Muda untuk Pelakon Muda Cemerlang dalam Siri TV dan menerima pencalonan untuk Lakonan Terbaik dalam Siri TV (Komedi atau Drama).[10][11] Pada tahun 2008, Lawrence membuat penampilan filem pertamanya sebagai peranan kecil dalam Garden Party,[12] disusuli dengan watak utama dalam filem arahan Lori Petty, The Poker House.[13] Beliau dianugerahkan Lakonan Cemerlang Anugerah Festival Filem Los Angeles untuk lakonannya dalam The Poker House.[14] Beliau kemudiannya muncul dalam filem arahan sulung Guillermo Arriaga, The Burning Plain (2008) bersama-sama Charlize Theron dan Kim Basinger. Peranan beliau dalam filem ini membolehkan beliau memenangi Anugerah Marcello Mastroianni untuk Pelakon Wanita Baru Terbaik di Festival Filem Venice.[15] Beliau juga muncul dalam video muzik Parachute untuk lagu The Mess I Made.[8]

Peranan utama Lawrence dalam filem arahan Debra Granik, Winter's Bone (2010) yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Sundance kerap digambarkan sebagai lakonan cemerlang pertamanya.[16] Lakonan beliau dalam filem ini dipuji secara meluas oleh pengkritik filem. Lawrence dianugerahkan Anugerah National Board of Review untuk Lakonan Cemerlang dan menerima pencalonan Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik.[17][18]

Lawrence membintangi Like Crazy yang ditayangkan di Festival Filem Sundance 2011 dan muncul dalam The Beaver, sebuah filem komedi gelap dibintangi Jodie Foster dan Mel Gibson. Beliau juga membintangi bersama-sama James McAvoy dan Michael Fassbender dalam X-Men: First Class (2011), sebuah prekuel kepada siri filem X-Men.[19] Beliau melakonkan watak penjahat, Mystique, dilakonkan oleh Rebecca Romijn dalam filem X-Men sebelumnya.[20] First Class mencapai kejayaan komersial dengan mengutip $353.6 juta di box office antarabangsa.[21] Lawrence menyertai Academy of Motion Picture Arts and Sciences pada tahun itu.[22]

2012–sekarang

Lawrence di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September 2012

Pada tahun 2012, Lawrence membintangi sebagai Katniss Everdeen dalam The Hunger Games, adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh Suzanne Collins. Walaupun merupakan peminat novel ini, Lawrence mengambil masa tiga hari untuk menerima watak itu kerana beliau pada awalnya takut dengan saiz filem ini dan bagaimana ia mungkin memberi kesan kepada kerjayanya.[23][24] Beliau menjalani latihan yang meluas untuk watak itu termasuk memanah, memanjat batu dan pokok serta pertempuran.[25][26] Dengan kutipan antarabangsa sebanyak $691.2 juta,[21] The Hunger Games menjadi filem box office pertama untuk mengutip ($350 juta dan ke atas) dibintangi pelakon aksi wanita,[27] menjadikan Lawrence sebagai heroin aksi dengan kutipan tertinggi.[1] Filem ini menerima ulasan positif dan lakonan Lawrence sebagai Katniss menerima pujian.

Lawrence melakonkan watak seorang janda muda dalam Silver Linings Playbook (2012), adaptasi novel dengan tajuk yang sama oleh Matthew Quick. Filem ini juga dibintangi Bradley Cooper dan Robert De Niro.[28] Beliau menerima pujian kritis untuk lakonannya.[29] Untuk lakonan beliau dalam filem ini, beliau memenangi Anugerah Golden Globe dan Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik,[30][31] menjadikan beliau pemenang Pelakon Wanita Terbaik Oskar kedua termuda pada umur 22 tahun.[32] Lawrence juga membintangi bersama Max Thieriot dan Elisabeth Shue dalam House at the End of the Street (2012).[33] Beliau menjadi wajah rumah fesyen, Dior pada bulan Oktober 2012.[34]

Pada tahun 2013, Lawrence menyambung watak beliau sebagai Katniss Everdeen dalam The Hunger Games: Catching Fire, filem kedua siri The Hunger Games.[35] Ia merupakan kejayaan komersial dengan kutipan $864.9 juta.[21] Beliau kemudiannya melakonkan watak pembantu dalam American Hustle (2013) juga dibintangi Bradley Cooper, Amy Adams dan Jeremy Renner.[36] Lawrence menerima pujian kritis untuk lakonannya,[37] dan menerima Anugerah Golden Globe untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah BAFTA untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Pembantu dan pencalonan ketiga Anugerah Akademi, yang pertamanya untuk watak pembantu,[38][39][40] menjadikannya pelakon wanita termuda untuk mendapat tiga pencalonan.[41]

Lawrence menggantikan Angelina Jolie dalam drama Serena, berdasarkan novel dengan tajuk yang sama oleh Ron Rash.[42][43] Pada tahun 2014, Lawrence sekali lagi melakonkan watak Mystique dalam X-Men: Days of Future Past, yang mengutip $748.1 juta di seluruh dunia dan menyambung watak Katniss Everdeen dalam The Hunger Games: Mockingjay – Part 1.[44] Filem ini mencapai kejayaan box office dengan kutipan $751.9 juta di seluruh dunia.[21]

Pada bulan Mei 2015, beliau dinamakan sebagai wajah kempen kecantikan Dior Addict.[45] Kemudiannya pada tahun itu, Lawrence membintangi filem terakhir Hunger Games, The Hunger Games: Mockingjay – Part 2 (2015). Kerjasama ketiga Lawrence dengan David O. Russell, Joy ditayangkan pada bulan Disember 2015 dimana Lawrence melakonkan watak Joy Mangano.[46] Richard Roeper dari Chicago Sun-Times' memanggil ia sebagai lakonan terbaik beliau sejak Winter Bone.[47] Untuk lakonannya, beliau memenangi Anugerah Golden Globe untuk Pelakon Wanita Terbaik – Filem Muzikal atau Komedi,[48] dan dicalonkan Anugerah Akademi untuk Pelakon Wanita Terbaik, menjadikan beliau individu termuda yang mendapat empat pencalonan Oskar.[49]

Lawrence sekali lagi melakonkan watak Mystique dalam filem adiwira, X-Men: Apocalypse (2016). Beliau menerima liputan media kerana dibayar $20 juta untuk filem sains fiksyen, Passengers dijadual ditayangkan pada 21 Disember 2016.[50] Pada bulan Ogos 2015, Lawrence mengumumkan bahawa beliau dan Amy Schumer sedang menulis sebuah lakon layar komedi untuk filem akan datang.[51]

Rujukan

WikiPedia: Jennifer_Lawrence http://www.aoltv.com/2009/09/25/will-you-miss-the-... http://www.askmen.com/celebs/women/actress/jennife... http://www.blackbookmag.com/jennifer-lawrence-dish... http://boxofficemojo.com/genres/chart/?id=actionhe... http://www.boxofficemojo.com/people/chart/?id=jenn... http://www.cbsnews.com/news/golden-globes-2014-jen... http://collider.com/hunger-games-catching-fire-ima... http://collider.com/interview-jennifer-lawrence-an... http://collider.com/jennifer-lawrence-catching-fir... http://www.courier-journal.com/article/20110123/FE...