Geografi Jerman

Peta topografi Jerman.
Rencana utama: Geografi Jerman

Wilayah Jerman meliputi kawasan seluas 357,024 km², mengandungi 349,223 km² daratan dan 7,798 km² laut. Ia adalah negara ketujuh terbesar dari segi keluasan di Eropah dan ke-63 terbesar di dunia. Ketinggiannya merangkumi pergunungan Alp (puncak tertinggi: Zugspitze pada 2,962 m) di selatan hinggalah ke pantai Laut Utara di barat laut dan Laut Baltik di timur laut. Di antara kedua-duanya terhampar kawasan tanah tinggi berhutan di tengah Jerman dan dataran tanah rendah bahagian utara dengan kedudukan terendah ialah Wilstermarsch pada 3.54 m di bawah paras laut. Beberapa sungai utama Eropah mengalir melaluinya seperti Sungai Rhine, Danube dan Elbe.[22] Oleh kerana kedudukannya yang di tengah-tengah, negara ini bersempadankan banyak negara Eropah berbanding negara lain di benua ini. Negara jirannya ialah Denmark di utara, Poland dan Republik Czech di timur, Austria dan Switzerland di selatan, Perancis dan Luxembourg di barat daya dan Belgium dan Belanda di barat laut.

Iklim

Pemandangan Pergunungan Alp di Bavaria.

Hampir keseluruhan Jerman memiliki iklim sederhana bermusim yang dipengaruhi oleh tiupan bayu barat. Iklim ini disederhanakan oleh Arus Atlantik Utara, yang merupakan sambungan kepada Arus Teluk. Air laut yang lebih panas ini memberi kesan kepada kawasan-kawasan yang bersempadankan Laut Utara termasuk Semenanjung Jutland dan kawasan sepanjang Sungai Rhine, yang turut mengalir ke Laut Utara. Oleh yang demikian, kawasan di utara dan barat laut beriklim kelautan. Hujan berlaku sepanjang tahun dengan jumlah terbanyak di musim panas. Musim sejuk adalah sederhana dan musim panas cenderung menjadi sejuk, walaupun suhu boleh melebihi 30 °C bagi tempoh yang panjang. Di timur, iklim adalah lebih kebenuaan dengan musim sejuk yang boleh menjadi sangat sejuk dan musim panas pula sangat panas, selain tempoh kering yang panjang selalu direkodkan. Kawasan tengah dan selatan Jerman adalah wilayah peralihan yang berubah dari iklim kelautan sederhana hinggalah ke kebenuaan. Sekali lagi, suhu maksimum boleh melebihi 30 °C pada musim panas.[23][24]

Alam sekitar

Ladang angin. Pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia ialah Jerman dengan 14% jumlah penggunaan elektrik pada tahun 2007 dijana oleh tenaga seperti angin dan suria.[25].

Dari segi fitogeografi, Jerman dikongsi di antara wilayah-wilayah Eropah Atlantik dan Eropah Tengah dalam Alam Boreal. Wilayah Jerman seterusnya boleh dibahagikan kepada empat rantau semula jadi iaitu Hutan-hutan bercampur Atlantik, Baltik, Eropah Tengah dan Hutan berdaun lebar Eropah Barat.

Jerman terkenal dengan tahap kesedaran terhadap alam sekitar.[26] Ramai warganya menganggap bahawa kegiatan manusia merupakan penyumbang terbesar kepada fenomena pemanasan sejagat.[27] Kerajaannya amat komited terhadap Protokol Kyoto dan beberapa perjanjian lain bagi menggalakkan kepelbagaian biologi, piawaian pembebasan gas rumah hijau, kitar semula, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong pembangunan lestari di peringkat sejagat.[28]

Kerajaan Jerman juga telah memulakan kegiatan pengurangan pembebasan gas rumah hijau yang meluas dan kadar pembebasan keseluruhan yang dicatatkannya semakin berkurangan.[29] Walau bagaimanapun, negara ini masih merupakan antara pengeluar per kapita gas karbon dioksida terbesar di Eropah, tetapi masih rendah berbanding Australia, Kanada, Arab Saudi atau Amerika Syarikat.

Pembebasan gas daripada janakuasa dan perusahaan yang berasaskan arang batu menyumbang kepada pencemaran udara. Hujan asid yang terhasil akibat pembebasan gas sulfur dioksida merosakkan hutan-hutan. Pencemaran di Laut Baltik akibat sisa buangan perpaipan dan industri dari sungai-sungai di negeri-negeri bekas Jerman Timur telah berjaya dikurangkan. Kerajaan pimpinan Canselor Gerhard Schröder telah mengumumkan hasrat untuk menghentikan penggunaan tenaga nuklear bagi janakuasa elektrik. Malah, Jerman berusaha memenuhi janji-janjinya kepada EU berhubung kawasan pemuliharaan semula jadi berlandaskan Arahan EU mengenai Tumbuhan, Haiwan dan Habitat. Glasier terakhir Jerman di Pergunungan Alp walau bagaimanapun menghadapi pencairan. Bencana alam paling berleluasa pula ialah banjir ketika musim bunga dan angin ribut yang berlaku di semua kawasan.

Rujukan

WikiPedia: Jerman http://www.britannica.com/EBchecked/topic/73127/Bo... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.cometogermany.com/ http://www.csmonitor.com/2006/1110/p25s02-woeu.htm... http://www.dummies.com/WileyCDA/DummiesArticle/id-... http://www.economist.com/business/displaystory.cfm... http://www.epemag.com/zuse/ http://users.erols.com/mwhite28/warstat0.htm#30YrW http://www.ft.com/cms/s/2/504285c4-68b6-11da-bd30-...