Undang-undang Jerman

The Federal Constitutional Court of Germany in Karlsruhe.

Badan Kehakiman di Jerman ialah cabang kerajaan yang bebas daripada badan pemerintah dan perundangan. Negara ini mengamalkan sistem undang-undang sivil yang berlandaskan undang-undang orang Rom yang disadur dengan undang-undang Jermanik. Bundesverfassungsgericht (Mahkamah Perlembagaan Persekutuan), yang terletak di Karlsruhe, ialah mahkamah atasan yang mendengar kes-kes mengenai hal-ehwal perlembagaan dan mempunyai kuasa mengkaji semula undang-undang (semakan kehakiman).[40] Mahkamah ini merupakan penguasa undang-undang tertinggi di negara ini yang memastikan amalan perundangan dan kehakiman mematuhi Hukum Asas Republik Persekutuan Jerman (Hukum Asas).

Sistem mahkamah tinggi di negara ini, yang dipanggil Oberste Gerichtshöfe des Bundes (Mahkamah-mahkamah Kehakiman Tertinggi Persekutuan), diberi peranan yang khusus. Bagi kes-kes awam mahupun jenayah, mahkamah rayuan tertinggi ialah Bundesgerichtshof (Mahkamah Keadilan Persekutuan), yang terletak di Karlsruhe dan Leipzig. Bilik perbicaraannya disusun dengan gaya penyiasatan. Mahkamah-mahkamah atasan yang lain pula ialah Bundesarbeitsgericht (Mahkamah Buruh Persekutuan) di Erfurt, Bundessozialgericht (Mahkamah Sosial Persekutuan) di Kassel, Bundesfinanzhof (Mahkamah Kewangan Persekutuan) di Munich dan Bundesverwaltungsgericht (Mahkamah Pentadbiran Persekutuan) di Leipzig.

Undang-undang jenayah dan undang-undang persendirian dikanunkan di peringkat kebangsaan di dalam kanun keseksaan (Strafgesetzbuch) dan kanun awam (Bürgerliches Gesetzbuch). Sistem kanun keseksaan di Jerman ditujukan ke arah pemulihan penjenayah, manakala tujuan keduanya ialah melindungi khalayak umum.[41] Bagi mencapai tujuan keduanya itu, seseorang pesalah boleh diletakkan di bawah tahanan pencegahan (Sicherungsverwahrung) di samping hukuman biasa sekiranya ia dianggap mengancam keselamatan awam. Kanun Jenayah Antarabangsa (Völkerstrafgesetzbuch) pula telah digubal bagi menghukum kekejaman kemanusiaan, pembunuhan kaum dan juga jenayah perang. Kanun ini memberikan mahkamah-mahkamah Jerman kuasa untuk mendakwa penjenayah, sekiranya pendakwaan oleh mahkamah tempatan di mana jenayah itu dilakukan atau oleh mahkamah antarabangsa tidak boleh dilakukan.

Peringkat negeri

Pegawai polis negeri di Hamburg.

Kuasa perundangan dibahagi-bahagikan di antara pihak persekutuan dan juga negeri. Hukum Asas menyatakan semua kuasa perundangan terletak di tangan negeri-negeri melainkan yang digariskannya dengan khusus. Di sesetengah bidang, persekutuan dan negeri mempunyai kuasa bersama. Di dalam kes-kes sebegini, pihak persekutuan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang "jika dan dengan tujuan untuk membentuk gaya hidup yang sama rata di seluruh persekutuan" atau "untuk pemuliharaan keseragaman undang-undang mahupun ekonomi yang memerlukan kawalan persekutuan demi kepentingan kebangsaan."[42]

Semua undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri sekiranya kuasa perundangan terletak di tangan persekutuan. Satu contoh terkenal ialah hukuman bunuh di bawah undang-undang negeri Hesse yang bertentangan dengan larangan yang termaktub di dalam Hukum Asas, sekaligus menolak peruntukan undang-undang negeri itu sebagai tidak sah. Bundesrat (Majlis Persekutuan) ialah badan persekutuan yang disertai oleh negeri-negeri dalam menggubal undang-undang persekutuan. Penglibatan ini diwajibkan terutamanya apabila undang-undang yang hendak digubal jatuh di bawah peruntukan kuasa bersama, memerlukan negeri-negeri melaksanakan peraturan persekutuan atau sebagaimana yang digariskan di dalam Hukum Asas. Setiap negeri, kecuali Schleswig-Holstein (yang kuasa perlembagaannya dikendalikan oleh Bundesverfassungsgericht bagi pihaknya) memiliki mahkamah perlembagaan masing-masing. Amtsgericht (Mahkamah Daerah), Landgericht (Mahkamah Negeri) dan Oberlandesgericht (Mahkamah Tinggi Negeri) pula adalah mahkamah-mahkamah negeri yang memiliki kuasa-kuasa umum. Kesemuanya berkuasa membicarakan kes-kes samada menggunakan undang-undang negeri mahupun persekutuan.

Kebanyakan hal-ehwal asas berkaitan undang-undang pentadbiran masih dipegang oleh negeri-negeri, walaupun kebanyakannya menggunapakai beberapa isi penting Akta Prosiding Pentadbiran 1976. Di dalam bidang kuasa pentadbiran, Oberverwaltungsgerichte (Mahkamah Tinggi Pentadbiran) ialah mahkamah tertinggi berkaitan hal-ehwal pentadbiran negeri, melainkan "persoalan undang-undang itu menyentuh undang-undang persekutuan" atau "undang-undang negeri yang mirip dengan undang-undang persekutuan." Di dalam kes-kes sebegini, rayuan terakhir boleh dibuat ke Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

Rujukan

WikiPedia: Jerman http://www.britannica.com/EBchecked/topic/73127/Bo... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.cometogermany.com/ http://www.csmonitor.com/2006/1110/p25s02-woeu.htm... http://www.dummies.com/WileyCDA/DummiesArticle/id-... http://www.economist.com/business/displaystory.cfm... http://www.epemag.com/zuse/ http://users.erols.com/mwhite28/warstat0.htm#30YrW http://www.ft.com/cms/s/2/504285c4-68b6-11da-bd30-...