Kesejarahan Jesus_Christ

Cendekiawan-cendekiawan menggunakan kaedah sejarah untuk mengembangkan binaan semula yang mungkin tentang kehidupan Jesus. Ini harus dibezakan dengan Jesus dalam kitab Bible yang berasal daripada pembacaan teologi teks-teks Gospel. Sesetengah cendekiawan mempertikaikan kesejarahan Jesus. [5]

Binaan semula sejarah dan arkeologi kehidupan harian Jesus

Ahli-ahli sejarah sekular pada umumnya memerihalkan Jesus sebagai seorang ketua gerakan agama Yahudi yang pergi dari satu tempat ke satu tempat untuk berkhutbah. [25]

Latar sosial

Kebanyakan cendekiawan bersetuju bahawa Gospel-gospel ditulis tidak lama sebelum atau selepas pemusnahan Kuil Yahudi pada tahun 70 oleh orang-orang Rom. Pemeriksaan pemerian-pemerian Wasiat Baru mengenai Jesus berdasarkan pengetahuan sejarah tentang tempoh Wasiat Baru ditulis telah menyebabkan banyak cendekiawan mentafsirkan semula banyak unsur pemerian-pemerian dalam Wasiat tersebut. Banyak orang telah mencuba membina semula kehidupan Jesus dari segi aliran politik, budaya dan agama sezaman di Israel, termasuk perbezaan-perbezaan antara Galilee dan Judea; antara berbagai-bagai mazhab seperti Farisi, Sadducee, Essene dan Zilot; [26] dan dari segi pertikaian antara orang-orang Yahudi dalam konteks kedudukan orang-orang Rom.

Ikatan-ikatan kepada Kumpulan-kumpulan Agama

Gospel-gospel merekodkan bahawa Jesus berasal dari Nazareth, tetapi maksud perkataan ini adalah kabur. [27] Sesetengah cendekiawan menegaskan bahawa Jesus pada dirinya ialah seorang Farisi. [28] Pada masa Jesus, dua aliran fikiran yang utama antara orang-orang Farisi ialah Keluarga Hillel dan Keluarga Shammai. Kenyataan tegas Jesus tentang kepura-puraan mungkin ditujukan kepada ahli-ahli Keluarga Shammai yang lebih tegas, walaupun Jesus bersetuju dengan ajaran-ajaran mereka mengenai perceraian (Mark 10:1–12).[29] Jesus juga mengulas tentang ajaran-ajaran Keluarga Hillel (Talmud Babylon, Shabbat 31a) mengenai rukun teragung (Mark 12:28–34) dan Peraturan Keemasan (Matt 7:12).

Cendekiawan-cendekiawan lain menegaskan bahawa Jesus ialah pengikut Essene, satu mazhab agama Yahudi yang tidak tersebut dalam Wasiat Baru. [30] Terdapat juga cendekiawan-cendekiawan yang menegaskan bahawa Jesus mengetuai mazhab hari kiamat yang mungkin berkait dengan John si Baptis, [31] dan yang kemudian menjadi agama Kristian awal selepas Penugasan Agung menyebarkan ajaran-ajarannya kepada orang-orang bukan Yahudi. [32] Ini adalah berlainan dengan penugasan Jesus yang lebih awal yang diberikan kepada dua belas Hawari yang dihadkan kepada "biri-biri hilang Israel" dan tidak termasuk orang-orang bukan Yahudi atau orang-orang Samaritan (Matt 10).

Nama dan gelaran

Yang membangkitkan minat yang khas adalah nama-nama dan gelaran-gelaran yang diberikan kepada Jesus.

Menurut kebanyakan ahli-ahli sejarah yang paling kritis, Jesus mungkin tinggal di Galilee untuk kebanyakan hayatnya dan beliau mungkin bertutur dalam bahasa Aramia dan Ibrani. Nama "Jesus" ialah transliterasi bahasa Inggeris daripada bahasa Latin (Iēsus) yang pula berasal daripada nama Yunani (Ιησους). Oleh sebab kebanyakan cendekiawan menganggap bahawa Jesus adalah orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Aramia dan tinggal di Galilee pada sekitar 30 Masihi, adalah amat mungkin bahawa beliau tidak mempunyai nama peribadi Yunani. Pemeriksaan Septuagin dengan lanjut menunjukkan bahawa perkataan Yunani itu merupakan transliterasi nama bahasa Ibrani Yehoshua (יהושוע) (Yeho - Yahweh [ialah] shua` - bantuan/penyelamatan) atau singkatan perkataan Ibrani/Aramia, Yeshua atau Jeshua (ישוע). Oleh itu, cendekiawan-cendekiawan mempercayai bahawa salah satu daripada nama-nama ini amat mungkin merupakan nama yang Jesus dikenali oleh orang-orang yang setara semasa hayatnya. [33]

Christ (yang merupakan gelaran dan bukan sebahagian nama Jesus) ialah penginggerisan istilah Yunani untuk Messiah, dan secara harfiah bermaksud "orang yang telah disapukan minyak". Ahli-ahli sejarah memperdebatkan tentang maksud gelaran ini pada masa hidup Jesus; sesetengah ahli sejarah mencadangkan bahawa gelaran-gelaran yang digunakan untuk Jesus dalam Wasiat Baru (umpamanya Lord, Anak Manusia, dan Anak Tuhan) mempunyai maksud-maksud yang amat berbeza pada abad pertama dengan maksud-maksudnya pada hari ini: lihat Nama-nama dan gelaran-gelaran Jesus.

Kesejarahan teks

Lihat juga: Kesejarahan Jesus

Kebanyakan cendekiawan moden yang mengkaji Bible menganggap bahawa kitab-kitab yang memerihalkan Jesus pada asalnya dikomunikasi melalui tradisi lisan, dan tidak tertulis sehingga banyak dekad selepas penyalibannya. Teks-teks terawal yang masih wujud adalah surat-surat Paul yang biasa dianggap ditulis pada pertengahan abad pertama. Paul menulis bahawa beliau hanya melihat Jesus dalam visi-visinya tetapi visi-visi ini merupakan wahyu-wahyu ketuhanan dan oleh itu, adalah berwibawa (Gal 1:11–12). Teks-teks terawal yang lebih perinci dan yang masih wujud ialah keempat-empat Gospel Wasiat Baru. Teks-teks ini yang merupakan sebahagian Hukum Gereja Bible telah dianalisis dengan lebih teliti dan diterima oleh lingkungan Kristian berbanding dengan sumber-sumber maklumat yang lain.

Banyak lagi teks-teks awal Kristian memperincikan peristiwa-peristiwa dalam hayat Jesus dan ajaran-ajarannya, walaupun teks-teks itu tidak dimasukkan ke dalam kitab Bible ketika hukum gereja disusun kerana:

  • kepercayaan bahawa teks-teks itu merupakan pseudepigrafi yang bukan diilhami; atau
  • penulisan dibuat terlalu lama selepas kematian Jesus,

manakala yang lain disekat kerana kandungannya bercanggah dengan kepercayaan ortodoks Kristian. Penyusunan kitab Bible mengambil masa beberapa abad untuk memutuskan apakah yang harus merupakan sebahagian kitab dan apa yang bukan. Pada sebahagian besar peringkat awal, Buku Ilham tidak dimasukkan ke dalam kitab, sedangkan Gembala dari Hermas dimasukkan.

Buku-buku yang tidak termasuk dalam senarai terakhir kini dikenali sebagai Apokrifa Wasiat Baru, dengan buku utama antaranya merupakan Gospel Thomas, sebuah himpunan logia tanpa rangka naratif — frasa-frasa dan pepatah-pepatah yang dikatakan dikata oleh Jesus — yang hanya ditemui semula pada abad ke-20. Karya-karya apokrifa lain yang penting dan yang amat mempengaruhi pembentukan kepercayaan-kepercayaan Kristian tradisional termasuk Ilham Peter, Protevangelium James, Gospel Masa Bayi Thomas, dan Perbuatan-perbuatan Peter. Sebilangan tradisi Kristian (seperti vel Veronica dan Asumpsi Mary) juga tidak didapati dalam gospel-gospel hukum gereja tetapi terdapat dalam karya-karya ini serta karya-karya apokrifa yang lain.

Teks-teks awal yang mungkin

Sesetengah teks lebih awal yang mempunyai maklumat sejarah atau mitos mengenai Jesus diteka wujud sebelum Gospel-gospel, [34] walaupun teks itu tidak dapat ditemui. Berdasarkan persamaan dan perbezaan yang luar biasa (lihat masalah sinoptik) antara Gospel-gospel SinoptikMatthew, Mark dan Luke yang merupakan gospel-gospel hukum gereja yang pertama — banyak cendekiawan Bible mencadangkan bahawa tradisi lisan dan logia (seperti Gospel Thomas dan dokumen Q teori [35] ) mungkin pada mula-mulanya memainkan peranan yang kuat dalam menyampaikan cerita-cerita mengenai Jesus dan mungkin mengilhami sebahagian Gospel-gospel Sinoptik.

Khususnya, banyak cendekiawan mempercayai bahawa dokumen Q dan Gospel Mark merupakan dua sumber yang digunakan untuk gospel-gospel Matthew dan Luke; bagaimanapun, teori-teori yang lain seperti hipotesis Augustine yang lebih lama masih mempengaruhi sesetengah cendekiawan-cendekiawan Bible. Lagi sebuah dokumen teori ialah Gospel Tanda-tanda yang dipercayai merupakan salah satu sumber bagi Gospel John.[35]

Terdapat juga gospel-gospel bukan hukum gereja yang awal yang mendahului Gospel-gospel hukum gereja, walaupun tidak banyak cebisannya dapat ditemui. Antaranya ialah Gospel Berlin Yang Tidak Diketahui, Gospel-gospel Oxyrhynchus, Gospel Egerton, Cebisan Fayyum, Dialog Penyelamat, Gospel Ebionit, Gospel Ibrani, dan Gospel Nazarene. Sedangkan manuskrip dan cebisan teks-teks terawal ini yang masih wujud bertarikh selepas manuskrip dan cebisan teks-teks terawal Gospel-gospel hukum gereja, kesemua ini mungkin merupakan salinan manuskrip-manuskrip terawal yang tarikh tepatnya tidak diketahui.

Persoalan kebolehpercayaan

Diakibatkan oleh lompang selama mungkin banyak dekad antara waktu penulisan Gospel-gospel dan peristiwa-peristiwa yang diperihalkannya, ketepatan kesemua teks-teks awal yang menuntut kewujudan Jesus atau perincian hayatnya telah dipertikaikan oleh berbagai-bagai pihak. Sebagai tradisi, pengarang-pengarang Gospel dianggap menyaksikan peristiwa-peristiwa yang diperihalkan dengan mata sendiri. Selepas cerita-cerita lisan yang asal telah ditulis, ia ditranskripsikan dan kemudian diterjemahkan kepada bahasa-bahasa yang lain. Banyak ahli sejarah Bible telah menjawab tuntutan ketidakbolehpercayaan pemerian gospel dengan menunjukkan bahawa kesemua dokumentasi sejarah seringnya adalah bersifat tidak berkecuali serta tidak asli, dan biasanya ditulis banyak dekad selepas peristiwa yang diperihalkan.

Zaman Kesedaran dan Revolusi Saintifik telah menyebabkan keraguan tentang ketepatan sejarah teks gospel-gospel ini. Walaupun sesetengah cendekiawan kritis, termasuk ahli-ahli arkeologi, masih meneruskan penggunaannya sebagai rujukan dalam kajian sejarah Timur Dekat kuno, [36] yang lain menganggap teks-teks ini sebagai dokumen-dokumen kebudayaan serta kesusasteraan. Secara umumnya, mereka menganggap teks-teks ini sebagai sebahagian genre sastera yang dipanggil hagiografi, iaitu pemerian tentang seorang tokoh suci yang dianggap sebagai mewakili ideal moral dan ketuhanan. Hagiografi mempunyai tujuan utama untuk mengagungkan agama, dengan contoh yang ditunjukkan oleh seorang tokoh suci yang sempurna merupakan tumpuan utamanya.

Sesetengah orang mengatakan bahawa pemerian Gospel bukan sahaja tidak objektif tetapi juga tidak tepat kerana karya-karya itu ditulis atau disusun oleh pengikut-pengikut dan kelihatan hanya menggambarkan pandangan yang positif dan ideal tentang Jesus, sedangkan yang lain menunjukkan kekurangan sumber-sumber bukan Kristian sehingga Josephus pada tahun 93 Masihi. Mereka yang menyokong pandangan naturalis terhadap sejarah umumnya tidak mempercayai campur tangan ketuhanan atau mukjizad seperti kebangkitan Jesus yang disebut dalam Gospel-gospel. Salah satu kaedah yang digunakan untuk mengukur ketepatan fakta cerita di dalam gospel-gospel dikenali sebagai "kriteria rasa malu" yang menganggap bahawa cerita mengenai peristiwa-peristiwa yang mempunyai aspek-aspek rasa malu (seperti penafian Peter terhadap Jesus, atau pelarian hawari-hawari selepas penangkapannya) mungkin tidak akan dimasukkan jika pemerian-pemerian itu tidak benar.

Pengaruh luar terhadap perkembangan gospel

Mozek Vatican (abad ke-3): Sol Invictus

Banyak cendekiawan, umpamanya Michael Grant, tidak mengesan persamaan yang penting antara mitos pagan dan agama Kristian. Grant menyatakan dalam bukunya, Jesus: An Historian's Review of the Gospels (Jesus: Ulasan Ahli Sejarah mengenai Gospel-gospel) bahawa "agama Yahudi merupakan suatu agama yang mana doktrin-doktrin kematian dan kelahiran semula, serta dewa-dewa mitos, kelihatan adalah perkara-perkara asing bagi mereka sehingga kemunculan pemalsuan ini adalah amat susah untuk dipercayai." [37]

Bagaimanapun, sesetengah cendekiawan mempercayai bahawa pemerian gospel tentang Jesus tidak mempunyai atau tidak banyak mempunyai asas sejarah. Sekurang-kurang pada sebahagiannya, ini adalah disebabkan oleh banyak persamaan yang diperhatikan mereka antara cerita-cerita mengenai Jesus dengan mitos-mitos yang lebih lama mengenai dewa-dewa pagan seperti Mithras, Apollo, Attis, Horus dan Osiris-Dionysus. Ini telah menyebabkan dugaan-dugaan bahawa mitos-mitos pagan telah diterima oleh sesetengah pengarang dalam pemerian awal mereka tentang Jesus untuk membentuk asimilasi dalam agama Kristian. Sebilangan kecil seperti Earl Doherty memutarbelitkan konsep ini dengan mencadangkan bahawa gospel-gospel sebenarnya merupakan usaha penulisan semula mitos-mitos yang lebih lama dan tidak berdasarkan seorang tokoh sejarah. Walaupun kaitan-kaitan ini telah dipertikaikan oleh banyak orang, adalah benar bahawa banyak unsur cerita-cerita tentang Jesus sebagaimana yang dikisahkan oleh Gospel-gospel mempunyai persamaan dengan mitologi pagan, di mana mukjizat-mukjizat seperti kelahiran dara amat dikenali. Sesetengah penulis Kristian seperti Justin Martyr dan C.S. Lewis mempertahankan dakwaan ini dengan mengatakan bahawa mitos-mitos itu dicipta oleh orang-orang pagan kuno yang mempunyai pengetahuan lebih dahulu yang kabur dan tidak tepat tentang Gospel-gospel; dengan kata yang lain, orang-orang pagan memberikan sifat-sifat ramalan terhadap Christ yang ditunjukkan di dalam Torah Yahudi dan Nabi-nabi kepada dewa-dewa mereka. Sebenarnya, Lewis menulis bahawa agama Kristian akan kurang dipercayai jika ia tidak mempunyai tema-tema yang sama dengan mitos-mitos pagan yang tersebut.

Rujukan

WikiPedia: Jesus_Christ http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://www.biblegateway.com/passage/?search=1Cor%2... http://www.biblegateway.com/passage/?search=Acts%2...