Penternakan Kambing

Penternakan kambing meluas di seluruh kawasan Norte Chico di Chile. Penternakan kambing intensif di tanah kering boleh menyebabkan hakisan tanah yang parah dan penggurunan.

Kambing yang hidup mahupun yang mati berguna kepada manusia, terutama sekali sebagai pembekal susu, tinja, gentian, daging dan kulit.[27] Sesetengah badan amal membekalkan kambing kepada golongan miskin di negara-negara miskin kerana kambing lebih mudah dan murah untuk diuruskan daripada lembu, malah pelbagai kegunaannya. Selain itu, kambing digunakan untuk memandu kereta dan mengangkat barang.

Usus kambing digunakan untuk membuat "katgut" yang masih digunakan sebagai bahan untuk membuat jahitan pembedahan dalaman manusia dan tali-tali untuk alat muzik bertali. Tanduk kambing yang melambangkan kemewahan dan kesejahteraan (kornukopia) juga digunakan untuk membuat sudu.[28]

Kambing Boer sering diternak sebagai pedaging.

Perangkaan populasi kambing sedunia

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), pengeluar-pengeluar susu kambing segar terbanyak pada tahun 2012 adalah India (4.85 juta tan metrik), Bangladesh (2.608 juta tan metrik) dan Sudan (1.532 juta tan metrik).[29]

Amalan penternakan

Amalan penternakan kambing berbeza-beza mengikut tempat dan budaya. Jenis kandang yang digunakan untuk kambing bukan sahaja bersandarkan tujuan penggunaan kambing, bahkan juga persekitaran penternakannya. Mengikut sejarah, kambing ternak biasanya diternak dalam kawanan yang merayau-rayau di bukit atau tempat merenggut yang sebagainya dengan bimbingan gembala yang berusia kanak-kanak hingga remaja. Kaedah penggembalaan ini masih digunakan masa kini.

Di sesetengah negara, terutamanya di Eropah dan Amerika Utara, kambing tenusu dan pedaging dibezakan mengikut baka. Anak kambing jantan tenusu lebihan biasanya disembelih untuk daging. Kedua-dua jantina pedaging boleh disembelih untuk daging, di samping kambing tua sebarang baka. Daging kambing jantan tua (lebih setahun) umumnya dikira tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia. Kambing jantan boleh dikasi muda-muda untuk mencegah pengeluaran bau hamis.

Kambing merupakan ternakan penting untuk penternak kecil-kecilan di kebanyakan negara, seperti wanita Burkina Faso ini.

Kambing tenusu biasanya dibawa untuk merenggut di padang ragut pada cuaca baik (cth. musim panas atau tengkujuh, apabila tumbuhan subur) dan dikandangkan pada cuaca kurang baik (musim sejuk atau kemarau berlarutan, apabila tumbuhan tidak subur). Kambing tenusu diperah hari-hari, maka ia dijaga dekat dengan bangsal perah susu. Renggutan kambing biasanya dilengkapi dengan rumput kering dan konsentrat. Kandang kambing boleh berbentuk petak-petak berasingan seperti kuda atau satu petak untuk kawanan.

Kambing pedaging pula dibawa untuk merenggut sepanjang tahun asalkan bekalan tumbuhan subur, malah boleh dibela jauh dari bangsal. Kambing gentian seperti Angora juga diternak dalam padang ragut atau secara lepas. Begitu juga dengan kambing tenusu, kambing-kambing pedaging dan gentian ditambah pemakanan dengan rumput kering dan konsentrat terutamanya pada cuaca buruk.

Di India, Nepal, dan sebahagian besar Asia, kambing diternak rata-rata untuk pengeluaran susu untuk kegunaan rumah mahupun perdagangan. Kambing di kawasan ini boleh dibela dalam rumah atau dibiarkan bebas mencari makanan. Kambing Salem Black digembala untuk merenggut di padang dan di tepi jalan pada waktu siang, tetapi disimpan dalam kandang pada waktu malam demi keselamatan.[30]

Di Afrika dan Timur Tengah, kambing biasanya digembala secara berkawan gaul bersama biri-biri. Ini memaksimumkan pengeluaran seekar kerana kambing dan biri-biri berbeza tumbuhan makanan. Pelbagai kaedah penternakan kambing diamalkan di Habsyah misalnya, di mana empat kaedah utama dikenal pasti iaitu: dibawa merenggut dalam sistem tanaman tahunan, sistem tahunan malar, bersama lembu, dan di kawasan gersang dalam sistem penggembalaan nomad. Walaupun demikian, dalam keempat-empat sistem, kambing biasanya diternak dalam sistem yang meluas dengan sedikit pembelian.[31]

Di Nigeria, kambing dibela di rumah. Walaupun kebanyakan kambing dibenarkan untuk berkeliaran di rumah ladang atau kampung, tetapi ada juga yang disimpan dan diberi makan dalam kandang dalam sistem cut-and-carry. Penternakan begini juga diamalkan di beberapa tempat di Amerika Latin. Cut-and-carry, iaitu amalan memungut rumput, jagung atau buluh untuk diberi makan daripada membenarkan kambing itu untuk berkeliaran di atas padang, adalah sesuai untuk sesetengah tanaman seperti jagung atau buluh yang senang diinjak-injak sampai musnah oleh kambing.[32]

Kambing peliharaan terdapat di serata dunia yang mana rumah tangga membela kambing semata-mata sebagai kesayangan daripada kegunaan, lebih-lebih lagi di Amerika Utara dan Eropah di mana kambing semakin banyak dibela sebagai peliharaan sahaja.

Daging

Rencana utama: Daging kambing

Rasa daging kambing dan anak kambing serupa dengan daging biri-biri;[33] Bagaimanapun, ada yang menyamakan rasa daging kambing dengan daging anak lembu atau rusa, bergantung pada umur dan kesihatan kambingnya. Rasanya dikaitkan terutamanya dengan kehadiran asid 4-metiloktanoik dan 4-metilnonanoik.[34] Daging kambing boleh disiapkan dengan pelbagai cara, termasuk direndidih, dibakar, digril, dibarbeku, ditin, dan digoreng. Daging kambing boleh dikisar, dimasak kari, atau dibuat jadi sosej. Oleh sebab kandungan lemak yang rendah, daging kambing boleh mengeras pada suhu tinggi jika dimasak tanpa kelembapan tambahan. Antara baka kambing pedaging terlaris adalah Boer dari Afrika Selatan. Kambing Kiko dari New Zealand juga adalah kambing pedaging, begitu juga baka "kambing pengsan" yang berasal dari Tennessee, Amerika Syarikat.

Susu dan hasil tenusu

Kambing yang sedang diperah di ladang organik

Kambing menyumbang kepada kira-kira 2% bekalan susu tahunan sedunia.[35] Sesetengah kambing diternak khusus untuk susunya. Jika kambing jantan yang berbau kuat tidak diasingkan daripada kambing betina, maka baunya akan menjejaskan susu.

Susu kambing sejadi mempunyai globul-globul lemak yang kecil dan teremulsi dengan baik, iaitu krimnya kekal terampai dalam susu daripada timbul ke atas seperti mana susu lembu mentah. Oleh itu, susu kambing tidak perlu dihomogenkan. Sesungguhnya jika susu itu digunakan untuk membuat keju, maka penghomogenan itu tidak digalakkan kerana itu mengubah struktur susu hingga menjejaskan kebolehan kulturnya untuk menggumpalkan susu dan akhirnya hasil dan mutu keju.[36]

Kambing tenusu di kemuncak umurnya (biasanya sekitar kitaran laktasi ketiga atau keempat) menghasilkan purata sebanyak 6–8 paun (2.7–3.6 kg) susu sehari sepanjang laktasi 10 bulan; paling lebih sejurus selepas menyegar dan beransur-ansur kurang menjelang tamat laktasi. Susu kambing biasanya mengandungi purata 3.5% lemak mentega.[37]

Susu kambing umumnya diproses menjadi keju, mentega, aiskrim, yogurt, dan sebagainya. Keju susu kambing digelar chèvre di Perancis sempena nama kambing dalam bahasa Perancis. Antara jenis kejunya termasuk Rocamadour dan Montrachet.[38] Mentega susu kambing berwarna putih kerana kambing menghasilkan susu dengan beta-karotena kuningnya ditukar menjadi suatu bentuk vitamin A yang berwarna tawar.

Khasiat

Sesetengah orang menggunakan susu kambing untuk menyusui anak sebagai ganti untuk susu manusia atau susu lembu. Sebuah buku terbitan 1970 mengenai penternakan berhujah bahawa susu kambing berbeza dengan susu manusia mahupun susu lembu kerana lebih senang dihadam, berbeza kealkaliannya, serta memiliki nilai-nilai terapeutik tertentu dalam perubatan dan nutrisi manusia.[39] George Mateljan berhujah bahawa susu kambing boleh menggantikan susu lembu atau susu biri-biri dalam pemakanan bagi mereka yang alah kepada susu sesetengah haiwan tertentu.[40] Bagaimanapun, seperti dengan susu lembu, susu kambing mengandungi laktosa (gula) dan boleh menyebabkan masalah gastrousus bagi mereka yang tidak tahan laktosa.[40] Sebenarnya, kandungan laktosa sama banyaknya dengan susu lembu.[41]

Akademi Pediatrik Amerika tidak menggalakkan penyusuan bayi dengan susu kambing. Sebuah laporan kes April 2010[42] merumuskan saranannya dan membentangkan "kajian menyeluruh tentang akibat-akibat yang didatangkan dengan amalan berbahaya ini"; tambahnya, "Ramai bayi yang hanya disusui dengan susu kambing disebabkan kepercayaan budaya serta terdedah kepada maklumat palsu dalam talian. Laporan-laporan anekdot telah menghuraikan pelbagai morbiditi yang dikaitkan dengan amalan tersebut, termasuklah keabnormalan elektrolit yang parah, asidosis metabolik, anemia megaloblastik, tindak-tindak balas alergi termasuk kejutan anafilaksis yang mengancam nyawa, sindrom uremia hemolisis, dan jangkitan-jangkitan." Bruselosis kaprin (kambing) yang tidak dirawat mengakibatkan kadar kematian 2% kes. Menurut USDA, susu kambing tidak sesuai untuk bayi manusia kerana ia mengandungi "kuantiti besi, folat, vitamin C dan D, tiamina, niasin, vitamin B6, dan asid pantotenik yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan zat bayi", malah boleh memudaratkan buah pinggang bayi serta menyebabkan kerosakan metabolisme.[43]

Jabatan Kesihatan United Kingdom telah berulang kali mengeluarkan kenyataan dari masa ke semasa bahawa[44] "Susu kambing tidak sesuai untuk bayi, malah rumusan bayi dan rumusan susuan yang berasaskan protein susu kambing tidak pernah diluluskan untuk digunakan di Eropah", bahkan "susu bayi yang berasaskan protein susu kambing tidak sesuai sebagai sumber zat untuk bayi."[41]

Kandungan asas pelbagai susu (nilai min per 100g)[45]
JuzukKambingLembuManusia
Lemak (g)3.83.64.0
Protein (g)3.53.31.2
Laktosa (g)4.14.66.9
Abu (g)0.80.70.2
Jumlah pepejal (g)12.212.312.3
Kalori706968
Analisa kandungan susu per 100 gram [46]
JuzukunitLembuKambingBiri-biriKerbau
Airg87.888.983.081.1
Proteing3.23.15.44.5
Lemakg3.93.56.08.0
Karbohidratg4.84.45.14.9
Tenagakcal666095110
TenagakJ275253396463
Gula (laktosa)g4.84.45.14.9
Kolesterolmg1410118
KalsiumIU120100170195
Asid lemak tepug2.42.33.84.2
Asid lemak monotaktepug1.10.81.51.7
Asid lemak politaktepug0.10.10.30.2

Kandungan ini berbeza-beza mengikut baka, haiwan dan masa dalam tempoh laktasi.

Gentian

Kambing Angora.

Baka kambing Angora menghasilkan bulu mohair bergelung-gelung yang panjang, keriting dan berkilat. Seluruh badan kambing ini diliputi mohair tanpa sebarang bulu pelapik. Bulu itu tumbuh berterusan hingga empat inci ke atas. Juga diciptanya baka-baka kacukan angora seperti pygora dan nigora untuk menghasilkan bulu daripada haiwan yang lebih kecil dan senang untuk diurus. Bulunya diketam dua kali setahun dengan purata hasil kira-kira 10 paun.

Kebanyakan kambing mempunyai bulu penebat yang lebih lembut dekat dengan kulit, dan bulu pelapik (guard hair) yang lebih lebat dan kasar di permukaan. Gentian yang lebih digemari untuk industri tekstil adalah bulu penebat dalaman yang pelbagai gelarnya (down, kasymir dan pasymina). Bulu pelapik yang kasar pula kurang bernilai kerana ianya terlalu kesat, sukar dipintal dan sukar dicelup warna. Kambing kasymir menghasilkan sejumlah bulu kasymir yang komersil, iaitu antara gentian semula jadi paling mahal yang dihasilkan secara komersil, kerana kasymir itu amat halus dan lembut. Gentian kasymir kambing diketam sekali setahun, menghasilkan sekitar 9 auns (200 g) setiap kali.

Di Asia Selatan, bulu kasymir dipanggil "pasymina" (dari bahasa Parsi pashmina, "wul halus"). Pada abad-abad ke-18 dan ke-19, wilayah Kasymir mempunyai sebuah industri mekar yang menghasilkan selendang daripada bulu kambing yang diimport dari Tibet dan Tartar menerusi Ladakh. Selendang-selendang itu diperkenalkan ke Eropah Barat apabila Ketua Jeneral Kempen Perancis di Mesir (1799–1802) menghantar sehelainya ke Paris. Semenjak itu, bulu yang digunakan untuk membuat selendang yang dihasilkan di wilayah hulu Kasymir dan Ladakh itu dikenali sebagai "kasymir".

Pembersihan tanah

Kambing digunakan oleh manusia untuk membersihkan tumbuh-tumbuhan yang tidak dikehendaki sejak berabad-abad lamanya. Kambing telah diperikan sebagai "mesin makan" dan "agen kawalan biologi".[47][48] Amalan ini mengalami suatu kebangkitan di Amerika Utara sejak 1990 apabila kawanan-kawanan kambing digunakan untuk membersihkan belukar kontang di lurah-lurah bukit California yang dikhuatiri terancam oleh kebakaran hutan. Semenjak itu, pelbagai agensi awam mahupun swasta telah mengupah kawanan kambing swasta untuk melakukan tugas-tugas sedemikian.[47] Amalan ini meluas di rantau Barat Laut Pasifik Amerika Syarikat di mana kawanan kambing digunakan untuk menyingkirkan spesies-spesies invasif yang tidak mudah dihapuskan oleh manusia, seperti pepanjat beri hitam berduri dan oak beracun.[47][49]

Rujukan

WikiPedia: Kambing ftp://ftp.fao.org/docrep/fao/009/a0540t/a0540t06.p... http://www.environment.gov.au/system/files/resourc... http://archaeology.about.com/od/domestications/qt/... http://www.americangoatsociety.com/education/polle... http://www.dairygoatjournal.com/issues/84/84-6/Tim... http://fiascofarm.com/goats/age.htm http://web.foodnetwork.com/food/web/encyclopedia/t... http://books.google.com/?id=dUgEAAAAMBAJ&lpg=PA57&... http://books.google.com/?id=nWCLpQFrdnMC&pg=PA519&... http://books.google.com/?id=ni6Hbqm04vIC&pg=PA244&...