Budaya Kanada

Kanada terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya serta mendapat perlindungan perlembagaan untuk dasar-dasar yang memupuk kepelbagaian budaya daripada mitos satu bangsa.[190][191] Di Quebec, jati diri budayanya utuh sekali, yang mana ramai penutur bahasa Perancis yang mengulas bahawa kebudayaan Quebec berbeza sekali dengan kebudayaan Kanada Inggeris,[192] tetapi pada keseluruhannya, Kanada merupakan sebuah mozek budaya, iaitu himpunan pelbagai subbudaya setempat, pribumi dan etnik.[193][194] Sering ditegaskan bahawa dasar-dasar Kerajaan Kanada seperti penjagaan kesihatan biayaan awam, pencukaian yang agak tinggi untuk mengagihkan kekayaan, mengharamkan hukuman mati, usaha teguh untuk menghapuskan kemiskinan, penekanan kepada kepelbagaian budaya, mengawal ketat penggunaan senjata api, kelonggaran berkenaan penggunaan dadah dan baru-baru ini, membenarkan perkahwinan sama jantina merupakan petunjuk-petunjuk sosial betapa berbezanya evolusi politik dan budaya Kanada dengan Amerika Syarikat.[195]

Arca Bill Reid, Raven and The First Men, memaparkan sebahagian mitos penciptaan Haida. Raven ialah salah satu unsur yang paling dikenali dalam kebanyakan mitos dalam budaya pribumi.

Sepanjang sejarah, Kanada dipengaruhi oleh kebudayaan dan adat British,Perancis, dan pribumi. Many North American Perkataan, ciptaan dan permainan pribumi telah diterapkan dalam perbahasaan dan kegiatan seharian di Kanada. Melalui kebudayaan, bahasa, seni dan mzuik mereka, kaum pribumi masih berpengaruh besar ke atas jati diri Kanada.[196][197]

Ramai orang Kanada menghargai kepelbagaian budaya dan memandang negara mereka sebagai sebuah negara berbilang budaya sejak mula lagi.[69] Walaupun demikian, kebudayaan negara ini kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Amerika Syarikat kerana kedekatannya dengan negara itu serta kadar penghijrahan yang tinggi antara kedua-dua negara. Majoriti besat penghijrah berbahasa Inggeris ke Kanada dari tahun 1755 hingga 1815 orang Amerika daripada Tiga Belas Jajahan; sewaktu dan sejurus selepas Perang Revolusi Amerika, 46,000 orang Amerika yang setia kepada kerajaan British berhijrah ke Kanada untuk menyertai 20,000 lagi penetap berbahasa Inggeris yang kebanyakannya telah berhijrah sebelum Perang Kemerdekaan.[198]Dari tahun 1785 hingga 1812, ribuan lagi orang Amerika berhijrah ke Kanada demi tanah yang dijanjikan. Pada tahun 1812, kebanyakan besar orang Kanada berbahasa Inggeris merupakan penghijrah dari bekas tiga belas jajahan ataupun pewaris mereka.[199]

Walaupun media dan hiburan Amerika Syarikat mendapat sambutan hebat di Kanada, namun Kanada tidak kurang keluaran budaya dan bakat hiburan yang berjaya di seluruh dunia.[200] Kebanyakan keluaran budaya ini dipasarkan kepada pasaran "Amerika Utara" bersatu atau seluruh dunia. Penciptaan dan pemeliharaan ketersendirian budaya Kanada disokong oleh rancangan kerajaan pusat, undang-undang, dan institusi-institusi seperti Perbadanan Penyiaran Kanada (Canadian Broadcasting Corporation, CBC), the Lembaga Filem Negara Kanada (National Film Board of Canada), dan Suruhanjaya Radio-televisyen dan Telekomunikasi Kanada.[201]

The Jack Pine oleh Tom Thomson, 1916; lukisan minyak atas kanvas dalam himpunan Galeri Kebangsaan Kanada

Seni tampak Kanada dikuasai oleh Tom Thomson, pelukis paling masyhur di Kanada, dan Kumpulan Tujuh (Group of Seven). Kerjaya singkat Thomson dalam pelukisan lanskap Kanada hanya bertahan selama kira-kira 10 tahun sehingga beliau meninggal pada tahun 1917 pada usia 39 tahun.[202]Kumpulan Tujuh ialah sekumpulan pelukis yang berfokus nasionalisme dan idealisme. Mereka julung kali mempamerkan karya-karya mereka pada Mei 1920. Walaupun dikatakan tujuh orang, namun hanya lima pelukis — Lawren Harris, A. Y. Jackson, Arthur Lismer, J. E. H. MacDonald, dan Frederick Varley — yang bertanggungjawab menerangkan buah fikiran Kumpulan ini. Mereka disertai oleh Frank Johnston untuk masa yang singkat, dan juga artis komersil Franklin Carmichael. A. J. Casson menyertai Kumpulan ini pada tahun 1926.[203] Kumpulan Tujuh ini bersekutu dengan seorang pelukis Kanada masyhur, Emily Carr yang terkenal kerana lukisan landskap dan potret kaum pribum Pantai Barat Laut Pasifik.[204]

Industri muzik Kanada telah memajukan prasarana muzik yang merangkumi dewan gereja, dewan kamar, konservatori, akademi, pusat seni persembahan, syarikat rakaman, stesen radio, dan saluran video muzik televisyen.[205] Industri muzik Kanada telah melahirkan ramai penggubah, pemuzik dan kumpulan muzik yang terkenal di peringkat antarabangsa.[206]Penyiaran muzik Kanada dipantau oleh Suruhanjaya Radio-televisyen dan Telekomunikasi Kanada (Canadian Radio-television and Telecommunications Commission, CRTC). Akademi Seni dan Sains Rakaman Kanada(Canadian Academy of Recording Arts and Sciences) mentadbir anugerah industri muzik Kanada, iaitu Anugerah Juno sejak tahun 1970.[207] Lagu kebangsaan Kanada, O Canada yang diterima pakai pada tahun 1980, pada asalnya ditempah oleh Leftenan Gabenor Quebec,Théodore Robitaille, sempena Hari St. Jean-Baptiste pada tahun 1880.[208] Calixa Lavallée menggubah muziknya sebagai latar puisi patriotik oleh penyair dan hakim, Sir Adolphe-Basile Routhier. Seni katanya ditulis dalam bahasa Perancis, sebelum diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada tahun 1906.[209]

Suasana Sukan Olimpik Musim Sejuk 2010 di Vancouver sebaik sahaja pasukan Kanada menggondol pingat emas dalam acara hoki ais lelaki.

Sukan kebangsaan rasmi Kanada ialah hoki ais pada musim sejuk dan lacrosse pada musim panas.[210]Hoki ais merupakan kegiatan masa lapang kebangsaan dan sukan yang paling ramai penonton di negara ini. Ia juga sukan yang paling ramai pemainnya di kalangan warga Kanada, dengan 1.65 juta orang peserta pada tahun 2004.[211] Keenam-enam kota raya terbesar di Kanada—Toronto, Montreal, Vancouver, Ottawa, Calgary, dan Edmonton—memegang francais dalam Liga Hoki Kebangsaan(National Hockey League, NHL), Kanada ialah negara yang paling ramai pemain dalam NHL. Sukan-sukan sukaramai yang lain termasuk curling dan futbol.[211]Golf, besbol, ski, bola sepak, kriket, bola tampar, dan bola keranjang juga digiatkan pada peringkat belia dan amatur, tetapi liga dan francai profesional tidak begitu meluas.[211]

Kanada pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan antarabangsa terkemuka, termasuk Sukan Olimpik Musim Panas di Montreal (1976), Sukan Olimpik Musim Sejuk di Calgary (|1988) dan Vancouver (2010)[212], dan Piala Dunia U-20 FIFA 2007.

Lambang-lambang negara Kanada dipengaruhi oleh punca-punca semulajadi, sejarah dan Pribumi. Penggunaan daun mapel sebagai lambang Kanada berasal dari abad ke-18. Daun mapel tertera pada bendera kebangsaan dahulu dan sekarang, pada duit syiling satu sen, dan Jatanya.[213] Lambang-lambang penting yang lain termasuk beaver, Angsa Kanada, Gavia immer, Kerajaan, Polis Berkuda Kanada Diraja,[213] dan juga tiang totem dan Inukshuk.[214]