Ekonomi Kanada

Rencana utama: Ekonomi Kanada

Kanada ialah salah sebuah negara terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita yang sangat tinggi. Kanada menganggotai Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan kumpulan G8. Ia merupakan salah satu daripada 10 negara pedagang terbesar di dunia.[130] Kanada ialah sebuah pasaran campuran yang berkedudukan lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah Batat dalam indeks kebebasan ekonomi Heritage Foundation.[131] Pengimport terbesar barangan Kanada ialah Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.[132]

Pada abad ke-20, pertumbuhan sektor perkilangan, perlombongan dan perkhidmatan telah mentransformasi negara ini daripada ekonomi kekampungan kepada ekonomi yang lebih berindustri dan kebandaran. Seperti bangsa-bangsa Dunia Pertama yang lain, ekonomi Kanada dikuasai oleh industri perkhidmatan yang mengambil kerja sekitar tiga perempat warga Kanada.[133] Kanada berbeza dengan negara-negara maju yang lain kerana mementingkan sektor primer, terutamanya industri pembalakan dan petroleum.[134]

Kanada ialah salah satu daripada sebilangan kecil negara maju yang merupakan pengeksport bersih tenaga.[135]Kawasan Kanada Atlantik kaya dengan simpanan gas asli luar pesisir, manakala Alberta banyak sumber minyak dan gas. Pasir Minyak Athabasca yang begitu banyak sumber galiannya menjadikan Kanada rizab minyak kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.[136]

Kanada ialah salah sebuah pengeluar terbesar keluaran pertanian; kawasan Prairi Kanada ialah salah sebuah pengeksport terbesar tanaman bijian seperti gandum, kanola, dan lain-lain.[137]Kanada ialah pengeluar terbesar zink dan uranium, dan juga sumber global bagi banyak lagi sumber alam yang lain, seperti emas, nikel, aluminum, dan plumbum.[135] Kebanyakan bandar di Kanada utara yang sukar mengusahakan pertanian, masih mapan kerana adanya lombong atau sumber kayu balak yang berdekatan. Kanada juga ada sektor perkilangan yang cukup besar dan terpusat di Ontario selatan dan Quebec, diterajui oleh sektor automotif dan aeronautik.[138]


Wakil-wakil kerajaan Kanada, Mexico, dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara pada tahun 1992

Persepaduan ekonomi dengan Amerika Syarikat makin meningkat sejak Perang Dunia Kedua. Ini telah menarik perhatian golongan nasionalis Kanada yang bimbang akan autonomi kebudayaan dan ekonomi negara mereka pada zaman globalisasi, kerana barangan dan keluaran media Amerika Syarikat sudah terdapat di merata tempat.[139] Perjanjian Perdagangan Keluaran Automotif 1965 membuka sempadan kepada perdagangan dalam industri perkilangan kenderaan. Pada 1970-an, kebimbangan atas mampu diri tenaga serta milikan asing dalam sektor perkilangan mendorong kerajaan Liberal pimpinan Perdana Menteri Pierre Trudeau untuk menggubal Program Tenaga Negara (National Energy Program, NEP) dan Agensi Kajian Semula Pelaburan Asing (Foreign Investment Review Agency, FIRA).[140]

Pada 1980-an, pemerintahan Konservatif Progresif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney memansuhkan NEP serta menukar nama FIRA kepada "Investment Canada" untuk menggalakkan pelaburan asing.[141] Perjanjian Perdagangan Bebas Kanada –Amerika Syarikat pada tahun 1988 menghapuskan tarif antara kedua-dua negara, manakala Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (North American Free Trade Agreement, NAFTA) meluaskan zon perdagangan bebas kepada Mexico pada 1990-an.[137]Di tengah 1990-an, kerajaan Liberal pimpinan Jean Chrétien mula melaporkan lebihan belanjawan tahunan serta melangsaikan hutang negara secara beransur-ansur.[142] Krisis kewangan global pada tahun 2008 mencetuskan kemelesetan yang mampu menaikkan kadar pengangguran negara kepada 10%.[143] Pada tahun 2008, barangan import Kanada bernilai lebih $442.9 bilion, yang mana $280.8 bilion dari AS, $11.7 bilion dari Jepun, dan $11.3 bilion dari UK.[132] Kurangan perdagangan negara pada tahun 2009 berjumlah C$4.8 bilion, berbanding dengan lebihan C$46.9 bilion pada tahun 2008.[144]

Sains dan teknologi

Kanada ialah sebuah negara berindustri dengan sektor sains dan teknologi yang maju. Hampir 1.88% KDNK Kanada diperuntukkan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan.[145] Negara ini ada 18 pemenang hadiah Nobel dalam bidang fizik, kimia dan perubatan.[146] Kanada ialah negara pengguna Internet ke-12 tertinggi di dunia dengan 28.0 juta pengguna atau 84.3% jumlah penduduk.[147]

Canadarm bertindak di Space Shuttle Discovery ketika STS-116

Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan Kanada ialah sebuah agensi di bawah Jabatan Pertahanan Negara yang bertujuan memenuhi keperluan sains dan teknologi Tentera Kanada. Selama ini, DRDC bertanggungjawab atas berbilang inovasi dan ciptaan aplikasi praktik baik untuk kegunaan awam mahupun tenter. Ia juga telah menyumbang kepada pembangunan Jujukan Pengimbas Elektronik Aktif yang tercanggih di dunia dalam usaha antarabangsa yang melibatkan Kanada, Jerman dan Belanda.[148]

Agensi Angkasa Kanada menjalankan penyeldikan angkasa, cakerawala dan penerbangan, serta membangunkan roket dan satelit. Pada tahun 1984, Marc Garneau menjadi angkasawan Kanada pertama yang berkhidmat sebagai pakar muatan STS-41-G. Kanada menduduki tangga ketiga di kalangan 20 negara terunggul dalam sains angkasa.[149] Kanada mengambil bahagian dalam Stesen Angkasa Antarabangsa dan juga menjadi salah satu perintis dunia dalam robotik angkasa dengan Canadarm,Canadarm2 dan Dextre. Sejak 1960-an, Canada Aerospace Industries telah mereka dan membina 10 satelit, termasuk RADARSAT-1, RADARSAT-2 dan MOST.[150] Kanada juga menghasilkan salah sebuah roket perum yang paling berjaya, iaitu Black Brant; lebih 1000 buah telah dilancarkan sejak mula-mula dibina pada tahun 1961.[151]Universiti-universiti di seluruh Kanada sedang mengusahakan kapal angkasa pendarat domestik yang pertama, iaitu Northern Light yang direka untuk mencari kehidupan di Marikh dan menyiasat persekitaran sinaran elektromagnetik dan sifat-sifat atmosfera di Marikh. Jika Northern Light berjaya, Kanada akan menjadi bangsa ketiga yang mendarat di planet lain.[152]