Geografi Kanada

Imej komposit satelit Kanada. Hutan boreal menguasai Perisai Kanada yang berbatu-batan. Ais dan tundra menonjol di kawasan Artik. Glasier kelihatan di Banjaran Rocky Kanada dan Pergunungan Coast. Tanah prairi yang rata dan subur sesuai untuk pertanian. Tasik-Tasik Besar menyuap Sungai Saint Lawrence (di tenggara), di mana tanah pamah menjadi tempat tinggal majoriti penduduk Kanada.

Kanada mengisi sebahagian besar di Amerika Utara, berkongsi sempadan darat dengan tanah besar Amerika Syarikat di selatan dan negeri Alaska, AS di barat laut, menjangkau dari Lautan Atlantik di timur hingga Lautan Pasifik di Barat; di utara pula letaknya Lautan Artik.[81][82] Mengikut jumlah keluasan (termasuk perairan), Kanada ialah negara kedua terbesar di dunia selepas Rusia.[82] Dari segi keluasan tanah, Kanada adalah yang keempat terbesar.[82] Negara ini terletak di antara garis lintang 41° dan 84°U, dan garis bujur 52° dan 141°B.

Sejak tahun 1925, Kanada telah mengambil bahagian Artik di antara garis bujur 60° dan 141°B,[83] tetapi tuntutan ini tidak diiktiraf secara sejagat. Petempatan yang paling utara di Kanada (dan seluruh dunia) ialah Canadian Forces Station Alert di hujung utara Pulau Ellesmere—latitud 82.5°U—817 kilometer (450 batu nautika, 508 batu) dari Kutub Utara.[84] Sebahagian besar kawasan Artik Kanada dilitupi oleh ais dan permafros. Kanada mempunyai garis pinggir pantai yang terpanjang di dunia: 202,080 kilometer (125,570 batu).[82]

Air Terjun Horseshoe di bandar Niagara Falls, Ontario, ialah salah satu air terjun yang paling berisi di dunia,[85] terkenal kerana keindahannya serta sebagai sumber utama kuasa hidroelektrik.

Kepadatan pendudk Kanada pada 3.3 inhabitants per kilometer persegi (8.5/sq mi) adalah antara yang terendah di dunia. Kawasan yang paling padat dengan penduduk di negara ini ialah Koridor Bandar Raya Quebec – Windsor(terletak di Quebec Selatan dan Ontario Selatan) sepanjang Tasik-Tasik Besar dan Sungai Saint Lawrence di tenggara.[86]

Kanada mempunyai garis pinggir pantai yang panjang sekali di utara, timur dan baratnya; sejak zaman glasier terakhir, ia terdiri daripada lapan kawasan hutan yang berbeza, termasuk hutan boreal yang luas di Perisai Kanada.[87] Keluasan dan kepelbagaian geografi, ekologi, vegetasi dan bentuk bumi Kanada turut menimbulkan kepelbagaian iklim di seluruh negara.[88] Disebabkan keluasannya, Kanada lebih banyak tasiknya daripada mana-mana negara lain, serta mengandungi sebahagian besar air tawar sedunia.[89]Juga terdapat glasier air tawar di Banjaran Rocky Kanada dan Pergunungan Coast.

Kanada juga aktif secara geologi dengan banyak mengalami gempa bumi dan gunung berapi yang mungkin aktif, khususnya Gunung Meager, Gunung Garibaldi, Gunung Cayley, dan kompleks gunung berapi Gunung Edziza.[90] Letusan gunung berapi Tseax Cone pada tahun 1775 menyebabkan malapetaka besar yang membunuh 2,000 orang Nisga'a dan memusnahkan kampung mereka di lembah Sungai Nass di British Columbia utara; letusan ini menghasilkan aliran lahar sepanjang22.5-kilometer (14.0 mi), dan mengikut legenda kaum Nisga'a, ia menyumbat aliran Sungai Nass.[91]

Musim sejuk di Kanada adalah agak melampau dingin terutamanya di pedalaman dan provinsi-provinsi Prairie yang mengalami iklim kebenuaan, di mana purata suhu harian menghampiri −15 °C(5 °F) tetapi boleh menjunam di bawah −40 °C (−40 °F) dengan sejukan angin yang hebat.[92] Di kawasan bukan tepi pantai, salji boleh melitupi tanah selama hampir enam tahun sebulan (lama berbanding di utara). Kawasan pantai British Columbia mengalami iklim sederhana yang musim panasnya sederhana dan berhujan. Di pantai timur dan barat, purata suhu tinggi biasanya berada pada 20-an °C rendah (70-an °F), manakala di kawasan di antara pantai-pantai tersebut, purata suhu musim panasnya pula sekitar 25 hingga 30 °C (77 hingga 86 °F), adakalanya dengan bahang melampau yang melebihi 40 °C (104 °F) di pedalaman.[93]