Sejarah Kanada

Rencana utama: Sejarah Kanada

Orang asli

Kajian-kajian arkeologi dan genetik Pribumi menyokong kehadiran manusia di Yukon utara pada 26,500 tahun dahulu, dan di Ontario selatan pada 9,500 tahun dahulu.[16][17][18] Old Crow Flats dan Bluefish Caves merupakan dua contoh tapak-tapak arkeologi tertua bagi petempatan manusia (Paleo-Indian) di Kanada.[19][20][21] Di kalangan orang asli yang dikenali sebagai Bangsa-Bangsa Pertama, terdapat lapan cerita unik mengenai penciptaan bumi dan adaptasi-adaptasinya.[22] Antara ciri-ciri masyarakat Pribumi Kanada ialah petempatan tetap,[23] pertanian,[24] seni bina awam dan istiadat,[25] kompleks hierarki masyarakat dan rangkaian perdagangan.[26] Sebahagian daripada budaya ini telah lama pudar semasa ketibaan pertama Eropah (kk. lewat abad ke-15-awal abad ke-16), dan telah ditemui melalui kajian arkeologi.

Penduduk orang asli dianggarkan antara 200,000 orang[27] dan dua juta orang pada abad ke-15,[28]dengan angka 500,000 kini diterima oleh Suruhanjaya Diraja Kesihatan Pribumi Kanada.[29]Kejadian berulang-ulang wabak berjangkit bawaan pendatang Eropah seperti demam selesema,campak, dan cacar (yang tidak dapat lali oleh mereka), di samping kesan-kesan lain daripada hubungan dengan orang Eropah, menyebabkan jumlah penduduk asli merosot 40–80% selepas hubungan itu.[27] Orang asli di Kanada terdiri daripada, antara lain, Bangsa-Bangsa Pertama,[30] Inuit,[31] dan Métis.[32] Kebudayaan kacukan Métis berasal pada pertengahan abad ke-17 apabila golongan Bangsa Pertama dan Inuit mengahwini pendatang Eropah.[33] Inuit agak kurang berhubung dengan pendatang Eropah sewaktu zaman penjajahan.[34]

Penjajahan Eropah

Rencana–rencana utama: Perancis Baru dan Kanada British
The Death of General Wolfe (1771) oleh Benjamin West mendramakan kematian James Wolfe dalam Pertempuran Dataran Abraham di Quebec pada tahun 1759; pertempuran ini berlaku dalam Perang Tujuh Tahun.

Orang Eropah mula-mula sekali tiba apabila pelaut Norse menetap di L'Anse aux Meadows, Newfoundland selama masa yang singkat sekitar tahun 1000.[35][36] Selepas itu, orang Eropah tidak datang lagi hingga tahun 1497, apabila seorang pelaut Itali bernama Giovanni Caboto (John Cabot) menerokai pantai Atlantik Kanada demi England.[37] Pada tahun 1498 hingga 1521, pelaut Basque dan Portugis menubuhkan kota kara pemburuan ikan paus dan perikanan bermusim sepanjang pantai Atlantik.[38][39] Pada tahun 1534, Jacques Cartier menjelajahi Sungai Saint Lawrence untuk Perancis.[40] Penjelajah Perancis,Samuel de Champlain tiba pada tahun 1603 lalu menubuhkan petempatan Eropah tetap yang pertama di Port Royal pada tahun 1605 dan Bandar Raya Quebec pada tahun 1608.[40] Antara golongan penjajah Perancis di Perancis Baru,Canadiens mendominasi sekitar Sungai Saint Lawrence manakalaAcadiens pula berdiam di kawasan Maritimes, manakala pedagang bulu Perancis dan mubaligh Katolik menjelajahi Tasik-Tasik Besar, Teluk Hudson, dan legeh Mississippi hingga Louisiana.Perang Beaver tercetus atas perebutan menguasai perdagangan bulu Amerika Utara.[40]

Orang Inggeris mendirikan kota kara perikanan di Pulau Newfoundland sekitar tahun 1610 serta menubuhkan the Tiga Belas Jajahan di selatan.[41] Empat Perang Antara Jajahan berturut-turut tercetus dari tahun 1689 hingga 1763.[40]Kawasan tanah besar Nova Scotia mulai diperintah oleh British ekoran Perjanjian Utrecht (1713);Perjanjian Paris (1763) menyerahkan Kanada dan kebanyakan kawasan Perancis Baru kepada Britain selepas Perang Tujuh Tahun.[42]

Pengisytiharan Diraja (1763) merampas Wilayah Quebec daripada Perancis Baru serta mengilhakkan Pulau Cape Breton kepada Nova Scotia.[15] Pulau St. John (kini Pulau Prince Edward) menjadi jajahan yang berasingan pada tahun 1769.[43]Untuk mengelakkan konflik di Quebec, British meluluskan Akta Quebec pada tahun 1774 untuk meluaskan wilayah Quebec hingga Tasik-Tasik Besar dan Lembah Ohio, tetapi mengekalkan bahasa Perancis, kepercayaan Katolik, dan undang-undang sivil Perancis di situ. Ini telah memarahkan ramai penduduk Tiga Belas Jajahan dan membantu mencetuskan Revolusi Amerika.[15]

Perjanjian Paris (1783) mengiktiraf kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan wilayah-wilayah di selatan Tasik-Tasik Besar kepada Amerika Syarikat. Seramai 50,000 orang Setiawan Empayar Bersatu meninggalkan Amerika Syarikat untuk berlari ke Kanada.[44] New Brunswick dipisahkan dari Nova Scotia dalam penyusunan semula petempatan Setiawan di kawasan Maritimes. Untuk menampung puak Setiawan yang berbahasa Inggeris di Quebec, Akta Perlembagaan 1791 membahagikan wilayah itu kepada Lower Canada yang berbahasa Perancis (kemudian provinsi Quebec) dan Upper Canada yang berbahasa Inggeris (kemudian Ontario), lalu memberi setiap wilayah itu sebuah Dewan Undangan.[45]

“Fathers of Confederation” (Bapa-Bapa Gabungan) oleh Robert Harris, penyatuan persidangan Charlottetown dan Quebec (Ini ialah gambar foto yang diambil pada tahun 1885 untuk lukisan 1884 yang kini musnah)

Kanada (Atas dan Bawah) merupakan barisan hadapan utama dalam Perang 1812 antara Amerika Syarikat dan Empayar British. Selepas perang tamat, penghijrahan besar-besaran ke Kanada dari Britain dan Ireland bermula pada tahun 1815.[28] Dari tahun 1825 hingga 1846, 626,628 orang pendatang Eropah mendarat di pelabuhan-pelabuhan Kanada.[46] Sekitar satu perempat hingga satu pertiga orang Eropah yang berhijrah ke Kanada sebelum tahun 1891 mati akibat penyakit berjangkit.[27] Industri pembalakan mengatasi perdagangan bulu dari segi kepentingan ekonomi pada awal abad ke-19.

Hasrat untuk membentuk kerajaan bertanggungjawab menyebabkan terhentinya Pemberontakan 1837. Selepas itu, Laporan Durham mengusulkan kerajaan bertanggungjawab serta asimilasi Kanada Perancis ke dalam kebudayaan British.[15]Akta Kesatuan 1840 menggabungkan kedua-dua Kanada itu menjadi sebuah Wilayah Kanada yang bersatu. Kerajaan bertanggungjawab juga ditubuhkan untuk semua wilayah Amerika Utara British sehingga tahun 1849.[47] Penandatangan Perjanjian Oregon oleh Britain dan Amerika Syarikat pada tahun 1846 menamatkan pertikaian sempadan Oregon, meluaskan sempadan ke arah barat sepanjang garis lintang 49 darjah Utara. Ini membuka laluan kepada penubuhan jajahan-jajahan British di Jajahan Pulau Vancouver (1849) dan British Columbia (1858).[48]Kanada melancarkan ekspedisi jelajah untuk menuntut Rupert's Land dan kawasan Artik.

Pergabungan dan peluasan

Peta animasi yang mempamerkan perkembangan dan perubahan daerah-daerah dan wilayah-wilayah Kanada sejak Pergabungan.

Berikutan beberapa persidangan perlembagaan, Akta Perlembagaan 1867 secara rasmi mengisytiharkan Gabungan Kanada, mewujudkan "sebuah kekuasaan di bawah nama Kanada" pada 1 Julai 1867, dengan empat wilayah: Ontario, Quebec, Nova Scotia, dan New Brunswick.[49][50][51] Kanada mengambil alih Rupert's Land dan Wilayah Barat Laut untuk membentuk sebuah Wilayah Barat Laut baru, tetapi ini memarahkan kaum Métis sehingga mencetuskan Pemberontakan Red River disusuli oleh pembentukan provinsi Manitoba pada Julai 1870.[52] British Columbia dan Pulau Vancouver (yang disatukan pada tahun 1866) serta jajahan Pulau Prince Edward masing-masing menyertai Gabungan pada tahun 1871 dan 1873.[53] Pemerintahan Konservatifpimpinan John A. Macdonald menentukan dasar tarif negara untuk melindungi perindustrian perkilangan Kanada yang baru mula tumbuh.[54]

Untuk membuka rantau Barat, kerajaan menaja pembinaan tiga landasan keretapi antara benua (termasuk Canadian Pacific Railway), membuka tanah prairi kepada petempatan dengan Akta Tanah Dominion, serta menubuhkan Polis Berkuda Barat Laut untuk menegaskan kekuasaannya terhadap wilayah ini.[55][56] Pada tahun 1898, selepas Kerubut Emas Klondike di Wilayah Barat Laut, kerajaan Kanada membentuk Wilayah Yukon. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Liberal, Wilfrid Laurier, pendatang dari tanah besar Eropah menduduki prairi, dan Alberta dan Saskatchewan menjadi provinsi pada tahun 1905.[53]

Awal abad ke-20

Askar Kanada dalam Pertempuran Rabung Vimy pada tahun 1917

Memandangkan Britain masih mengawal hal ehwal luar negara Kanada di bawah Akta Pergabungan, pengisytiharan perangnya pada tahun 1914 secara langsung mengheret Kanada ke dalam Perang Dunia Pertama.[57]Para sukarelawan yang dihantar ke Barisan Barat kemudiannya menyertai Kor Kanada.[57] Kor ini memainkan peranan besar dalam Pertempuran Rabung Vimy dan banyak lagi pertempuran besar dalam peperangan.[57] Daripada seramai 625,000 orang yang berkhidmat, kira-kira 60,000 orang terkorban sementara 173,000 lagi cedera.[58] Krisis Pengerahan 1917 tercetus apabila Perdana Menteri konservatif, Robert Borden memperkenalkan khidmat tentera wajib walaupun dibantah oleh penduduk Quebec yang berbahasa Perancis.[57] In 1919, Kanada menyertai Liga Bangsa-Bangsa secara berasingan dari Britain,[57] kemudian pada tahun 1931, Statut Westminster merestui kemerdekaan Kanada.[59]

Zaman Kemelesetan mendatangkan keperitan ekonomi ke seluruh Kanada. Untuk itu Persekutuan Komanwel Kerjasama (Co-operative Commonwealth Federation, CCF) di Alberta dan Saskatchewan menggubal pelbagai langkah negara kebajikan (yang dipelopori oleh Tommy Douglas) sehingga 1940-an dan 1950-an.[60] Dalam Perang Dunia Kedua, Kanada sendiri mengisytiharkan perang ke atas Jerman di bawah kepimpinan Perdana Menteri Liberal William Lyon Mackenzie King, tiga hari selepas Britain. Unit-unit Tentera Kanada yang terawal tiba di Britain pada Disember 1939.[57]

Askar Kanada memainkan peranan penting dalam Serbuan Dieppe di Perancis (1942), pencerobohan Bersekutu Itali, pendaratan di Normandy, Pertempuran Normandy, dan Pertempuran Scheldt pada tahun 1944.[57] Kanada menyediakan perlindungan dan perteduhan untuk kerabat diraja Belanda apabila negara itu diduduki, oleh itu Kanada dihargai oleh Belanda atas kepimpinan dan sumbangan besar kepada pembebasannya dari cengkaman Jerman Nazi.[61]Ekonomi Kanada berkembang pesat kerana industri yang mengeluarkan kelengkapan tentera untuk Kanada, Britain, China, dan Kesatuan Soviet.[57] Walaupun berdepan dengan satu lagi Krisis Pengerahan di Quebec, Kanada menamatkan perangnya dengan salah sebuah bala tentera terbesar di dunia dan ekonomi kedua terkaya.[62][63]

Zaman moden

Di Dewan Rideau, Gabenor-Jeneral Viscount Alexander dari Tunis (tengah) menerima rang undang-undang yang memuktamadkan penyatuan Newfoundland dan Kanada untuk ditandatanganinya, 31 Mac 1949

Newfoundland (kini Newfoundland and Labrador) menyertai Kanada pada tahun 1949.[64]Pertumbuhan ekonomi Kanada pasca-perang di samping dasar-dasar kerajaan Liberal berturut-turut, melahirkan satu identiti Kanada baru yang dilambangkan oleh penerimaan Bendera Daun Mapel pada tahun 1965,[65] pelaksanaan dasar kedwibahasaan rasmi (Inggeris dan Perancis) pada tahun 1969,[66]dan kepelbagaian budaya rasmi pada tahun 1971.[67]Begitu juga dengan penubuhan rancangan-rancangan demokrasi sosial seperti penjagaan kesihatan sejagat, Pelan Pencen Kanada, dan Pinjaman Siswa Kanada, walaupun sesetengah kerajaan provinsi, terutamanya Quebec dan Alberta, membangkang dasar-dasar ini sebagai serangan mendadak ke atas bidang kuasa mereka.[68] Akhir sekali, persidangan perlembagaan yang diadakan berturut-turut membawa kepada “penyetempatan” perlembagaan Kanada dari United Kingdom pada tahun 1982, seiringan dengan pembentukan Piagam Hak dan Kebebasan.[69] Pada tahun 1999, Nunavut menjadi wilayah ketiga Kanada setelah lama berunding dengan kerajaan persekutuan.[70]

Sementara itu, Quebec mengalami perubahan sosial dan ekonomi mendalam melalui Revolusi Senyap pada 1960-an yang melahirkan gerakan nasionalis moden. Parti radikal Front de libération du Québec (FLQ) mencetuskan Krisis Oktober pada tahun 1970.[71]Parti penyokong kedaulatan Parti Québécois dilantik untuk membentuk kerajaan pada tahun 1976, lalu mengadakan pungutan suara tentang persekutuan kedaulatan yang tidak memihak kepada hasratnya pada tahun 1980.[71]Cubaan untuk menampung gelombang nasionalis Quebec secara perlembagaan melalui Persetiaan Meech Lakepada tahun 1990 juga tidak berjaya. Ini menyebabkan pembentukan Bloc Québécois di Quebec serta pencergasan Parti Pembaharuan Kanada di Kanada Barat.[72][73] Satu lagi pungutan suara diadakan pada tahun 1995, yang mana kedaulatan ditolak dengan majoriti tipis 50.6% kepada 49.4%.[74]Pada tahun 1997, Mahkamah Agung memutuskan bahawa pemisahan unilateral oleh sebuah provinsi tidak mematuhi perlembagaan, dan Akta Kejelasan diluluskan oleh parlimen untuk menggariskan syarat-syarat perpisahan terunding daripada Pergabungan.[74]

Selain permasalahan kedaulatan Quebec, masyarakat Kanada dikejutkan oleh beberapa krisis pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Antaranya ialah letupan Penerbangan Air India 182 pada tahun 1985, pembunuhan beramai-ramai yang paling dahsyat dalam sejarah Kanada;[75] pembunuhan beramai-ramai École Polytechnique pada tahun 1989, iaitu peristiwa tembak-menembak yang menyasarkan golongan siswi;[76] dan Krisis Okapada tahun 1990,[77] konfrontasi ganas yang terawal antara kerajaan dan puak Pribumi.[78]Kanada juga mengambil bahagian dalam angkatan campuran pimpinan AS dalam Perang Teluk pada tahun 1990, serta menggiatkan diri dalam misi-misi pengamanan pada akhir 1990-an.[79] Kanada menghantar askar ke Afghanistan pada tahun 2001, tetapi tidak menghantar tentera ke Iraq apabila AS menyerang pada tahun 2003.[80]