Sejarah Kangar

Bahagian ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. Sila bantu dalam memperbaiki Bahagian ini dengan menambahkan rujukan ke sumber-sumber yang boleh dipercayai. Bahan yang tidak disahkan mungkin akan dipertikai dan dipadam. (Ketahui bagaimana dan bila untuk membuang pesanan templat ini)

Kangar merupakan pusat pentadbiran negeri Perlis dan berperanan sebagai pusat perdagangan utama. Kangar terletak di dalam 5 mukim iaitu Sena, Kechor, Wang Bintong, Seriab dan Utan Aji. Kangar merupakan kawasan yang paling padat dengan pembangunan di Perlis.

Kangar dibuka oleh Tok Peduka. Kewujudan Bandar Kangar semenjak 350 tahun dahulu iaitu dalam tahun 1653 adalah apabila Kota Sena yang dibina sebagai pusat pemerintahan pada awalnya diduduki oleh Sultan Kedah ke-14 iaitu Sultan Muhyiddin Mansor Shah. Kangar suatu ketika dahulu merupakan sebuah pelabuhan darat (Pangkalan) di mana perahu dan tongkang berlabuh. Hal ini adalah kerana terdapat sebatang sungai yang mengalir melalui Bandar Kangar terus ke Kuala Perlis iaitu Sungai Perlis.

Bertempat di pangkalan inilah para pedagang berjual-beli di bawah sebatang pohon tinggi yang merendang di kawasan itu. Pohon yang menjadi teduhan dan saksi kepada urus niaga inilah yang bernama “Pohon Kangar”. Setiap pedagang atau saudagar yang berulang-alik ke tempat tersebut menggelarkan kawasan tersebut sebagai “Pelabuhan Pohon Kangar” bersempena nama pokok tersebut.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa andaian lain yang mengatakan bahawa asal-usul nama Bandar Kangar ini diambil daripada bunyi sejenis burung iaitu burung helang “kangor”. Pada masa awal kewujudan Bandar Kangar, terdapat banyak burung helang kangor berterbangan di kawasan ini.

Namun begitu, menjelang abad ke-20 fungsi “Pelabuhan Pohon Kangar” ini kian berkurangan bilamana corak pengangkutan dan lalu-lintas kian berubah. Pengangkutan air telah berubah kepada pengangkutan darat yang mana banyak jalan raya mula dibina. Pengangkutan utama yang dahulunya merupakan perahu dan tongkang telah bertukar kepada kereta dan lori.

Seterusnya pula, “Pelabuhan Pohon Kangar” ini berubah kepada pusat perniagaan dan pentadbiran di negeri Perlis. Kini, nama pangkalan telah luput daripada sebutan penduduk dan yang tinggal hanyalah nama Kangar atau Pekan Kangar sahaja.

Peta Bandar Kangar