Pemburu kepala Kaum Dusun

Rumah Tengkorak Monsopiad

Amalan memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun.[16] Pemenggal kepala ini digelar sebagai pengait atau tonggorib.[17] Kepala musuh yang dipenggal akan dibawa pulang bukan sahaja sebagai trofi kemenangan, tetapi juga sebagai objek pemujaan roh dan amalan perubatan. Pemenggalan kepala tidak dilakukan untuk tujuan perang semata-mata, tetapi juga untuk memenuhi tuntutan persepsi masyarakat pada zaman itu, dan juga memenuhi syarat ritual-ritual kuno.[18] Masyarakat kuno Kadazandusun meletakkan keperkasaan seorang lelaki pada kekuatan fizikal dan keberaniannya untuk berperang dan memenggal kepala musuh. Etnik yang terkenal dengan amalan memenggal kepala di Sabah ialah Kadazandusun, Rungus dan Murut. Pantang utama amalan memenggal kepala ialah, musuh wajib dalam keadaan masih hidup saat kepalanya dipenggal. Ini kerana kepala yang dipenggal daripada orang yang telah meninggal tidak bermakna untuk disimpan.

Terdapat lima faktor utama yang membetuk objektif pemenggalan kepala dilakukan.

  • Bagi situasi perang besar
    • Kepala pihak musuh dipenggal untuk tujuan membuktikan kekuatan pahlawan dan puak
    • Pengumpulan kepala pihak lawan sebanyak yang mungkin (lebih banyak kepala bermaksud telah banyak musuh yang telah berjaya dikalahkan)
    • Kepala akan disimpan di dalam rumah tengkorak(bangkawan) milik puak yang menang.[19][20]
  • Bagi situasi perang kecil atau perang keluarga
    • Kepala pihak musuh dan keluarga dipenggal dengan tujuan menghapuskan keluarga musuh secara total
    • Kepala musuh akan disimpan di rumah keluarga yang menang[20]
  • Bagi tujuan memperkasakan kelelakian
    • Seorang lelaki wajib memenggal kepala untuk menjadi lelaki perkasa kalau tidak mahu dianggap sebagai pengecut
    • Lelaki yang tidak berani/pernah memenggal kepala musuh tidak layak memiliki pasangan hidup kerana dikhuatiri tidak akan dapat melindungi isteri dan keluarganya[20]
  • Bagi tujuan menjadi ketua kampung
    • Lelaki wajib memperoleh sekurang-kurangnya 10 kepala musuh bagi memperoleh kehormatan daripada puaknya
    • 10 kepala ini juga penting bagi meyakinkan puaknya bahawa dia layak mengetuai perang[20]
  • Bagi tujuan memperkasakan kegagahan seorang pahlawan
    • Masyarakat dahulu percaya bahawa kekuatan dan semangat musuh akan diperoleh oleh pahlawan yang memenggal kepalanya[20]

Kepala-kepala yang dipenggal akan disimpan dan dijaga rapi dengan menggunakan amalan dan ritual kuno. Masyarakat dahulu percaya bahawa roh dan semangat seseorang individu terletak pada kepalanya yang disebut sebagai "tandahau". Oleh itu, kepala-kepala ini tidak hanya disimpan sebagai trofi kemenangan semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai objek dalam ritual keagamaan dan juga perubatan.[17]

Antara kegunaan kepala-kepala ini ialah sebagai penjaga rumah. Masyarakat Kadazandusun kuno percaya bahawa sebuah rumah harus mempunyai penjaganya. Maka, mereka akan menggunakan semangat 'tandahau' daripada kepala ini bagi tujuan melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan binatang buas. Kegunaan kepala-kepala ini juga penting untuk diletakkan di bawah jambatan yang baru dibina. Masyarakat kuno Kadazandusun percaya bahawa setiap sungai ada semangat air yang juga disebut sebagai "tambaig". Kepala-kepala ini akan diletak atau digantung pada jambatan sebagai persembahan damai buat tambaig supaya jambatan yang dibina tidak dirobohkan oleh tambaig. Kepala-kepala ini juga digunakan oleh bobohizan atau bobolian sebagai tujuan perubatan, dan pemujaan roh nenek moyang.[17][18]

Senjata yang lazim digunakan pahlawan kuno masyarakat Kadazandusun untuk memburu kepala adalah Ilang sakuit/mandau, gayang dan juga tandus/adus. Peralatan lain yang wajib ada ketika memburu kepala adalah taming kayu yang digunakan sebagai perisai.[20][17]

Rujukan

WikiPedia: Kaum Dusun http://shilahadiman.blogspot.com/2012/03/berbezaka... http://www.dailyexpress.com.my/read/2159/a-history... http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/muzik.htm http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/pakaian.htm http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/tarian.htm http://studentsrepo.um.edu.my/4576/1/%5BHard_Bound... http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/2027/1/Genetic_... http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kadazan&d=243... http://kdca.org.my/ http://www.unesco.org/archives/multimedia/document...