Kelompok_etnik
Kelompok_etnik

Kelompok_etnik

Kelompok etnik (Tulisan Jawi: كلومڤوك ايتنيك) ialah kelompok manusia yang anggotanya mengaitkan diri melalui sesuatu warisan sepunya, baik warisan yang benar mahupun yang dianggap.[1][2] Identiti etnik dipupuk dengan membezakan kelompok diri daripada kelompok yang lain menerusi sifat-sifat seperti budaya, bahasa, agama, dan tingkah laku.[3] Proses yang melahirkan pengenalpastian sebegini dikenali sebagai etnogenesis.Keetnikan ialah satu cara yang penting bagi manusia mengaitkan diri. Menurut sidang "Cabaran Mengukur Sebuah Dunia Etnik: Sains, Politik, dan Kenyataan" [4] yang dianjurkan bersama-sama oleh Statistik Kanada dan Biro Banci Amerika Syarikat (1-3 April 1992), "Keetnikan ialah faktor asas dalam kehidupan manusia: ia merupakan fenomena yang sebati dalam pengalaman manusia".[5]Bagaimanapun, banyak ahli sains sosial seperti ahli antropologi Fredrik Barth dan Eric Wolf tidak menganggap identiti etnik sebagai sejagat. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa keetnikan merupakan satu hasil daripada jenis interaksi antara kelompok yang tertentu, bukan satu sifat sebati yang asas dalam kelompok manusia.[6] Pada keseluruhannya, anggota sesebuah kelompok etnik mendakwa kesinambungan budaya melalui masa. Sungguhpun demikian, ahli sejarah dan ahli antropologi budaya telah memerhati bahawa seringnya, banyak daripada nilai, amalan, dan norma yang dikatakan membayangkan kesinambungan dengan zaman lampau sebenarnya merupakan suatu rekaan yang agak baru.[7][8]