Masyarakat Kemboja

Demografi

Rencana utama: Demografi Kemboja

Setakat tahun 2013, Kemboja didiami kira-kira 15,205,539 orang. Kadar kelahiran Kemboja ialah 25.4 per 1,000 orang. Kadar pertumbuhan populasinya 1.7%.[25]

50% penduduk Kemboja lebih muda daripada 22 tahun. Pada nisbah 1.04 perempuan per lelaki, Kemboja mempunyai nisbah jantina yang paling cenderung perempuan di Kawasan Mekong Raya.[26] Di kalangan penduduk Kemboja yang melebihi 65 tahun, nisbah perempuan per lelaki ialah 1.6:1.[1]

Kadar jumlah kesuburan Kemboja ialah 3.0 anak per perempuan pada 2010.[27] Kadar kesuburannya ialah 4.0 anak pada 2000.[27] Kawasan bandar mencatatkan 2.2 anak seperempuan secara puratanya, berbanding 3.3 anak seperempuan di kawasan luar bandar.[27] Kesuburan paling tinggi di wilayah Mondol Kiri dan Rattanak Kiri, di mana terdapat purata 4.5 anak sepermpuan, dan paling rendah di Phnom Penh pada kadar 2.0 anak seperempuan.[27]

Suku etnik

Peta etnik Kemboja.

90% populasi Kemboja berketurunan Khmer dan bertutur dalam bahasa Khmer, iaitu bahasa rasmi negara. Penduduk Kemboja agak homogen ("sama ragam"). Antara suku minoritinya ialah Vietnam (5%) dan Cina (1%).[1] Suku Khmer majoriti adalah pribumi di kawasan hilir Mekong, tetapi pernah dahulu menetap di sepanjang hilir Sungai Mekong dari pertemuan negara Thailand, Laos dan Kemboja di barat laut hinggalah muara Mekong di tenggara Vietnam.

Orang Vietnam adalah suku minoriti utama di Kemboja dengan kira-kira 400,000 - 700,000 orang menetap di wilayah yang tertumpu di tenggara negara yang bersebelahan Delta Mekong. Walaupun bahasa Vietnam tergolong dalam rumpun bahasa Mon–Khmer, tetapi sedikit sekali hubungan kebudayaan antara suku Khmer dan Vietnam kerana suku Khmer purba dipengaruhi oleh budaya keindiaan sedangkan suku Vietnam menganggotai lingkungan budaya Cina.[28] Pertelingkahan antara suku Khmer dan Vietnam berakar-umbi pada Zaman Kegelapan Kemboja (abad ke-16 hingga ke-19), ketika negara Vietnam dan Thailand yang baru tubuh masing-masing cuba menaungi Kemboja pasca-Angkor yang lemah, dan akhirnya menguasai seluruh Indochina.[28]

Orang Cina di Kemboja adalah kira-kira 1% daripada penduduk Kemboja.[25][29] Kebanyakan suku Cina adalah keturunan migran dari abad ke-19 dan ke-20 yang datang mencari peluang untuk berdagang dan berniaga sewaktu naungan Perancis. Kebanyakannya tinggal di bandar dan khusus berkecimpung dalam perniagaan.

Suku-suku etnik pribumi di kawasan pergunungan secara tuntas dikenali sebagai Montagnards atau Khmer Loeu yang bermaksud "Khmer Hulu". Mereka diturunkan daripada penghijrahan pada zaman Neolitik oleh penutur Mon-Khmer melalui China Selatan dan penutur Austronesia dari Nusantara. Pelbagai suku Khmer Loeu yang terpencil di tanah tinggi ini tidak keindiaan seperti saudara Khmer mereka, dan oleh itu budaya mereka jauh berlainan daripada suku Khmer moden dan juga sesama suku, bahkan menganut pelbagai adat dan kepercayaan pra-India.

Suku Cham adalah keturunan dari kaum Austronesia di Champa, sebuah negara purba di pantai selatan Vietnam dan juga pesaing utama Empayar Khmer. Suku Cham di Cambodia berbilang dekat sejuta orang dan lazimnya tertumpu di perkampungan berasingan di tenggara negara. Hampir semua orang Cham di Kemboja adalah Muslim.

Bahasa

Bahasa Khmer tergolong dalam subfamili Mon–Khmer dalam rumpun bahasa Austroasia. Bahasa Perancis yang dahulunya bahasa rasmi pentadbiran Indochina masih dituturkan oleh golongan tua. Bahasa Perancis juga merupakan bahasa pengantara di sesetengah sekolah dan universiti yang ditaja oleh kerajaan Perancis. Bahasa Perancis Kemboja selaku tinggalan penjajah di negara merupakan loghat yang ditemui di Kemboja dan adakalanya digunakan dalam urusan kerajaan, khususnya kehakiman. Akan tetapi, peningkatan pelancong dari seluruh dunia telah menyebabkan Kemboja beranjak dari bahasa Perancis ke bahasa Inggeris.[30]

Agama

Carta pai golongan agama di Kemboja (2008).

Agama Buddha Theravada adalah agama rasmi Kemboja yang dianut oleh lebih 95% penduduk dengan kira-kira 4,392 biara di seluruh negara.[31] Agama Buddha Kemboja kuat dipengaruhi oleh agama Hindu, Tantri dan animisme tempatan. Konsep-konsep utama dalam agama Buddha Kemboja termasuklah kelahiran semula, dan kegiatan-kegiatan keagamaannya tertumpu kepada mengumpul bonn (Pali punna, pahala), dan menghapuskan kamm (Pali kamma, karma), yang bermaksud kesan buruk yang terhasil daripada tindakan lampau bagi masyarakat Khmer.

Konsep-konsep utama yang berpunca dari animisme termasuklah kesalinghubungan rapat antara semangat dan masyarakat, kemujaraban azimat dan tindakan membawa tuah, dan kemungkinan mengawal kehidupan seseorang dengan berhubung dengan semangat seperti baromey. Agama Hindu pula sedikit sahaja kesannya selain amalan sakti Tantri serta beberapa dewa-dewi Hindu yang diasimilasikan ke dalam kepercayaan semangat (contohnya, semangat neak ta terkemuka yang bernama Yeay Mao adalah jelmaan moden bagi dewi Hindu Kali).

Agama Buddha Mahayana adalah anutan kebanyakan kaum Cina dan Vietnam di Kemboja. Unsur-unsur amalan keagamaan lain seperti penghormatan kepada perwira rakyat dan nenek moyang, Konfusianisme, dan Taoisme bercampur Agama Buddha Cina turut dianuti.

Islam dianuti oleh kira-kira 2% penduduk dan terdapat dalam tiga jenis, iaitu dua yang dianut oleh suku Cham dan satu lagi oleh keturunan Melayu yang mendiami Kemboja sudah turun-temurun. Dikhabarkan bahawa 80% Umat Islam Kemboja adalah dari suku Cham.[32]

Kesihatan

Cambodian medical students watching a surgery operation

Jangka hayat Kemboja adalah 72 tahun pada 2014,[33] iaitu satu peningkatan hebat sejak 1999 apabila purata jangka hayatnya 49.8 tahun. Khidmat penjagaan kesihatan ditawarkan oleh pengamal awam dan swasta, malah penyelidikan mendapati bahawa kepercayaan kepada pembekal jagaan kesihatan adalah faktor utama dalam menambah baik penerimaan khidmat penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar Cambodia.[34] Kerajaan merancang untuk meningkatkan mutu penjagaan kesihatan di negara dengan memupuk kesedaran tentang HIV/AIDS, malaria, dan lain-lain penyakit.

Kadar kematian bayi telah menurun dari 115 per 1,000 kelahiran hidup pada 1993 kepada 54/1,000 pada 2009. Dalam jangka masa yang sama, kadar kematian bawah lima tahun menurun dari 181 ke 115 per 1,000 kelahiran hidup.[35] Di wilayah yang tercorot dalam prestasi kesihatan iaitu Ratanakiri, 22.9% kanak-kanak meninggal sebelum umur lima tahun.[36]

Kemboja pernah menjadi antara negara yang paling banyak tertanam periuk api di dunia. Menurut sesetengah anggaran, periuk api hidup telah menyebabkan sebanyak 60,000 kematian orang awam dan ribuan lagi cedera parah sejak 1970.[37] Bilangan mangsa periuk api yang dilaporkan jatuh mendadak dari 800 pada 2005 kepada 111 pada 2013 (22 mati dan 89 cedera).[38] Orang dewasa yang terselamat dari periuk api sering perlu dikudungkan tangan atau kaki dan terpaksa mengemis untuk hidup.[37] Kemboja dijangka bebas periuk api menjelang 2020[39] tetapi kesan sosial dan ekonominya, termasuk anak yatim piatu dan satu per 290 orang kudung,[40] dijangka membelenggui Kemboja dalam jangka masa lama.

Pendidikan

Universiti Diraja Phnom Penh, universiti kebangsaan Kemboja.

Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan bertanggungjawab menetapkan dasar-dasar dan garis panduan kebangsaan untuk pendidikan di Kemboja. Sistem pendidikan Kemboja sungguh terpencar dengan pengurusannyan terletak pada tiga peringkat kerajaan iaitu pusat, wilayah dan daerah. Perlembagaan Kemboja mengisytiharkan pendidikan wajib percuma selama 9 tahun, menjamin hak sejagat untuk pendidikan bermutu asas.

Bancian Kemboja 2008 menganggarkan bahawa 77.6% penduduknya celik huruf (85.1% lelaki dan 70.9% wanita).[1] Lelaki berumur belia (15–24 tahun) mempunyai kadar celik huruf sebanyak 89% berbanding 86% bagi perempuan seumpama.[41]

Sistem pendidikan Kemboja terus berdepan dengan pelbagai dugaan, tetapi dalam tahun-tahun kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara, terutamanya dari segi peningkatan kemasukan sekolah rendah, pengenalan belanjawan asas program dan pembangunan kerangka dasar yang memudahkan pendidikan kepada golongan kurang bernasib baik. Kemboja turut banyak melabur untuk pendidikan vokasional, terutamanya di kawasan luar bandar, untuk menangani kemiskinan dan pengangguran.[42][43] Dua buah universiti terkemuka Kemboja bertapak di Phnom Penh.

Pendidikan tradisional Kemboja ditawarkan oleh biara Buddha yang mengajar kaum lelaki sahaja.[44] Pendidikan Kemboja teruk terjejas sewaktu rejim Khmer Rouge.

Jenayah

Pada 2012, Kemboja mencatatkan kadar pembunuhan sebanyak 6.5 per 100,000 penduduk, dengan sejumlah 964 kes pembunuhan.[45]

Pelacuran diharamkan tetapi masih berleluasa di Kemboja. Dalam temubual dengan wanita tentang pelacuran pada 1993, 3/4 yang ditemubual menganggap kerja pelacur sebagai norma sosial dan pekerjaan yang tidak mendatangkan aib.[46] Pada tahun itu juga adalah dianggarkan bahawa terdapat 100,000 orang pekerja seks di Kemboja.[46]

Rujukan

WikiPedia: Kemboja http://www.abc.net.au/7.30/content/2014/s4007692.h... http://www.bbc.com/news/in-pictures-26865946 http://www.cambodiadaily.com/archives/landmine-une... http://www.cambodiadaily.com/news/life-expectancy-... http://investvine.com/cambodias-textile-industry-g... http://www.khmertimeskh.com/news/13400/ramadan-end... http://www.khmertimeskh.com/news/1976/landmine-cas... http://www.methodfinder.com/wfpatlas/index.php?pag... http://www.nationmaster.com/graph/peo_eth_gro-peop... http://www.phnompenhpost.com/index.php/20110518491...