Keroncong ialah sejenis seni
muzik yang berasal dari pengaruh
Indonesia. Ia mulai diperkenalkan ke
Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh dari
Indonesia terutama dari
Pulau Jawa berhijrah ke
Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa, tidak ketinggalan juga membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik
gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit,
kuda kepang,
barongan, hamdulok, katoperak dan sebagainya. Kawasan-kawasan yang banyak terdapat kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana terdapat ramai orang Jawa dan keturunannya seperti di negeri
Johor, di pantai barat negeri
Selangor dan
Perak. Pada mulanya lagu-lagu keroncong yang dimainkan oleh orang tempatan adalah lagu-lagu yang berasal dari Indonesia. Akan tetapi lama-kelamaan, selepas
Perang Dunia II, ada pencipta lagu tempatan yang mencipta lagu-lagu keroncong bercorak Melayu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad, Zainal Ibrahim dan pada akhir-akhir ini Mahzan Manan dan Ariff Ahmad. Di Indonesia terdapat ramai pencipta lagu keroncong yang ternama antaranya Ismail Marzuki, Gesang R. Maladi, Oey Yok Siang, R. Sutedjo, Arimah, Budiman B. J., S. Padimin, L. Hidayat, S. Poniman, Teruma Hadi, Iskandar dan Mochtar Embut dan pada masa sekarang Soeharto A. H., Riyanto dan ramai lagi.